Kalimah
Pertama
Lafaz
bismillah بِسْمِ اللَّهِ induk bagi segala kebaikan,
permulaan bagi setiap urusan. Kita juga memulakan dengan bismillah. Wahai diri,
ketahuilah sesungguhnya kalimah yang indah dan berkat ini, di samping menjadi
syiar Islam, ia juga zikir seluruh makhluk yang ada mengikut bahasanya sendiri. Andainya engkau mahu
mengetahui sejauhmana kandungan ucapan bismillah yang mempunyai kekuatan agung
yang tidak pernah luput dan betapa luas
keberkatannya yang tidak pernah berakhir, maka dengarlah wahai diri akan
hikayat perumpamaan yang ringkas ini.
Sesungguhnya
seorang badwi yang berkelana (bermusafir) di padang pasir, tentunya berlindung
dengan ketua kabilah, bernaung di bawah naungannya agar terselamat dari segala
kejahatan musuh, agar terlaksana segala tugasnya serta memperolehi segala
keperluannya. Sekiranya tidak, maka ia akan kekal keseorangan, terpinga-pinga
dan tercengang-cengang di hadapan musuh yang terlalu ramai dan keperluannya
yang tidak terbatas.
Begini…
kebetulan dua orang lelaki keluar berkelana. Salah seorang daripadanya bersifat
tawadhu' dan seorang lagi pula terpedaya dengan diri sendiri. Maka yang tawadu'
itu bernaung kepada ketua, manakala yang terpedaya tadi menolak dari menerima
sebarang naungan. Maka berkelanalah kedua-duanya itu di padang pasir.
Yang bernaung
tadi setiap kali mendiami sebuah khemah ia menerima penghormatan dan
penghargaan disebabkan kemuliaan nama ketua tersebut. Apabila ia berjumpa
perompak, ia akan berkata; Sesungguhnya aku berkelana di bawah naungan ketua
itu, lalu si perompak tadi akan melepaskannya.
Yang terpedaya
pula, ia bertembung dengan pelbagai musibah dan kecelakaan yang tidak mampu
diungkapkan. Di sepanjang perjalanan ia
sentiasa dalam keadaan cemas, takut dan terpinga-pinga. Lalu ia mengutuk dan
mengeji dirinya sendiri.
Wahai diri
yang tertipu, ketahuilah, engkaulah si badwi yang berkelana itu, dan dunia yang
luas inilah padang pasirnya. Sesungguhnya kefakiran dan kedaifanmu tidak
terbatas sebagaimana musuh dan kehendakmu juga tidak berkesudahan. Sekiranya
demikian, maka bernaunglah dengan nama pemilik dan penguasa sebenar padang
pasir tersebut, agar engkau terselamat daripada kelihatan terpinga-pinga di
depan alam ini dan daripada kejinya perasaan takut bila berhadapan dengan
musibah.
Ya!
sesungguhnya kalimah suci bismillah umpama khazanah besar yang tidak akan
pernah berkurangan isinya kerana dengan kalimah inilah kedaifanmu itu akan
bergantung kepada rahmat yang maha luas bahkan terlebih luas daripada alam ini,
dan dengannya juga, kefakiranmu akan bergantung kepada kuasa yang amat hebat
yang mentadbir kewujudan ini bermula daripada atom sehinggalah kepada
cakerawala. Sehingga akhirnya, kedaifan dan kefakiranmu itu akan menjadi
syafaat di sisi yang Maha Berkuasa, Maha Penyayang, Pemilik bagi segala
kemuliaan.
Sesungguhnya
yang bergerak dan yang diam, yang berpagi dan berpetang, yang mengungkapkan
kalimah bismillah adalah seumpama orang
yang terlibat dalam ketenteraan. Ia berurusan atas nama negara dan tidak gentar
kepada sesiapapun. Ia berucap atas nama undang-undang dan negara, maka
terlaksanalah segala urusannya dan tetaplah pendiriannya dalam menghadapi semua
perkara.
Kita telah
menyebut di permulaan tadi bahawa semua makhluk ini berzikir dengan bahasanya
yang tersendiri iaitu dengan menyebut
kalimah bismillah… adakah ini benar?
Ya!
sebagaimana engkau melihat seorang lelaki yang mengepalai orang ramai dalam
satu perbarisan dan memerintahkan mereka supaya melakukan pelbagai jenis
urusan, maka sesungguhnya engkau pasti bahawa lelaki ini bukan mewakili dirinya
sendiri dan tidak pula mengepalai orang ramai atas nama dan kekuatan dirinya
sendiri, tetapi ia sebenarnya adalah seorang askar yang bertindak atas nama
negara dan berdasarkan kuasa pemerintah.
Seluruh
makhluk ini juga menunaikan tanggungjawabnya dengan lafaz bismillah, maka
benih-benih yang teramat kecil itu, dengan lafaz bismillah, ia menjunjung di
atas kepalanya pohonan yang besar dan bebanan yang berat. Setiap pohonan ini
pula berkata bismillah, lalu penuhlah dedahannya dengan buah-buahan daripada gedung rahmat
Allah, lalu dipersembahkannya rahmat tersebut kepada kita.
