APA saja yang
disebut sebagai keajaiban memang tidak pernah gagal menarik perhatian orang
ramai. Lebih-lebih lagi apabila kisah di sebaliknya sukar dijelaskan. Malah,
banyak sebenarnya fenomena menakjubkan berlaku di dunia ini yang kurang
diketahui ramai biarpun berlaku hampir saban tahun.
Salah satu
fenomena yang tidak kurang menariknya adalah kejadian laut terbelah yang
berlaku di Pulau Jindo, wilayah Jeollanam-do di kawasan barat daya Korea
Selatan. Pulau ini adalah yang ketiga terbesar di negara itu dan terletak
berhampiran pulau Jejudo dan Geojodo.
Bayangkan
dalam tempoh sejam, anda dapat menyaksikan kekuasaan Ilahi apabila lautan yang
sebelum ini dipenuhi air dan secara tiba-tiba terbelah dan membentuk laluan
sementara sepanjang 2.8 kilometer dan selebar 40 hingga 60 meter.
Kejadian itu
pasti mengingatkan kita terhadap kisah Nabi Musa yang ‘membelah laut’ bagi membawa
pengikutnya yang taat kepada Allah SWT melarikan diri daripada kekejaman
Firaun.
Namun,
kejadian belahan laut di Jindo itu lain ceritanya yang berkait rapat dengan
faktor semula jadi iaitu berlakunya pertembungan arus surut secara serentak yang
menyebabkan paras air surut sebanyak enam hingga tujuh meter.
Ini
menghasilkan laluan bagi menghubungkan dua daratan yang sebelum ini
ditenggelami air. Ia juga lazimnya berlaku pada jam 5 atau 6 petang dan
disambut menerusi pesta besar-besaran yang dikenali ‘Jindo Yeongdeung Festival’
atau Pesta Laut Terbelah Jindo.
Malah Pesta
Laut Terbelah Jindo ini selalunya diadakan tiga kali setahun iaitu pada Mac
atau Mei serta Julai. Bagaimanapun, sambutan luar biasa pelancong tempatan dan
asing yang mencecah 400,000 orang membanjiri pesta itu menyebabkan pihak
berkuasa memutuskan untuk turut meraikan pesta berkenaan pada April.
Bagi
mendapatkan pemandangan paling menarik laut terbelah dan membentuk laluan,
orang ramai boleh menikmatinya sama ada dengan memanjat bukit atau
berjalan-jalan sendiri di laluan itu.
Malah, siapa
yang mahu melepaskan peluang melihat detik-detik keajaiban dan tidak hairanlah
sebaik lautan itu terbelah, orang ramai berpusu-pusu melintasi laluan itu dan
meraikan rakan dari arah bertentangan berikutan penyatuan daratan kepulauan
Jindo dan Modo. Tidak kurang pula yang mengambil kesempatan mencari tiram,
rumpai dan hasil lautan lain.
“Inilah
keajaiban yang tidak mungkin disaksikan di tempat lain. Dalam sekelip mata,
laut terbelah dan mendedahkan dasarnya. Tiada perkataan dapat menggambarkan
ketakjuban melihat hidupan laut seperti kerang, kepah dan hidupan marin yang
sebelum ini hidup di dasarnya, tiba-tiba timbul,” kata pelancong tempatan, Cho
Eun-Jun yang dipetik media tempatan, baru-baru ini.
Hakikatnya,
tidak ramai yang tahu mengenai kewujudan fenomena itu sehinggalah pada 1975,
apabila seorang duta Perancis ketika itu, Pierre Randi, melawat Korea Selatan
dan menulis mengenainya dalam sebuah akhbar negaranya.
No comments:
Post a Comment