Saturday, August 10, 2013

Siri pembunuh upahan tonjol kejahatan sempurna?


Sama ada ia suatu jenayah berat atau fononema baru dalam siri pembunuh upahan di Malaysia, apa yang berlaku memperlihat bentuk realiti menakutkan atau realiti yang `horror’.

Mungkin perkara ini boleh disimpulkan melalui tajuk akhbar Singapura, The New Paper iaitu `Welcome to Malaysia: Where Death is cheap and staying alive is costly’.

Ini juga berdasarkan kepada bayaran kepada pembunuh upahan dengan harga yang rendah sebanyak RM1,000 untuk mencabut nyawa manusia. (Sinar Harian, 5 Ogos 2013)


Lima kes tembak dalam 48 jam

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Lima lagi kejadian tembak termasuk satu mengakibatkan mangsa maut dilaporkan berlaku dalam tempoh 48 jam lalu di ibu negara, Pulau Pinang dan Perak.

Di ibu negara semalam, seorang pemandu teksi berusia 27 tahun cedera di tapak tangan dan paha kiri selepas tertembak diri sendiri dengan pistol yang didakwa dijumpai dalam beg sandang di tempat belakang duduk kenderaannya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, dalam kejadian pukul 7.30 pagi itu, mangsa mendakwa telah menemui sebuah beg sandang di belakang teksinya selepas menghantar penumpang di Sri Hartamas di sini.

"Menurut mangsa, dia tertembak diri sendiri ketika cuba mengeluarkan kelongsong peluru dari senjata terbabit dan tembakan tersebut telah menembusi tapak tangan kiri dan peluru tersekat di bahagian paha kirinya," katanya kepada pemberita di sini.

Di PULAU PINANG, tiga kejadian tembak berlaku dalam tempoh tidak sampai 12 jam yang mana seorang mangsa maut merupakan bekas tahanan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, K. Veerapan, 37, maut selepas terkena beberapa das tembakan dilepaskan oleh dua lelaki bermotosikal ketika memberhentikan kereta BMW dipandunya di persimpangan lampu isyarat Jalan Anson di sini pada pukul 11.45 pagi semalam.

Beliau berkata, polis menemui 14 kelongsong peluru 9mm berdekatan kereta terbabit dan pihaknya percaya mangsa ditembak ketika melalui kawasan berkenaan kerana enjin keretanya masih hidup sewaktu polis sampai di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi di sini.

Kong Meng berkata, siasatan mendapati mangsa mempunyai tiga rekod jenayah lampau manakala kereta dipandu dipercayai milik rakannya.

Terdahulu pada pukul 1.15 pagi semalam, Kong Meng berkata, satu lagi kejadian tembakan berlaku di sebuah banglo milik seorang peniaga di Jalan Utama, Pulau Tikus.

Dalam insiden itu, katanya, mangsa, Teoh Shaw Ghee, 29, dan ahli keluarganya terjaga daripada tidur selepas terdengar bunyi letupan di luar kediaman mereka.

"Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu kerana enam das tembakan dilepaskan penjenayah cuma mengenai bahagian dinding dan tingkap rumah mangsa," katanya.

Kejadian tembakan ketiga di Pulau Pinang berlaku pada pukul 12.50 tengah malam tadi membabitkan seorang 'bouncer' di sebuah pusat hiburan yang cedera parah di paha akibat terkena tembakan dilepaskan seorang suspek memakai topi keledar.

Menurut Kong Meng, suspek bertindak melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa, Chong Peng Meng, 43, ketika dia turun dari kereta BMW yang dipandunya.

Mengulas lanjut mengenai motif kejadian, beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian yang mencederakan Peng Meng itu mempunyai kaitan dengan kumpulan kongsi gelap.

Di IPOH, seorang lelaki berusia 29 tahun yang sedang memandu cedera parah selepas terkena tembakan dilepaskan dua suspek bermotosikal di Taman Klebang Putra dekat Chemor semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, dalam kejadian kira-kira 11.15 malam itu, dua anggota keluarga mangsa turut berada di dalam kereta terbabit.

Bagaimanapun menurutnya, kedua-dua anggota keluarga mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Suspek yang menaiki sebuah motosikal menghampiri kereta mangsa yang sedang dipandu di kawasan perumahan berkenaan sebelum melepaskan sekurang-kurangnya enam das tembakan yang cuba disasarkan ke arah mangsa," katanya kepada pemberita di sini.



No comments:

Post a Comment