Hassan Ali Basari diiring oleh anggota polis |
KOTA KINABALU 25 Jun - Maklumat berhubung pasukan keselamatan akan memasuki
Kampung Tanduo, Lahad Datu pada pukul 12 tengah malam, diperoleh melalui
pintasan percakapan telefon antara Datu Amirbahar Hushin Kiram dan ketua
kumpulan pengganas Kiram, Datu Agbimuddin Kiram.
Saksi kedua yang dilindungi identitinya, memberitahu Mahkamah Tinggi di
sini hari ini bahawa maklumat tersebut diberikan oleh seorang anggota polis
cawangan khas.
Dia memberikan keterangan melalui talian terus menggunakan alat komunikasi
khas kepada Hakim, P. Ravinthran.
Keterangan tersebut ditaip semula oleh jurubahasa di dalam komputer yang
dapat diakses oleh semua peguam dan pendakwaan dalam perbicaraan kes terhadap
tertuduh Koperal Hassan Ali Basari didakwa dengan sengaja tidak memberi
maklumat mengenai pengganas di Lahad Datu.
Saksi itu yang bertugas sebagai pembantu tadbir di Cawangan Khas Ibu
Pejabat Polis Bukit Aman dan mahir dalam Bahasa Suluk dan Bajau memintas
percakapan itu pada pukul 10.31 malam, 25 Februari lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Nordin Hassan kemudiannya memintanya
membacakan catatan itu kepada mahkamah.
"Pada 25 Februari 2013, jam 22:31 (10:31 malam), Datu Amirbahar
menyatakan dia mendapat tahu daripada Hassan yang merupakan anggota polis
bahawa pihak berkuasa Malaysia akan masuk pukul 12 tengah malam nanti. Raja
maklum dan memberitahu mereka telah bersedia. Datu Amirbahar memberitahu Hassan
dan Hussin merupakan adik-beradik dan mereka juga merupakan ahli keluarga kita.
Raja maklum."
Hassan yang berasal dari Semporna didakwa mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan
yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya
jika sabit kesalahan.
Tertuduh yang diwakili peguam-peguam Ram Singh, Kamarudin Mohd. Chinki,
Syaiful Sufyyan Sidin dan Lo Yun Sin didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat
Ketua Cawangan Khas Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu antara Januari
dan 3 Mac lalu.
Datu Amirbahar yang juga anak saudara kepada Jamalul Kiram III dan
merupakan komander kumpulan pengganas Kiram berpangkat Jeneral yang menceroboh
Kampung Tanduo pada 12 Februari lalu ditangkap pada 23 Mac lalu di kawasan paya
bakau di Kampung Sri Melor, Bugaya, Semporna.
Dia dihadapkan ke Mahkamah Majistret Lahad Datu pada 19 April lalu atas dua
tuduhan, iaitu melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong dan menjadi
ahli kumpulan pengganas.
Perbicaraan bersambung esok.
No comments:
Post a Comment