Islam adalah
satu-satunya agama yang diredhai oleh Allah serta agama paling sempurna. Firman
Allah S.W.T:
Pada hari ini,
Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku
kepadamu, dan Aku telah redha Islam itu menjadi agamamu. (Surah
al-Maaidah: 3)
Kesempurnaan
Islam itu terserlah apabila ia mampu menangani segala permasalahan manusia
secara menyeluruh. Islam telah membicarakan isu-isu bersifat global seperti
sistem ekonomi, sistem pemerintahan malah ia juga membicarakan sekecil-kecil
perkara seperti adab masuk ke tandas dan beristinjak. Oleh itu, tidak hairanlah
sekiranya Islam juga telah memberikan garis panduan berkaitan tatacara
menyambut hari-hari kebesarannya seperti hari raya Aidilfitri ini. Adalah
penting bagi kita untuk sentiasa menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai
petunjuk dalam mengendalikan upacara sambutan Aidilfitri kerana inilah masa
untuk kita semua membuktikan bahawa kita benar-benar telah menjadi seorang
insan yang bertakwa setelah melalui bulan Ramadan kerana padanya terdapat
ibadah puasa yang berupaya membentuk golongan muttaqin (orang yang bertakwa).
Justeru itu, ada baiknya sekiranya kita mengetahui apakah amalan-amalan yang
telah diajar oleh Rasulullah s.a.w. sempena menyambut ketibaan hari lebaran
Aidilfitri ini.
[1]. Bertakbir
Bertakbir pada
tarikh 1 Syawal bersempena Aidilfitri merupakan suatu amalan yang disyariatkan.
Takbir pada hari Aidilfitri bermula ketika terlihatnya hilal (anak bulan) dan
berakhir setelah selesainya kemuncak hari raya, iaitu ketika imam selesai
berkhutbah. Firman Allah S.W.T:
Supaya kamu
cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan Allah
(dengan bertakbir) kerana telah memberi petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya
kamu bersyukur. (Surah
al-Baqarah:185)
Adalah juga
disunnahkan untuk kita bertakbir disepanjang perjalanan dari rumah kita menuju
ke masjid untu menunaikan solat Aidilfitri. Menurut Syeikh Muhammad Nasiruddin
al-Albani r.h:
Mengenai
syariat bertakbir (pada hari raya Aidilfitri) yang perlu dilakukan oleh kaum
muslimin ialah bertakbir dengan suara lantang ketika dalam perjalanan menuju ke
tempat solat walaupun kebanyakan umat Islam mula memandang remeh sunnah ini.
Rujuk Kitab
Meneladani Rasulullah S.A.W. Dalam Berhari Raya, karya Syeikh Ali Hassan bin
Ali al-Halabi al-Atsari, ms.32
Bertakbir
sejak mula keluar dari rumah bertujuan menyerlahkan syiar Islam di setiap
pelusuk jalan yang dilalui ketika menuju ke tempat solat.
[2]. Lafaz ucapan selamat pada hari raya Aidilfitri
Majoriti
amalan umat Islam di Malaysia akan mengucapkan antara satu sama lain pada hari
lebaran dengan ucapan ‘Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin’.
Namun, apa yang lebih bertepatan dengan amalan para salafussoleh dalam
meneladani sunnah Nabi s.a.w. adalah sebagaimana yang diceritakan oleh al-Hafiz Ibn
Hajar al-'Asqalani r.h yang dinukilkan daripada Jubair bin Nufair r.a katanya:
“Apabila para
sahabat Rasulullah s.a.w bertemu di hari raya, sebahagian mereka mengucapkan
kepada yang lain ‘taqabbalullah minna waminka’ (Semoga Allah menerima amalan
kami dan amalanmu).”
Rujuk Fath
al-Bari, al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani, jil. 5, ms. 270-271. Menurut beliau
hadis ini berstatus hasan.
[3]. Meneruskan qiamullail
Jika sepanjang
bulan Ramadan kita telah bersungguh-sungguh menghidupkan malam kita dengan
pelbagai ibadah terutamanya solat qiyam Ramadan (solat tarawih), ia seharusnya
diteruskan juga pada hari-hari berikutnya dengan mengerjakan solat tahajjud.
Saranan ini tidak bermaksud mengkhususkan pada malam Aidilfitri untuk
dikerjakan qiamullail. Apa yang cuba ditekankan di sini adalah semangat
mengerjakan qiyam Ramadan (solat tarawih) haruslah diteruskan dengan
mengerjakan qiamullail pada hari-hari berikutnya sesudah bulan Ramadan.
[4]. Mandi pada pagi hari raya.
