ANGGOTA polis mengawal sebahagian
ahli kumpulan
pengganas Kiram
|
KOTA KINABALU 27 Jun - Seramai 22 orang termasuk
komander kumpulan pengganas Kiram berpangkat 'Jeneral', Datu Amirbahar Hushin
Kiram berhadapan hukuman mati kerana melancarkan peperangan terhadap Yang
di-Pertuan Agong.
Kesemua mereka mengaku tidak bersalah dan minta
dibicarakan semasa prosiding sebutan semula bagi merekodkan pengakuan mereka di
Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Sebelum ini, mereka telah dihadapkan ke Mahkamah
Majistret Lahad Datu dan Tawau serta Mahkamah Tinggi Tawau tetapi tanpa
merekodkan pengakuan mereka.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara 9
Februari dan 19 April lalu di Kampung Tanduo, Ladang Atlas 2, Kampung Tanjung
Labian, Lahad Datu; Kampung Muanad Beluran; Kampung Perigi, Simunul, Bakau,
Jalan Lihak-Lihak, Semporna dan Kampung Madai, Kunak.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 121
Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung atau penjara
seumur hidup dan denda.
Tertuduh-tertuduh itu ialah;
Datu Amirbahar,
Basad H. Manuel,
Salib Akhmad Emali,
Mohamad Ali Ahmad,
Pabblo Alie,
Abd. Hadi Mawan,
Atik Hussin Abu Bakar,
Dani Ismail, Saidili Jaharul,
Totoh Hismullah,
Basil Samiul,
Rizman Gulan,
Abdul Majil Jubin,
Rijmal Salleh,
Julham Rashid,
Tani Lahad Dahi,
Al Wazir Osman@ Abdul,
Virgilio Nemar Patulada @ Mohamad Alam Patulada,
Masir Aidin,
Anwar Salib Akhmad,
Ismail Yasin dan
Binhar Salib Akhmad.
Kesemua mereka turut menghadapi pertuduhan kedua
iaitu menganggotai kumpulan pengganas yang dikatakan dilakukan antara tarikh
dan tempat yang sama dan didakwa mengikut Seksyen 130KA kanun sama iaitu jika
sabit kesalahan boleh dipenjarakan seumur hidup dan denda.
Salib Akhmad turut menghadapi dua lagi
pertuduhan iaitu merekrut anggota kumpulan pengganas baharu dan melindungi
kumpulan pengganas yang didakwa dilakukan antara 9 Februari dan 25 Februari
lalu di Ladang Atlas 2, Jalan Ulu Tungku, Lahad Datu.
Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, dia didakwa
mengikut Seksyen 130E dan Seksyen 130K kanun sama yang membawa hukuman penjara
sehingga 30 tahun dan denda serta penjara seumur hidup dan denda atau penjara
sehingga 20 tahun dan denda bagi kesalahan keempat, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Peguam Negara, Tan
Sri Abdul Gani Patail dan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Nordin Hassan di
hadapan Hakim, P. Ravinthran.
Jumlah kesemua tertuduh yang dihadapkan ke
mahkamah hari ini ialah 29 orang termasuk seorang wanita dan seorang lelaki
yang berkerusi roda, manakala seorang lagi tertuduh, Habil Suhaili tidak hadir
ke mahkamah kerana sedang menerima rawatan di Hospital Tawau.
Mereka dibawa ke mahkamah dengan tiga buah trak
dengan kawalan ketat pihak polis, iaitu setiap seorang daripada mereka diiringi
anggota Unit Tindakan Khas lengkap bersenjata.
Daripada 29 tertuduh itu, 12 daripadanya
dipakaikan jaket strip sebagai langkah keselamatan, malah terdapat juga
sebahagian daripada mereka dipakaikan penutup kepala semasa dibawa masuk dan
keluar dari mahkamah.
Tertuduh wanita, Norhaida Ibnahi dituduh
melindungi kumpulan pengganas yang dikatakan dilakukannya antara 9 Februari dan
22 Mac lalu di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sri Melor, Bugaya,
Semporna.
Sementara Kadir Uyung dan Lating Tiong dikatakan
turut melakukan kesalahan sama pada 4 Mac lalu, pukul 4.30 petang di hadapan
Pos Pasukan Gerakan Am Tanjung Labian.
Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 130K
kanun sama, tetapi bagi dua lelaki itu hukumannya dibaca bersama Seksyen 511
kanun yang sama. Jika sabit kesalahan Norhaida boleh dipenjara seumur hidup dan
denda atau penjara sehingga 20 tahun dan denda.
Sementara Kadir dan Lating jika sabit kesalahan
boleh dipenjara seumur hidup dan denda.
Bagi tiga lagi tertuduh, Timhar Hadir, Holland
Kalbi dan Lin Mad Salleh, mereka dituduh menganggotai kumpulan pengganas yang
dikatakan dilakukan mereka antara 9 Februari dan 4 Mac lalu di Jalan Kastam
Lama dan Kampung Tanjung Labian, Lahad Datu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 130KA kanun sama
yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan denda jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, mahkamah menetapkan 12 Julai ini
di Mahkamah Tinggi Tawau untuk merekodkan pengakuan tertuduh yang tidak hadir
hari ini, Habil dan 15 Julai ini untuk pengurusan kes bagi menentukan lokasi
dan tarikh bersesuaian untuk perbicaraan kesemua tertuduh yang akan dijalankan
secara bersama. - utusan.com
No comments:
Post a Comment