Banyak
kali saya menghuraikan perihal krim dan losen yang dirumus untuk anggota
kelamin lelaki dan wanita yang kononnya mampu menambah nikmat hubungan seksual.
Paling menarik, ia mampu membantu membesarkan alat kelamin serta memantapkan
ereksi dan mengekalkannya.
Ini
semua mengarut. Apa yang dinyatakan itu hanyalah sekadar madah peniaga untuk
melariskan produk mereka. Malah, tidak ramai menyedari kesan dijanjikan hanya
rekaan semata-mata. Kebanyakan krim dan losen ini tidak pernah diuji kaji dan
pengiklanannya juga tidak pernah dapat kelulusan Kementerian Kesihatan walaupun
sesetengah krim itu sering kelihatan di kaca televisyen.
Setakat
ini hanya ada beberapa krim untuk lelaki dan wanita yang fungsinya untuk
menyegarkan anggota kelamin dan tidak lebih daripada itu. Saya juga melakukan
banyak kajian terhadap pelbagai krim sebegini untuk mengetahui jika produk
terbabit benar-benar berkesan dan tidak memudaratkan kulit dan fungsi anggota kelamin.
Namun, hampir semuanya adalah omong kosong pengeluar.
Ada
juga yang mengiklankannya sebagai krim membesarkan anggota sulit lelaki dan
kononnya untuk tahan lama. Ini tidak betul kerana ia sebenarnya hanya untuk
menyegarkan anggota kelamin. Namun, jika itu yang anda inginkan, anda boleh
menggunakan krim biasa yang lebih murah dan boleh dibeli di farmasi.
Ada
krim dan losen mengandungi kimia larangan serta boleh mengakibatkan alahan
kulit yang ketara. Bayangkan anggota kelamin anda yang asalnya berkulit lembut
dan cerah bertukar menjadi kasar, menggelupas dan radang serta warna berubah
menjadi gelap.
Ada
juga sesetengah krim yang kononnya sesuai untuk mengatasi masalah cepat klimaks
dan sebahagian ramuan di dalamnya mengandungi bahan perosak kulit seperti
gambir Sarawak atau ekstrak paprika (lada) dan ekstrak bunga cengkih.
Jadi,
anda boleh bayangkan apa yang akan berlaku jika anda menggunakannya. Kulit
anggota kelamin akan terasa pijar dan tidak selesa. Kebetulan, jika lelaki itu
menggunakan krim berkenaan dan bersetubuh dengan pasangan, bahagian luar
anggota kelamin wanita itu akan turut terasa pijar dan bahagian dalam, iaitu
faraj, mengelupas dan radang. Ia pastinya akan mengeruhkan keadaan.
Sama
juga dengan krim mengandungi minyak lintah, ikan belacak, ular, gamat dan
pelbagai lagi binatang yang menjalar. Semua hanya penipuan dan rekaan
semata-mata. Jika anda kebetulan alah dengan bahan itu, anggota kelamin akan
melecet dan menggelupas. Sama juga dengan pasangan anda, kulit anggota sulitnya
akan mengelupas, radang dan faraj akan mengeluarkan cairan berbau.
Kebanyakan
krim dan jeli yang dirumus khusus untuk anggota kelamin lelaki tidak pernah
mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan kerana ia didaftar sebagai krim atau
jeli tradisional.
Begitupun,
mendapat pendaftaran tidak bermakna produk terbabit diluluskan oleh
kementerian. Jadi, pastikan anda membuat kajian menyeluruh dan bertanya pakar
jika ingin mencari sesuatu produk terbabit.
No comments:
Post a Comment