Disunnahkan
mandi di pagi hari raya sebagaimana mandi wajib, iaitu sebelum berangkat menuju
ke tempat perlaksanaan solat Aidilfitri. Ali bin Abi Thalib r.a pernah ditanya
mengenai mandi. Adakah diharuskan mandi setiap hari? Beliau menjawab:
Tidak harus
melakukannya. Namun, mandi yang diharuskan ialah mandi pada hari Jumaat, hari
Arafah, hari Aidiladha dan Aidilfitri."
Hadis riwayat
Imam Syafie di dalam Musnad al-Syafi’i, jil. 1, ms. 118-119.
[5]. Makan sebelum solat Aidilfitri.
Disunnahkan
kaum muslimin menjamah makanan sebelum berangkat menunaikan solat Aidilfitri.
Perbuatan ini bertujuan menutup segala andaian bahawa dibenarkan berpuasa pada
hari raya. Menurut al-Muhallab r.h:
Mengenai
hikmah menjamah makanan sebelum mengerjakan solat hari raya adalah agar
seseorang tidak berpendapat bahawa dia boleh berpuasa sehingga solat hari raya
Aidilfitri dilaksanakan. Seolah-olah Rasulullah s.a.w ingin menutup prasangka
semacam ini.
Rujuk Fath
al-Bari, jil. 5, ms. 272
Kebiasaannya,
Rasulullah s.a.w. akan memakan kurma dalam jumlah yang ganjil pada pagi hari
raya. Namun, tidak bermakna umat Islam perlu menyediakan buah kurma untuk
dimakan pada pagi hari raya Aidilfitri. Mereka bebas memakan apa sahaja.
Tetapi, mengikut sunnah itu lebih baik daripada menyanggahinya. Sedangkan,
sunnah itu termasuk perkara tauqifi (tidak boleh dipersoalkan). Anas bin Malik
r.a berkata:
“Rasulullah
s.a.w tidak akan pergi ke tempat solat pada pagi Aidilfitri sebelum memakan
beberapa biji kurma.” Murajja’ bin Raja’ berkata: Ubaidillah menceritakan
kepadaku bahawa Anas r.a berkata: Rasulullah s.a.w memakannya dalam jumlah yang
ganjil.”
Hadis riwayat
al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 953.
Namun, jika
tidak memiliki kurma maka dibolehkan untuk mengisi perut dengan makanan lain
terutamanya makanan yang manis-manis seperti madu. Sekiranya tidak ada makanan
sama sekali, memadai dengan hanya meminum air.
[6]. Memakai pakaian yang indah.
Disunnahkan
kaum muslimin menghiaskan diri dengan pakaian yang indah-indah pada hari raya.
Imam Syafier.h berkata:
Aku lebih
menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari
raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan
tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju
yang bersih dan memakai wangi-wangian.
Rujuk
Ringkasan Kitab Al-Umm, Imam al-Syafi’I, jil. 1, ms. 327.
Bagi kaum
wanita pula walaupun disunnahkan memakai pakaian yang terbaik, namun mereka
hendaklah menghindari dari memakai pakaian yang bercorak-corak serta perhiasan
yang berlebih-lebihan sehingga menarik perhatian golongan lelaki. Bagi golongan
kanak-kanak pula, Imam Syafie r.h menambah:
Mengenai
golongan kanak-kanak pula, mereka boleh memakai pakaian paling bagus yang
dimilikinya, baik lelaki mahupun perempuan dan mereka juga boleh
memakai perhiasan emas atau apa sahaja perhiasan."
Rujuk
Ringkasan Kitab al-Umm, Imam Syafie, jil. 1, ms. 327.
Semoga di pagi
hari raya kita akan memilih pakaian yang terbaik serta paling mahal mengikut
kemampuan masing-masing menuju ke tempat solat hari raya. Disunnahkan juga bagi
kaum lelaki memakai wangi-wangian tetapi tidak disunnahkan kepada kaum wanita.
Sabda Rasulullah s.a.w:
Mana-mana
wanita yang memakai wangian lalu dia melintas di hadapan lelaki supaya mereka
dapat menghidu kewangiannya, dia adalah penzina."
Hadis riwayat
al-Nasaai di dalam Sunannya. no: 5036.
Namun begitu
bukanlah bermakna kaum wanita harus membiarkan dirinya berbau busuk. Islam
adalah agama yang menitik-beratkan kebersihan serta kesihatan diri. Dibenarkan
bagi wanita untuk memakai wangian yang keharuman sekadar untuk menjaga dirinya
dari berbau busuk dan tidak sehingga menarik perhatian orang di sekelilingnya.
Haruman-haruman yang kuat dan boleh menaikkan nafsu berahi hanyalah khusus
untuk suaminya.
[7]. Berjalan kaki menuju tempat dikerjakan solat hari
raya.
