Sunday, August 18, 2013

Mesir Kini: Kedengaran Ambulan Setiap 5 Minit




Ambil gambar dan kongsikan kepada rakan-rakan serta doa sahaja mampu dilakukan saat ini.

Rakyat Mesir sekarang ini sedang berjuang korbankan tenaga, harta bahkan nyawa demi kebenaran. Mereka berdemonstrasi di bawah terik matahari tatkala sedang musim panas di Mesir sekarang ini. Terpaksa menahan gas pemedih mata, menahan pedih dipukul, ditikam bahkan ada yang ditembak sehingga syahid.

Di Rumah Mayat Zinhoum (kawasan rumah saya) ini, kisahnya berlainan. Sejak peristiwa berdarah 14 Ogos yang lalu dan terbaru kekejaman di Medan Ramsis serta kawasan sekitar Kaherah, rumah mayat ini tidak putus-putus menerima jasad para syuhada. Bunyi ambulans membawa jenazah boleh didengari hampir setiap 5 minit. Jenazah yang terlalu banyak tidak dapat ditampung oleh rumah mayat ini hingga terpaksa menggunakan dua buah lori kontena untuk diletakkan jenazah. Bongkah ais digunakan serta wangi-wangian disembur untuk menjaga dan memelihara keadaan jenazah yang terpaksa menunggu lama,

Rumah mayat ini juga dikunjungi oleh ribuan keluarga para syuhada yang ingin menuntut jenazah dan mengiringi jenazah untuk disolatkan serta dikebumikan. Tangisan dan teriakan oleh keluarga syuhada merupakan suatu perkara biasa yang kerap didengari sambil diselang-selikan dengan laungan tauhid LailahaillAllah dan takbir serta mengutuk kekejaman kerajaan haram Mesir sekarang ini.

Kunjungan ribuan rakyat mesir ke kawasan ini menyebabkan kawasan ini sesak dengan manusia dan kenderaan. Namun, apa yang mengagumkan, masyarakat setempat bekerjasama turun membantu melicinkan urusan mereka yang hadir ke rumah mayat ini.

Mereka membahagikan tugas mengikut kumpulan kecil, ada yang menjaga lalu lintas untuk mengelakkan kesesakan. Ada pemuda dan anak kecil yang menyediakan minuman untuk diagih-agihkan kepada keluarga para syuhada yang menanti urusan jenazah. Ada juga insan yang bermurah hati menaja air kotak dan makanan ringan. Golongan wanita pula ada yang membantu menyediakan kain jenazah untuk para syuhada. Pada waktu malam pula ada yang menjaga kawasan ini dari kemungkinan serangan samseng (baltoji).

Apa yang dapat kita lihat, mereka berganding bahu membantu sekadar termampu untuk turut sama terlibat dalam usaha menegakkan kebenaran. Semangat inilah yang membuatkan mereka dapat bertahan di Medan Rabaah Adawiyah lebih dari sebulan sebelum berlaku peristiwa pembantaian penyokong pro demokrasi.

Doakan Mesir dan segala isinya.

Is Faris
Zinhoum, Sayeda Zainab, Kaherah.
18/8/2013

Sumber : Is Faris

No comments:

Post a Comment