Wednesday, June 19, 2013

Penkid Cabar Fatwa





KUALA LUMPUR: “Fatwa itu tidak akan berjaya menghapuskan pengkid. Takkan apabila saya berjalan dalam keadaan berpakaian seperti lelaki, polis terus tahan dan tangkap saya.

“Atau, adakah apabila saya dengan kawan perempuan makan bersama-sama, kami terus ditangkap?” kata seorang pengkid dikenali sebagai Win yang seolah-olah mencabar fatwa dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK), bau-baru ini.

Kata Win, dia yakin di kalangan pengkid, fatwa yang diumumkan MFK pada 23 Oktober lalu tidak akan mengubah keadaan, malah golongan perempuan yang berpakaian dan berperwatakan seperti lelaki itu akan terus dengan aktiviti mereka seperti biasa.

Menurut Win, pengharaman itu hanya sekadar di atas kertas kerana pihak berkuasa sukar mengambil tindakan, terutama dalam membezakan sama ada seseorang itu pengkid atau tidak.

“Kami tahu mereka (pihak berkuasa) sukar ambil tindakan ke atas kami. Jika saya berkawan dengan wanita lain, adakah kami akan ditahan? Apa bukti mengatakan saya pengkid selain cara berpakaian kerana sesiapapun boleh berpakaian seperti ini,” katanya.

Menurut MFK, gejala pengkid diharamkan kerana kesalahan golongan itu di sisi Islam sangat serius berikutan mereka bukan hanya berpakaian menyamai lelaki, tetapi wujud kecenderungan melakukan hubungan seksual sesama wanita.

Mengulas hal itu, Win berkata, tidak semua pengkid melakukan kesalahan, walaupun dia mengakui ada yang bertindak di luar batasan.

“Kami hanya mahu berseronok atau bersuka-suka, tetapi saya tak nafikan ada pengkid yang lebih-lebih sehingga bercinta dan melakukan hubungan seks sesama jenis,” katanya.

Menurutnya, pengkid menjadi pilihan wanita kerana didakwa lebih memahami golongan itu, terutama apabila wujud masalah.

“Kami (pengkid) lebih mudah dekati mereka (wanita), terutama apabila ada masalah. Walaupun sehingga ada yang melakukan hubungan seks, ia masih selamat kerana sukar untuk mengandung,” katanya.

Win yang bekerja di sebuah pasar raya mengakui dia ada teman wanita meskipun sedar mereka sukar mendirikan rumah tangga.

“Ramai tidak memahami keadaan kami. Sejak kecil sampai sekarang, saya tiada naluri terhadap lelaki, malah ibu bapa tidak kisah saya berpakaian seperti lelaki.

“Saya tahu saya tidak boleh selama-lamanya begini. Satu hari nanti saya akan berubah. Jika ditakdirkan ibu minta saya kahwin dengan lelaki, saya akan paksa diri ini untuk berkahwin,” katanya.

Seorang lagi pengkid yang mahu dikenali sebagai Asni, 25, berkata dia berasa lucu dengan pengharaman itu kerana percaya pihak berkuasa, terutama jabatan agama, belum tentu dapat mengambil tindakan meskipun ada pasangan pengkid sudah lama tinggal sebumbung.

Dia mengakui, sejak bertukar ‘wajah’ menjadi lelaki selepas tamat sekolah, dia hidup bahagia kerana memiliki pasangan sejenis dan mereka saling menyintai sejak dua tahun lalu.

Mereka kini tinggal sebumbung bagaikan pasangan suami isteri di sekitar Ampang selama hampir satu tahun.

Katanya, sejak pengharaman itu diumumkan, dia dan kekasihnya berusia 22 tahun mengambil keputusan untuk terus tinggal bersama dengan alasan tiada tindakan boleh diambil kerana mereka sesama wanita.

“Buat masa sekarang saya tak hendak ambil tahu (pengharaman itu). Saya tahu jalan yang kami pilih salah dan berdosa. Namun saya tidak dapat hendak mengubah naluri diri sejak kecil. Apa mereka (pihak berkuasa) boleh lakukan?

“Adakah kami boleh ditangkap atas kesalahan menjadi pengkid? Bukan sewenang-wenangnya tindakan boleh diambil,” katanya yang bertubuh kurus, kulit putih dan berambut pendek kemerahan.

Sambil memeluk mesra pasangannya yang ada bersama ketika itu, Asni berkata, setakat ini kehidupan yang dilalui bersama kekasihnya tidak berubah dan berjalan seperti biasa.

Katanya, saban hari dia dan pasangannya masih melakukan rutin harian seperti biasa seperti keluar bersama pengkid lain, mengunjungi kelab ‘snooker’ dan pusat hiburan.

“Saya sudah fikir masak-masak, apa sebenarnya yang perlu saya takutkan? Lebih baik saya jalani hidup seperti biasa dan bergembira bersama rakan lain.

“Begitu juga ketika di rumah bersama kekasih, tiada apa perlu berubah antara kami. Takkan kerana isu ini dibangkitkan, saya perlu tidur bilik berasingan dengannya.
Lesbian?