Umat Islam
dianjurkan berjalan kaki menuju ke tempat solat Aidilfitri jika tidak
keberatan. Ali bin Abi Thalib r.a:
Termasuk
sunnah, iaitu engkau berjalan kaki menuju ke tempat solat hari raya dan memakan
sesuatu sebelum berangkat.
Hadis riwayat
al-Tirmizi di dalam Sunannya, no: 487.
Namun begitu
bagi yang sesiapa yang perlu menggunakan kenderaan kerana tempat solat terlalu
jauh, ia dibolehkan dalam syarak. Tetapi, berjalan kaki menuju ke tempat solat
lebih afdal berbanding menaiki kenderaan.
[8]. Mengikuti
jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya.
Disunnahkan
juga mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan
solat hari raya. Jabir bin ‘Abdullah r.a berkata:
Nabi s.a.w
melalui jalan yang berbeza pada hari raya.
Hadis riwayat
al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 986.
Imam Ibn
Qayyim al-Jauziyyah r.h berkata:
Baginda s.a.w
selalu melalui jalan yang berbeza ketika menuju dan pulang dari tempat solat
pada hari raya. Ada yang berpendapat, hal ini dilakukan agar dapat bersalaman
dengan orang-orang yang melalui kedua-dua jalan itu. Sebahagian lain
berpendapat untuk memberikan barakah kepada mereka. Ada juga berpendapat untuk
memberikan pertolongan kepada mereka yang memerlukannya di kedua-dua jalan
itu. Menurut pendapat lain pula untuk menampakkan syiar Islam di jalan-jalan. Pendapat
yang lebih tepat adalah supaya perjalanan yang ditempuh lebih jauh (banyak
langkahnya). Orang yang berjalan ke masjid atau tempat solat, salah satu
langkah kakinya akan meninggikan darjat. Sedangkan langkah kaki yang lain akan
menghapuskan kesalahan-kesalahannya.
Rujuk Zaadul
Ma'ad, Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah, ms. 49.
[9]. Tempat perlaksanaan solat hari raya.
Sunnah
mengerjakan solat hari raya di kawasan lapang atau musholla (tempat terbuka
seperti padang sehingga khatib dapat melihat semua hadirin) merupakan satu
amalan yang jarang dilakukan di Malaysia melainkan beberapa kelompok kecil yang
benar-benar kuat berpegang kepada sunnah Nabi s.a.w. Apakah musholla itu
berbeza dengan masjid? Abu Said al-Khudri r.a berkata:
Pada hari
Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w keluar menuju ke musholla. Ketika
itu, perkara pertama yang dilakukan oleh baginda ialah mengerjakan solat hari
raya (tanpa ada sebarang solat sunat).
Hadis riwayat
al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 956.
Tentang hikmah
mengerjakan solat hari raya di musolla, Syeikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan
telah berkata:
Sesungguhnya
mengerjakan kedua-dua solat hari raya di tanah lapang mengandungi hikmah yang
besar. Di antaranya adalah seluruh kaum muslimin setidak-tidaknya mereka boleh
berkumpul bersama (bersua muka) dua kali dalam setahun. Semua orang dariseluruh
pelusuk negeri akan berkumpul di sebuah tempat sama ada lelaki, perempuan atau
kanak-kanak. Mereka semua menghadap Allah dengan hati yang penuh konsentrasi,
dikumpulkan dengan satu kalimat (tauhid), solat di belakang seorang imam,
membaca takbir dan tahlil bersama dan berdoa kepada Allah dengan penuh ikhlas.
Seakan-akan hati mereka terikat menjadi satu, merasa bahagia dan mensyukuri
nikmat Allah yang telah dilimpahkan kepada mereka. Dengan itu, hari raya
benar-benar bermakna bagi mereka.
Rujuk Koreksi
Total Ritual Shalat, Syeikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan, ms. 394.
[10]. Mengerjakan Solat Aidilfitri
Di antara
syiar yang palin utama dalam menyambut Aidilfitri adalah perlakasanaan solat
Aidilfitri sebanyak 2 rakaat oleh seluruh umat Islam. Ibn Abbas r.a berkata:
Rasulullah
s.a.w telah keluar pada hari raya Aidilfitri kemudian terus mengerjakan solat
hari raya sebanyak dua rakaat. Baginda tidak melakukan sebarang solat
sebelumnya dan sesudahnya.
Hadis riwayat
al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 989.
Disunnahkan
menyampaikan khutbah sesudah mengerjakan solat hari raya Aidilfitri. Abu Sa’id
al-Khudri r.a berkata:
Pada hari raya
Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w akan keluar menuju musolla. Perkara
pertama yang dilakukan oleh baginda (apabila tiba di masjid) baginda akan
mengimami solat. Kemudian, baginda akan berpusing dan menghadap ke arah makmum
yang sedang duduk di dalam saf mereka. Seterusnya, baginda akan memberikan
nasihat, wasiat dan perintah kepada mereka (khutbah).
