Wednesday, August 21, 2013

Bas jatuh gaung di Genting, 37 terkorban


Sebuah bas terhumban ke dalam gaung di di Kilometer 3.6 Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur ketika menuruni Genting Highlands petang ini. Sehingga 9 malam ini, seramai 37 orang termasuk pemandu bas disahkan terkorban dalam nahas bas ekspres yang terjunam 60 meter ke dalam gaung di KM3.6 Jalan Genting Highlands. 

Sebelum itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata bas tersebut jatuh ke dalam gaung sedalam 200 kaki. Menurut Azizan kemalangan berlaku di Kilometer 3.6 Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur membabitkan sebuat bas awam Genting Highlands.

Menurut facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat pula, anggota balai bomba tersebut bergegas ke tempat kejadian untuk menyelamat mangsa yang terlibat. Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah turut berangkat ke lokasi nahas bagi meninjau kerja-kerja menyelamat mangsa.

Manakala ADUN Ketari, Lee Chin Chen ketika dihubungi Malaysiakini berkata beliau dimaklumkan terdapat 49 penumpang dalam bas ketika kejadian itu berlaku petang ini. Akhbar The Star pula melaporkan bahawa kemalangan itu berlaku kira-kira 2km dari Kuil Chin Swee dan lalulintas di kawasan itu sesak dan tidak bergerak.

Gambar-gambar yang diedarkan secara meluas di Facebook menunjukkan bas kuning terletak di dalam gaung. Sehingga jam 7.15 malam, 12 orang disahkan maut manakala 21 lagi dikhuatiri turut terkorban. Seramai 16 lagi mangsa berjaya dibawa keluar daripada bas itu dan kini menerima rawatan di beberapa hospital kerana mengalami pelbagai kecederaan. 

Sementara itu, Bernama melaporkan  Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Lumpur (HKL) Datuk Seri Dr Abu Hassan Ashaari berkata setakat pukul 6.28 petang, lima mayat mangsa nahas dihantar ke hospital berkenaan.      Mangsa lain turut dihantar ke Hospital Sungai Buloh, Hospital Selayang dan Hospital Bentong, di Pahang untuk rawatan.

"Setakat ini Hospital Selayang menerima tujuh pesakit, HKL (5), Hospital Sungai Buloh dan Hospital Bentong masing-masing dua mangsa," katanya.

Mangsa yang terlibat dalam lingkungan umur 19 hingga 50 tahun, katanya yang ditemui di hospital berkenaan.  Sementara itu, akhbar berbahasa Cina, Oriental Daily, yang memetik Jabatan Bomba dan Penyelamat, jumlah terkorban ialah 37 orang, 16 cedera.

Akhbar tersebut melaporkan bahawa mangsa yang terkorban terdiri daripada 32 Cina, tiga India dan dua Melayu. Semua mangsa dibawa keluar pada jam 8.15 malam. Oriental Daily juga melaporkan bahawa bas terbabit membawa 53 penumpang.


Antara kemalangan bas di Genting Highlands

5 Mac 2012: Dua mati, 20 cedera dalam kemalangan bas.

30 Jul 2011: 13 cedera selepas bas terbabas ketika turun.

29 Oktober 2010: Bas tergelincir di jalan Genting Sempah-Genting Highlands, Tujuh terkorban.

16 Jun 2009: 22 cedera dalam kemalangan bas.

Julai 16 1996: Sebuah bas yang membawa pekerja kilang dan keluarga mereka bercuti, jatuh ke dalam gaung sedalam 120 meter di Km1 jalan Genting Sempah-Genting, mengorbankan 17 orang.

30 Jun 1995: Kejadian tanah runtuh melibatkan kereta dan sebuah bas, mengorbankan 20 orang.


sumber:malaysiakini.com

No comments:

Post a Comment