London: Scotland Yard semalam berkata mereka kini menilai kredibiliti
maklumat baru berkait dengan kematian Puteri Diana dan Dodi Fayed, termasuk
dakwaan mereka dibunuh oleh seorang anggota tentera Britain.
Menurutnya, maklumat itu diperoleh daripada perbicaraan kedua mahkamah
tentera terhadap Sarjan Danny Nightingale, penembak tepat pasukan khas tentera
Britain (SAS) yang disyaki menyembunyikan sepucuk pistol dan 338 peluru dalam
bilik tidurnya.
Dakwaan itu terkandung dalam sepucuk surat daripada ibu bapa mentua
bekas rakan serumah Nightingale yang dihantar kepada pegawai pemerintah SAS
pada September 2011. Ia difahamkan bahawa maklumat berkenaan diserahkan kepada
Polis Metropolitan London menerusi Polis Tentera Diraja.
Akhbar Sunday People melaporkan, surat itu menyatakan Nightingale
mendakwa SAS bertanggungjawab terhadap kematian Diana dan ia ‘dirahsiakan.’
“Perkhidmatan Polis Met- ropolitan menyiasat maklumat yang diterima
baru-baru ini berkait dengan pembunuhan itu dan kini menilai hubungan serta
kredibilitinya,” menurut kenyataan yang dikeluarkan Scotland Yard.
Penilaian berkenaan akan dilakukan oleh pegawai Markas Jenayah dan
Operasi Khas. Polis berkata, mereka tidak bersedia untuk membincangkan masalah
itu lebih lanjut sementara seorang jurucakap keluarga diraja berkata, tidak ada
kenyataan akan dikeluarkan mengenai perkara itu, termasuk daripada Putera
William, Harry mahupun istana.
Diana, Dodi dan pemandu mereka, Henri Paul mati selepas Mercedes yang
mereka naiki terbabit dalam kemalangan di sebuah terowong di Paris pada pagi 31
Ogos 1997 selepas mereka meninggalkan Hotel Ritz. Siasatan mengenai kematian
Diana dan Dodi mengambil masa lebih 90 hari dengan 250 saksi memberi
keterangan.
Inkues berkenaan berakhir pada 27 April 2008 dengan juri merumuskan
bahawa ‘Puteri Rakyat’ dan teman lelakinya terbunuh akibat kelalaian dalam
pemanduan kereta.
Selepas perbicaraan berakhir, Polis Metropolitan berkata, mereka
membelanjakan sebanyak RM40 juta untuk inkues itu dan siasatan yang dilakukan
dari 2004 hingga 2006. - AFP
No comments:
Post a Comment