At-Tirmidzi meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
“Hakim itu ada tiga kategori. Satu kategori hakim masuk syurga, manakala
dua kategori hakim lagi masuk neraka. Hakim yang berilmu pengetahuan dan
kemudian mengadili (kes) dengan keilmuannya maka dia masuk syurga. Manakala
hakim yang mengadili tanpa ilmu (tentang kes yang diadilinya) maka dia masuk
neraka. Begitu juga hakim jahil yang mengadili kes berteraskan kejahilannya
maka dia juga masuk neraka.” At-Tirmidzi: 1244
Kes Altantuya: Hakim terkhilaf
PUTRAJAYA – Hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf dalam mensabitkan dua bekas
anggota Unit Tindakan Khas (UTK) kerana membunuh wanita Mongolia, Altantuya
Shaariibuu, Mahkamah Rayuan di sini diberitahu hari ini.
Peguam Datuk Hazman Ahmad berkata anak guamnya Azilah Hadri, 34, tidak
memiliki atau mengawal bahan letupan C4 yang didakwa digunakan dalam pembunuhan
wanita itu.
“Tidak ada bahan letupan C4 yang disimpan di dalam stor Unit Tindakan Khas.
Mereka (Azilah dan seorang lagi tertuduh) tidak dilatih mengendalikan bahan
letupan dan bom. Bom dikawal ketat di dalam stor polis,” katanya.
Beliau berkata rekod log Azilah menunjukkan beliau hanya dibekalkan sepucuk
pistol Glock dan peluru.
Keterangan yang dikemukakan semasa perbicaraan mendedahkan bahawa Altantuya
ditembak dan mayatnya diletupkan dengan bahan letupan di kawasan hutan yang
dibersihkan pada malam 19 Okt, 2006.
Hazman berhujah terdapat ketidaktekalan dalam keterangan saksi pendakwaan
berhubung maklumat yang dikatakan diberi oleh Azilah yang membawa kepada
penemuan lokasi kejadian.
Beliau berkata Azilah tidak pernah mendedahkan lokasi Puncak Alam tempat
Altantuya ditembak dan diletupkan, dan menambah terdapat salah laksana keadilan
terhadap Azilah memandangkan polis terlebih dahulu memperoleh maklumat mengenai
lokasi kejadian.
“Terdapat percanggahan serius dalam keterangan saksi pendakwaan dengan apa
yang Azilah perkatakan,” kata Hazman, yang berhujah dalam rayuan Azilah dan
Sirul Azhar Umar, 39, terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009 mensabit dan
menjatuhi hukuman mati ke atas mereka kerana membunuh Altantuya, 28.
Mereka melakukan kesalahan itu di Mukim Bukit Raja di Klang dekat sini
antara 10 malam 19 Okt, 2006 dan 1 pagi 20 Okt, 2006.
Bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda, 50, yang dituduh bersubahat
dengan mereka, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Okt, 2008 tanpa
dipanggil membela diri selepas pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie
terhadapnya.
Hazman berkata hakim perbicaraan terkhilaf dalam undang-undang dan fakta
ketika menerima sebagai keterangan maklumat yang diberi Azilah mengikut Seksyen
27 Akta Keterangan dan menggesa Mahkamah Rayuan supaya tidak menerima maklumat
itu.
Hazman berkata Azilah memberi keterangan bersumpah dan disoal balas
bertalu-talu oleh pendakwaan namun hakim menolak pembelaan alibi anak guamnya
itu sebagai penafian semata-mata.
Sementara itu, peguam Kamarul Hisham Kamaruddin yang mewakili Sirul Azhar
berkata kegagalan pendakwaan memanggil DSP Musa Safri untuk memberi keterangan
menjadikan perbicaraan kes itu sebagai perbicaraan silap.
Beliau berkata hanya Musa yang dapat mengesahkan kebenaran afidavit yang
difailkan oleh Abdul Razak yang diterima Mahkamah Tinggi, dan kemudian
membebaskannya (Abdul Razak).
“Terdapat bahagian dalam afidavit itu yang memudaratkan tertuduh dan
pembelaan dinafikan satu-satunya cara untuk mencabar afidavit itu,” katanya.
Beliau berkata pendakwaan tidak merayu terhadap pembebasan Abdul Razak.
Kamarul Hisham berkata rekod telefon Abdul Razak menunjukkan lebih 30 teks
mesej yang dihantar penganalisis politik itu kepada Musa antara 7 dan 19 Okt,
2006, dengan 12 daripadanya direkodnya pada 19 Okt, 2006, malam Altantuya
dibunuh.
Beliau juga berhujah di hadapan panel tiga anggota diketuai Hakim Datuk
Seri Mohamed Apandi Ali bahawa penghakiman Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam
Datuk Mohd Zaki Md Yassin tidak menyatakan motif pembunuhan itu.
Dua lagi hakim ialah Datuk Linton Albert dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat.
Kamarul Hisham turut berhujah Sirul Azhar terdedah kepada ‘publisiti buruk’
semasa perbicaraan sungguhpun tiga akuan berkanun dan salinan kenyataan
beramaran dipercayai diberi oleh Sirul Azhar yang dimuat naik dalam laman web
internet, menjadikannya satu perbicaraan silap.
Bagaimanapun, Apandi menempelak, dan bertanya di manakah dalam penghakiman
itu hakim membayangkan bahawa beliau telah dipengaruhi.
Beliau berkata tidak mungkin bagi hakim secara umumnya akan terpengaruh
dengan laporan media memandangkan mereka tidak ada masa untuk melayari laman
web berikutan beban tugas mereka.
“Sekiranya penghujahan ini dibenarkan, maka semua perbicaraan jenayah, akan
menjadi perbicaraan silap,” kata Apandi, dan menambah hakim bertindak
berdasarkan fakta dan keterangan yang dikemukakan dalam perbicaraan.
Pendakwaan yang diketuai Peguam Cara Negara II Datuk Tun Abdul Majid Tun
Hamzah akan berhujah esok. – Bernama
No comments:
Post a Comment