Setiap taman
berkata bismillah, lalu ia seolah-olah menjadi sebuah dapur kepada kekuasaan
Allah (S.W.T) yang tersedia di dalamnya makanan yang lazat… dan setiap haiwan
yang mempunyai faedah dan manfaat seperti unta, kambing dan lembu pula berkata
bismillah, lalu ia menjadi seolah-olah sebuah sumur yang memancutkan susu-susu
yang teramat lazat, lalu dipersembahkannya kepada kita sebaik-baik dan
sebersih-bersih bahan makanan di atas nama al-Razzaq.
Dan akar-akar
tumbuhan serta rumput-rampai mengucapkan bismillah, lalu memecahkan bebatu yang
keras dengan bismillah dan menembuskannya dengan akar-akar yang menjalar lembut
bagai sutera itu, lalu menundukkan setiap kesusahan dan setiap benda yang keras
di hadapannya dengan bismillah dan dengan bismirrahman.
Ya!
sesungguhnya menjalarnya dedahan pohon di udara, mengendong buah-buahan dan
menjalarkan akar-akarnya ke batu yang keras dan ia menyimpan bahan makanan
dalam kegelapan tanah… begitu juga dedaunan hijau dapat menanggung kepanansan
serta bahangnya itu, lalu dapat terus kekal dalam keadaan segar. Itu semua dan
yang lain daripada itu merupakan satu tamparan hebat terhadap mulut golongan
materialistik yang menjadi penyembah kepada sebab dan ia juga seolah-olah suatu
tempikan di hadapan muka mereka.
Sesungguhnya
bahan-bahan yang kamu banggakan disebabkan kekerasan dan kepanasannya juga
tidak mampu memberi kesan dengan sendiri, bahkan kedua-duanya itu dapat
menjalankan tugasnya atas arahan pemerintah yang satu, yang menjadikan
akar-akar yang lembut dan halus ini seolah-olah tongkat nabi Musa (a.s) yang
dapat memecahkan batu dan tunduk kepada perintah فَقُلْنَا
اضْرِبْ بِعَصَاكَ الْحَجَرَ Surah al-Baqarah: 60 ; yang
menjadikan dedaunan yang lembut dan segar seolah-olah anggota badan nabi
Ibrahim (a.s) yang ketika menghadapi kepanasan membaca يَا نَارُ
كُونِى بَرْدًا وَ سَلاَمًا surah
al-Anbiya': 69.
Selagi setiap
kewujudan di alam ini mengungkapkan dengan makna bismillah dan mengundang
nikmat-nikmat Allah dengan bismillah, lalu dipersembahkannya kepada kita, maka
wajarlah kita juga untuk mengungkapkan ucapan bismillah, apabila memberikan dan
mengambil sesuatu dengan bismillah. Wajib juga bagi kita menolak pertolongan
dari golongan yang lalai yang tidak memberikan sesuatu dengan bismillah.
Persoalan;
kita menyatakan rasa hormat, rasa kagum kita kepada mereka yang menjadi sebab
kepada nikmat yang kita perolehi. Dan apakah yang dipinta dari kita oleh Allah,
Pemilik dan Penguasa semua nikmat itu?
Jawapannya;
Sesungguhnya Pemberi nikmat yang hakiki meminta kita tiga perkara sebagai
bayaran kepada nikmat-nikmatNya yang tidak ternilai itu iaitu zikir, syukur dan
fikir.
Maka bismillah
pada permulaan adalah zikir, alhamdulillah sebagai penyudah adalah syukur dan
keadaan di antara keduanya (zikir dan syukur) adalah fikir iaitu dengan
memerhatikan nikmat-nikmat yang indah tersebut serta menyedari bahawa ia
merupakan mukjizat bagi kekuasaan Dia Yang Esa, yang menjadi tempat berserah
dan juga menyedari itu semua adalah hadiah bagi sifat rahmatNya yang maha luas,
maka pemerhatian inilah yang dipanggil fikir.
Tetapi…tidakkah
mereka yang sanggup mencium kaki tentera yang menjadi khadam yang menyampaikan
hadiah seorang penguasa, telah melakukan kebodohan yang amat dahsyat dan
kedunguan yang amat keji. Oleh itu, bagaimana pula dengan mereka yang memuji
sebab yang berbentuk kebendaan yang membawa kepada nikmat, lalu menyerahkan
kepada sebab tersebut kasih sayang dan ketundukan tanpa mengkhususkan
kedua-duanya kepada pemberi nikmat yang sebenar. Tidakkah mereka ini telah
melakukan kebodohan seribu kali lebih teruk daripada contoh tadi. Wahai diri,
andainya engkau tidak mahu dimasukkan ke dalam golongan yang bodoh lagi dungu
tadi, maka berilah dengan bismillah, ambillah dengan bismillah, mulalah dengan
bismillah dan bekerjalah dengan bismillah.
Terjemahan dari Kitab al-Kalimah, Karangan Badiuzzaman
Said Nurs
No comments:
Post a Comment