KUALA LUMPUR -
Bas yang meragut 37 nyawa di Genting Highlands semalam beberapa minit sebelum
kemalangan maut itu hampir terbabit dalam satu kemalangan kecil beberapa ketika
sejurus tiba di tempat kejadian sebelum terjunam ke dalam gaung.
Nor Maizatul
Syazana Ahmad Sharuddin, 23, mangsa yang duduk di belakang kerusi pemandu
terbabit memberitahu Utusan Malaysia, sebaik sahaja turun dari stesen bas
Genting kira-kira pukul 2 petang, bas berkenaan yang berada di laluan sebelah
kanan cuba masuk ke laluan kiri tetapi nyaris berselisih dengan sebuah kereta
yang mahu ke tokong berhampiran di sebelah kanan jalan.
"Pemandu
bas bagaimanapun sempat brek. Kalau tidak dari awal lagi terjunam ke gaung
lebih dalam lagi. Kemudian berlaku pertengkaran antara mereka. Selepas itu, bas
teruskan perjalanan. Tiga minit kemudian pemandu bas itu berhenti. Waktu
hidupkan enjin, terdengar bunyi 'krek', mungkin bas ada masalah.
"Perjalanan
kemudian diteruskan tetapi kali ini bas bergerak laju, habis kereta di depan
dia langgar...dalam dua tiga kereta, pemandu itu nampak macam kelam-kabut cuba
kawal ke kiri dan kanan. Waktu itulah penumpang yang lain menjerit-jerit
ketakutan sebelum bas terhumban dalam gaung," katanya.
Nor Maizatul,
kerani di sebuah syarikat swasta di Batu Caves patah kaki dengan luka di dahi
dan berdekatan mata ditemui di Hospital Sungai Buloh dekat sini.
Menurut Nor
Maizatul, dia yang naik ke Genting Highlands bersama seorang rakan untuk ke
Theme Park sebelum itu hairan kerana semasa di stesen lagi, bas berkenaan
mengambil lebih muatan, kira-kira 10 orang lagi.
"Ada yang
berdiri dan ada juga yang duduk di tangga bas," katanya.
Nor Maizatul
berkata, selepas bas terhumban dalam gaung, dia tersedar bas berkenaan berada
di depannya dan dilihatnya 'ada beberapa mangsa bertindan-tindan'.
"Saya
tercampak ke luar dalam keadaan meniarap dan tidak dapat bergerak. Seingat
saya, dekat saya ada seorang lelaki berasal dari Kelantan manakala rakan saya
tadi tercampak ke bahagian bawah gaung lagi.
"Lelaki
itu sempat menenangkan saya dan meminta menjaga diri. Lebih kurang sejam saya
menunggu dan hanya ingat mati sahaja," jelasnya.
Sementara itu,
seorang penumpang yang terselamat mendakwa pemandu bas itu mengabaikan
keselamatan apabila masih memandu kenderaan itu walaupun mengetahui berlaku
kerosakan brek.
Tan Ming
Shing, 26, mendakwa, sebelum kemalangan itu, bas berkenaan memotong sebuah
kereta jenis Honda dalam keadaan berbahaya menyebabkan pemandunya berang.
Menurut Ming
Shing, pemandu bas dan kereta Honda terbabit masing-masing berhenti di tepi
jalan dan bertengkar.
"Saya
dengar pemandu kereta Honda itu bertanya kenapa memandu bas dalam keadaan
berbahaya.
"Pemandu
bas kemudian memaklumkan kenderaannya mengalami masalah brek dan selepas itu
kedua-dua mereka meneruskan perjalanan," katanya kepada pemberita ketika
ditemui di Hospital Kuala Lumpur hari ini.
Ming Shing
yang bekerja di bahagian dapur di Genting Highlands mendakwa, dia hairan kenapa
pemandu bas itu mengambil risiko meneruskan perjalanan walaupun tahu
kenderaannya mengalami masalah brek.
Sementara itu,
seorang mangsa kemalangan yang terselamat merupakan rakyat Korea, dipercayai
masih kritikal.
Nahas bas
ekspres yang terjunam sejauh 60 meter ke dalam gaung di Kilometer 3.5, Genting
Highlands semalam adalah kemalangan paling buruk pernah berlaku di kawasan itu
dalam tempoh 17 tahun. – utusan melayu
berita sebelum, baca di sini.
Lihat video di sini.
@ Jika tragedi ini berlaku di Jepun, nescaya Menteri berkenaan akan mengambil penuh tanggungjawab dan akan melepaskan jawatannya dengan cara terhormat serta merta.
No comments:
Post a Comment