Monday, June 10, 2013

Fabregas dalam senarai teratas MU





LONDON – Bekas pemain pertahanan Manchester United, Denis Irwin mendakwa skuad The Red Devils bersungguh-sungguh untuk menandatangani pemain tengah Barcelona, Cesc Fabregas pada Ogos depan.

Irwin berkata, beliau yakin United akan memenangi perebutan bagi mendapatkan Fabregas meskipun pemain antarabangsa Sepanyol berusia 26 tahun itu turut menjadi sasaran utama bekas kelabnya, Arsenal.

Irwin antara individu terawal yang mendedahkan keinginan United untuk menandatangani penyerang Arsenal, Robin van Persie tahun lalu.

Kini, bekas pemain pertahanan kiri yang dihormati dan menggalas tugas sebagai duta di Old Trafford itu mendedahkan, Fabregas berada dalam senarai teratas kelab itu.

“Fabregas diletakkan di kedudukan teratas dalam senarai perpindahan pemain di United dan juara Liga Perdana England itu akan melakukan apa sahaja untuk mendapatkannya.

“Bintang Barcelona itu mahu meninggalkan Stadium Nou Camp dan United serius mahu mendapatkannya. Jadi, rundingan sepatutnya berlangsung dengan mudah. Fabregas ialah pemain tengah yang diperlukan United sekiranya mereka mahu memenangi trofi Liga Juara-Juara musim depan.

“Fabregas dijangka menjadi rebutan banyak kelab dan saya yakin harga pemain itu akan meningkat,” kata Irwin.

Sementara itu, Irwin turut menjangkakan United akan membuat tawaran bagi mendapatkan pemain Everton, Leighton Baines dan Luke Shaw dari Southampton, manakala Nani serta Patrice Evra akan meninggalkan Old Trafford sebaik David Moyes memulakan tugas selaku pengurus United Ogos depan. – Agensi


No comments:

Post a Comment