Sunday, August 4, 2013

Penyokong Morsi lancar protes baharu


PENYOKONG Presiden Mesir yang digulingkan,
Mohamed Morsi, menunaikan solat di dataran
Masjid Rabaah Al-Adawiya di Kaherah kelmarin.

KAHERAH - Penyokong Presiden Mesir yang digulingkan, Mohamed Morsi mengadakan bantahan baharu semalam ketika polis bersiap sedia untuk merobohkan kem penunjuk perasaan di sini.

Demonstrasi baharu itu berlaku selepas Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry berkata, tentera Mesir berjaya memulihkan demokrasi dengan menumbangkan Morsi. Komen tersebut mencetuskan kemarahan para penyokong pemimpin berkenaan.

"Adakah tugas tentera untuk mengembalikan demokrasi?" kata Gehad al-Haddad yang merupakan jurucakap pergerakan Islam terbesar di Mesir, Ikhwanul Muslimin.

"Adakah Kerry akan menerima jika Setiausaha Pertahanan Chuck Hagel menumbangkan Presiden Barack Obama apabila berlaku tunjuk perasaan besar-besaran di AS," tambahnya.

Dalam pada itu, beribu-ribu penunjuk perasaan berarak dari beberapa buah masjid selepas solat Jumaat dan menuju ke dataran Masjid Rabaa Al-Adawiya di sini semalam.

"Tumbangkan Sisi (ketua tentera Mesir), Morsi Presiden kami," kata mereka sambil mengibar bendera Mesir dan membawa poster Morsi.

Demonstrasi itu juga diadakan sebagai membantah arahan pihak berkuasa yang mahu mereka bersurai kelmarin.

Morsi kini ditahan oleh pihak tentera atas dakwaan melakukan jenayah kerana melarikan diri dari penjara semasa kebangkitan rakyat menumbangkan bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak pada tahun 2011. - AFP

No comments:

Post a Comment