Sunday, June 23, 2013

Barah payudara serang lelaki?





Golongan lelaki yang merasai perubahan pada bahagian dada perlu mendapatkan pemeriksaan di hospital dengan kadar segera kerana serangan sel barah pada mereka adalah lebih agresif berbanding wanita.

Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Klinikal Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Dr. Nik Min Ahmad berkata, benjolan barah pada dada lelaki mudah pecah kerana mereka tidak mempunyai payudara seperti wanita, sekali gus membolehkan sel barah merebak ke bahagian organ lain dengan cepat.

Jelas beliau, sehingga kini statistik menunjukkan kira-kira lima peratus daripada kes barah yang menimpa lelaki adalah kerana barah payudara, namun puncanya belum dapat dikenal pasti.

"Kes barah payudara melibatkan lelaki sangat kurang atau berlaku secara random tetapi sebaik sahaja dihidapi, serangannya berlaku sangat pantas dan boleh melibatkan organ badan lain.

"Rawatan yang akan diberi kepada lelaki adalah sama sahaja dengan wanita iaitu melibatkan kemoterapi, radioterapi dan lain-lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Kanser Survivor Kesembilan bertemakan Antara Realiti dan Fantasi anjuran Jabatan Perubatan Nuklear, Radioterapi dan Onkologi USM di Kampus Kesihatan USM, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dr. Nik Min menegaskan, sebanyak 60 peratus pesakit barah payudara tampil melakukan pemeriksaan di hospital setelah penyakit mereka memasuki tahap tiga dan empat menyebabkan rawatan menjadi semakin sukar.

"Jangan sangka kalangan yang datang lewat ke hospital adalah dari golongan kurang berpendidikan atau miskin sahaja, malah ia sebenarnya meliputi semua peringkat termasuk golongan profesional dan doktor sendiri.

"Payudara adalah mahkota bagi wanita dan sudah tentu mereka berasa malu dan cuba menafikan apabila mendapati ada sesuatu yang berlainan pada aset mereka,'' katanya.

Beliau berkata, walaupun rawatan tradisional merupakan antara kaedah pilihan ramai, pesakit masih perlu segera ke hospital kerana penyakit itu boleh dirawat sekiranya dikesan awal.

"Kedua-dua rawatan boleh berjalan seiring dan sokongan pihak keluarga juga sangat diperlukan untuk membantu dan memberi motivasi kepada pesakit," katanya.

source:utusan.com.my

@sesuatu yang mustahil, adakalanya  tidak menjadi mustahil..
 

No comments:

Post a Comment