Hadis riwayat
al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 956.
Para jemaah
tidak diwajibkan menghadiri atau mendengar khutbah hari raya. Sebaik sahaja
selesai mengerjakan solat hari raya, sesiapa yang tidak ingin turut serta
mendengar khutbah maka dia dibenarkan meninggalkan majlis itu. Abdullah bin
al-Sa’ib r.a berkata:
Aku pernah
menghadiri solat hari raya bersama Nabi s.a.w. Setelah selesai solat baginda
bersabda: Sesungguhnya kami akan berkhutbah. Oleh itu, sesiapa ingin duduk
mendengar khutbah, dia boleh duduk. Sesiapa yang ingin pergi, dia boleh
beredar.
Hadis riwayat
Abu Daud di dalam Sunannya, no: 975.
[11]. Bergembira
Pada Hari Raya Aidilfitri
Islam adalah
agama yang begitu praktikal lagi munasabah. Setelah sebulan umat Islam memberi
tumpuan sepenuhnya untuk beribadah kepada Allah, maka kini tiba masanya untuk
menyambut kejayaan itu dengan kegembiraan dan kemeriahan. Oleh itu, usaha-usaha
untuk menimbulkan suasana kegembiraan di dalam keluarga masing-masing pada hari
raya Aidilfitri adalah sebahagian daripada syiar Islam. Suasana kegembiraan ini
berbeza mengikut adat setempat. Bagi kita di Malaysia, kegembiraan sambutan
hari rayaAidilfitri dapat dilihat dengan memakai baju-baju baru yang indah,
seluruh ahli keluarga berkumpul, ziarah-menziarah sesama umat Islam dan
pelbagai lagi. Di sesetengah negara Timur Tengah, cuti umum hari raya
Aidilfitri dipergunakan untuk membawa ahli keluarga bersiar-siar serta berkelah
di tempat-tempat peranginan. Semua bentuk suasana kegembiraan dan kemeriahan
ini adalah sebahagian dari tuntutan agama Islam sempena menyambut hari raya
Aidilfitri selagi ia dilaksanakan sesuai dengan lunas-lunas syarak. Syeikh
Sayyid Sabiq r.h berkata:
Mengadakan
permainan serta kegembiraan yang tidak melanggar aturan agama, termasuk
pelbagai bentuk nyanyian yang baik (dari segi makna), semua itu termasuk syiar
agama yang disyariatkan oleh Allah pada hari raya untuk melatih tubuh jasmani dan
memberi kepuasan serta kegirangan hati."
Rujuk Fiqh
al-Sunnah, Syeikh Sayyid Sabiq, jil. 2, ms. 290.
Rasulullah
s.a.w. sendiri telah membenarkan penduduk Madinah al-Munawwarah bergembira
apabila munculnya hari raya Aidilfitri dan Aidiladha. Anas bin Malik r.a
berkata:
Nabi s.a.w
pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang mana
mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah pada kedua-dua hari itu. Lalu
baginda berkata: Aku datang kepada kamu semua sedangkan kamu memiliki dua hari
(raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliyyah. Sabdanya lagi:
Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-dua hari itu dengan yang lebih baik,
iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.”
Hadis riwayat
al-Nasaai di dalam Sunannya, no: 959.
[12]. Mengerjakan Puasa Sunat Enam Hari Pada Bulan
Syawal
Sabda
Rasulullah s.a.w:
Sesiapa yang
berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan
Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa setahun.
Hadis riwayat
Muslim di dalam Sahihnya, no: 1164.
Demikianlah
keutamaan puasa sunat enam hari di bulan Syawal. Cara yang paling afdal untuk
melaksanakannya adalah memulakan berpuasa sesudah hari raya Aidilfitri secara
berturut-turut (bermula pada 2 Syawal) sebagaimana yang ditetapkan oleh para
ulama. Ini juga merupakan pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam Syafie r.h. Namun,
seseorang bebas memilih mana-mana hari sepanjang bulan Syawal sama ada di awal,
pertengahan mahupun di akhirnya bahkan dia juga boleh mengerjakan secara
berturut-turut atau berpisah-pisah. Amalan sesetengah pihak yang melakukan
puasa qada dan sunat Syawal secara serentak mengikut formula dua dalam satu
merupakan perbuatan bid’ah yang tidak ada dalilnya dari mana-mana hadis Nabi
s.a.w yang thabit. Oleh itu, afdhal menyempurnakan puasa bulan Ramadan yang
ditinggalkan terlebih dahulu diikuti puasa sunat di bulan Syawal. Perbuatan ini
lebih bertepatan dengan maksud hadis di atas untuk mendapat keutamaannya, iaitu
seolah-olah berpuasa setahun.
source:islamgrid.gov.my
No comments:
Post a Comment