Wednesday, August 21, 2013

Wasiat El-Beltagi kepada anak perempuannya, As-Syahidah Asmaa


Anakku yang tercinta yang juga merupakan guruku yang mulia,

As-Syahidah Asmaa El-Beltagi, aku tidak katakan selamat tinggal, tetapi aku akan ucapkan esok kita akan bertemu. Engkau hidup dengan penuh kehormatan, engkau enggan menerima kezaliman dan menolak segala perkara yang membelenggunya. Engkau juga menyintai kebebasan tanpa tolok bandingnya dan dalam diam engkau mencari ufuk-ufuk baru untuk kembali membina dan membangun ummah ini bagi menempatkannya dalam ketamadunan.

Engkau tidak disibukkan dengan perkara-perkara yang telah menyibukkan pemuda-pemudi yang sebaya denganmu. Meskipun engkau sentiasa mendapat tempat pertama di dalam pelajaranmu, pelajaran yang hanya ikut-ikutan itu tidak mampu untuk memenuhi harapan dan rasa ambil berat kamu (terhadap ummah).

Aku merasa tidak puas ditemanimu dalam kehidupan yang singkat ini lebih-lebih lagi waktu aku tidak begitu banyak untuk merasa bahagia dan menikmati dampingan ini. Ketika pertemuan terakhir kita, kita duduk bersama-sama di Medan Rabaah dan engkau telah menegurku dengan berkata: “sekalipun kamu (ayah) bersama-sama kami, namun kamu tetap tidak dapat memberi perhatian kepada kami”. Aku berkata kepadamu: “nampaknya kehidupan ini begitu singkat untuk kita menikmatinya bersama-sama. Aku berdoa agar Allah membantu kita untuk berteman di dalam syurga untuk menikmati (kebahagiaan) bersama-sama.”

Sebelum engkau mendapatkan syahid, aku melihatmu di dalam mimpi dua kali berturut-turut dalam pakaian pengantin dan dalam keadaan penuh cantik dan jelita, dan tidak ada yang seumpama itu di dunia ketika engkau tidur di sisi aku. Dalam diam aku telah bertanya kepadamu: “Adakah malam ini merupakan upacara majlis perkahwinanmu?” (majlis itu akan diadakan ketika waktu zohor dan bukannya pada waktu petang). Ketika aku dimaklumkan tentang kesyahidanmu pada waktu zohor hari rabu, aku faham kebimbanganku, dan aku telah dikhabarkan dengan berita gembira dengan penerimaan Allah terhadap kesyahidanmu dan engkau menambah keyakinanku bahawa sesungguhnya kita di atas kebenaran dan musuh kita berada di atas kebatilan.

Aku ditimpa kesengsaraan yang teramat sangat kerana aku tidak berada ketika perpisahan denganmu buat kali terakhir, mata aku tidak menjadi hitam (akibat menangis) dengan pandangan perpisahan terakhir ini, aku tidak memberi ciuman terakhir di dahimu, dan aku tidak diberi penghormatan untuk melakukan solat jenazah ke atasmu. Demi Allah wahai kesayanganku, tidak ada yang menghalang aku daripada melakukan ini semua. Bukan kerana takutkan kematian, dan tidak juga kerana takutkan penjara yang zalim tetapi sesungguhnya demi untuk menyempurnakan risalah ini, yang telah kamu tawarkan dirimu dan rohmu deminya, iaitu: menyempurnakan perjalanan revolusi ini sehingga mencapai kemenangan dan sehingga tujuan-tujuannya menjadi kenyataan).

Telah berangkat rohmu dan engkau hidup dalam kemuliaan. Engkau teguh menentang penjenayah yang telah menembakmu dengan peluru-peluru khianat dan kotor di dadamu, betapa indahnya cita-citamu dan betapa sucinya jiwamu. Aku yakin bahawasanya engkau telah membenarkan Allah maka Allah membenarkanmu, dan Allah telah memilihmu dan bukannya kami semua untuk memperoleh kemuliaan syahid.

Dan akhir sekali, wahai cinta hatiku, juga guruku yang mulia,

Aku tidak akan ucapkan selamat tinggal tetapi aku akan katakan semoga kita bertemu lagi. Pertemuan yang bakal berlaku tidak lama lagi di tepi telaga bersama nabi tercinta dan para sahabat. Pertemuan yang bakal berlaku tidak lama lagi di singgahsana kebenaran di sisi Yang Maha Kuasa. Pertemuan yang bakal merealisasikan cita-cita kita untuk minum sepuas-puasnya bersama-sama, dan juga bersama orang-orang yang kita cintai, dan kita tidak akan dahaga selama-lamanya selepas itu.


Sumber : Egyptwindow

No comments:

Post a Comment