“Walaupun naluri saya begini, fizikalnya saya tetap wanita. Ketika ini saya bersekedudukan dengan wanita juga, apa yang hendak ditakutkan. Sebab itu ada baiknya saya tidak berfikir mengenai itu,” katanya yang berasal dari Perak.

Menurutnya, pihak berkuasa juga terlepas pandang mengenai satu lagi budaya pengkid iaitu lesbian yang menjadi pasangan atau kekasih pengkid.

Katanya, golongan terbabit mengekalkan ciri-ciri kewanitaan, berpakaian wanita tapi naluri dan keinginan seksual mereka hanya pada wanita juga.

“Sejauh mana pun tindakan diambil, ia tidak mengubah apa-apa. Mungkin boleh mengubah cara pengkid berpakaian. Apa pula ceritanya jika ia sekadar imej luaran tetapi dalaman masih naluri sama,” katanya.

Seorang lagi pengkid bernama Jas, 22, juga mempertikai fatwa pihak berkuasa dengan alasan mereka hanya berpakaian seperti lelaki tetapi tidak melakukan jenayah seperti mana pihak lain.

“Kami tidak merogol, tidak mencuri atau melakukan jenayah besar seperti membunuh. Yang kami buat ialah keluar dengan rakan, ‘enjoy’, lepak dan minum, itu saja,” katanya yang memiliki seorang teman wanita dengan rupa paras menawan.

Ditanya mengenai keputusan MFK, Jas berkata, dia membincangkan perkara itu dengan rakan pengkid lain, namun mereka tidak ambil peduli kerana ia sekadar fatwa.

“Kita lihat dalam kes lain seperti pondan atau gay, mereka juga melakukan kesalahan, tetapi kenapa sampai hari ini masih wujud. Pada saya, biar apapun mereka nak buat, itu hak mereka,” katanya yang menyedari hidup mereka bergelumang dosa dan menjalin hubungan luar tabii bersama pasangan sejenis.

Awi, 21, pula berkata, walaupun akur dengan pengharaman budaya itu, dia tidak kisah sekalipun ada rakan sekerja dan keluarga memandang serong terhadapnya.

Dia yang kini tinggal serumah dengan rakan pengkid sekitar Sentul juga nekad untuk meneruskan kehidupan sebagai pengkid kerana menganggap pengharaman itu bukan penghalang untuk mereka mengekalkan gaya hidup dan berkumpul bersama pengkid lain.

“Saya tidak peduli (pengharaman) itu semua! Saya tahu siapa diri saya. Jika ada pengkid hendak berubah kerana isu ini, itu urusan mereka.

“Saya percaya, jika hendak berubah atau tidak, biar lahir daripada kerelaan hati. Itu yang seelok-eloknya, bukan kerana desakan dan paksaan,” katanya yang mengakui pernah berniat membunuh diri kerana dibuang keluarga apabila diketahui menjadi pengkid.

Seorang lagi pengkid, Joey, 24, dari Johor, berkata dia keliru dengan jalan hidup dipilih, ditambah pula bergelumang dosa menjalin hubungan sesama jenis sejak tamat persekolahan.

“Namun, inilah perasaan dan keinginan naluri sebenar saya. Saya terima hakikat, saya tetap wanita walaupun penampilan seperti lelaki.

“Namun, saya sukar menerima kehadiran lelaki dalam diri saya. Perasaan saya hanya untuk wanita. Memang sukar untuk dijelaskan,” katanya yang kini tinggal bersama ‘kekasih’ songsangnya di Wangsa Maju sejak 2006.

Pengkid or tomboy?

Begitupun, katanya, sejak pengharaman itu diumumkan dia turut terkena tempias apabila keluarga dan rakan mula menyisihkan dirinya.

“Keluarga yang mulanya tak kisah kini buruk sangka dan keliru dengan penampilan saya begini. Mereka malu dan tidak mahu terima diri saya jika tidak mahu berubah.

“Begitu juga rakan di pejabat, kadangkala saya tidak tahan diperli dan diketawakan kerana penampilan begini. Semua orang di sekeliling memandang serong. Namun sukar untuk berubah kerana naluri ini membelenggu saya,” katanya.


Ciri-ciri:

Pengkid

  • Berpakaian dan bergaya seperti lelaki (pakaian dan cara hidup)
  • Tubuh badan dan rambut sama seperti lelaki.
  • Menjalin hubungan dengan wanita sehingga ada yang bercinta dan melakukan seks.
  • Membengkung payudara.
  • Suka wanita cantik.
  • Menganggap diri seperti lelaki yang boleh menjaga pasangan, terutama apabila diganggu.

  
Tomboi

  • Perwatakan seperti lelaki.
  • Ada perasaan terhadap lelaki.
  • Bukan lesbian (suka sesama jantina atau pengkid).
  • Minat terhadap aktiviti lasak dan mencabar.
  • Ada sikap kasar dan ganas.


Lesbian

  • Perwatakan sama seperti wanita sejati.
  • Homoseks (lesbian).
  • Memiliki sikap cemburu.
  • Suka wanita cantik.


Source dari:fiq-life.blogspot.com

No comments:

Post a Comment