Kuala Lumpur: Nyata ia pengorbanan besar yang dibuat seorang janda apabila
rela dirinya ditiduri semata-mata bagi memastikan bekas suaminya dibebaskan
sekumpulan penculik.
Wanita yang juga seorang peniaga berusia 41 tahun itu dilaporkan berbuat
demikian selepas gagal menyediakan wang tebusan RM10,000 yang diminta lima
penjenayah terbabit.
Sumber polis berkata, bekas suami wanita itu yang berusia lewat 40-an
diculik pada 10 Jun lalu selepas dia didakwa menipu lima lelaki terbabit
berkaitan penjualan permit warga asing. “Natijahnya, bekas isteri lelaki itu
diganggu kumpulan terbabit selain diminta menyerahkan wang tebusan RM10,000
bagi membebaskannya,” katanya.
Menurutnya, wanita terbabit didatangi lima lelaki berusia lewat 20-an
ketika sibuk berniaga di Bukit Jalil, di sini, jam 4 petang, 10 Jun lalu.
“Kumpulan terbabit turut membawa bekas suaminya bersama sebelum mendakwa
tidak berpuas hati dengan lelaki itu kerana dikatakan menipu mereka,” katanya.
Sumber itu berkata, bekas suami wanita itu kemudian dibawa semula bersama
kumpulan penculik terbabit menaiki Proton Waja berwarna biru.
Bagaimanapun, katanya, kira-kira jam 12.30 tengah hari keesokan harinya,
wanita itu dihubungi seorang lelaki dan meminta RM10,000 sebagai wang tebusan
jika mahu bekas suaminya dibebaskan.
“Mangsa memberitahu dia hanya memiliki RM1,100 dan suspek yang
menghubunginya berkata dia setuju menerima jumlah berkenaan, namun untuk
‘mencukupkan’ jumlah RM10,000 yang dituntut, mangsa perlu menyerahkan tubuhnya.
“Suspek memberitahu, persetujuan mangsa mengadakan hubungan seks bukan saja
sebagai sebahagian bayaran wang tebusan, tapi juga bayaran bagi melunaskan
hutang bekas suaminya itu,” katanya.
Menurutnya, wanita terbabit kemudian diarahkan bertemu di sebuah pasar di
Jalan Klang Lama dan diberi amaran agar merahsiakan perkara itu jika tidak mahu
bekas suaminya itu ditembak hingga mati.
Sumber itu berkata, bersimpati dengan nasib bekas suaminya wanita itu
mengikut arahan diberikan dengan pergi bersendirian ke lokasi diarahkan.
“Sejurus tiba di lokasi berkenaan, mangsa menemui lima lelaki sebelum
dibawa ke sebuah rumah di Pantai Dalam dan dipertemukan dengan bekas suaminya
yang dijadikan tahanan.
“Mangsa dipaksa melakukan hubungan seks dengan seorang daripada ahli
kumpulan terbabit selain diminta menyerahkan RM1,100 sebagaimana dijanjikan,”
katanya.
Bagaimanapun, katanya, perkara itu tidak berakhir di situ kerana mangsa
masih diganggu dan diugut biarpun sudah menyerahkan sejumlah wang dan tubuhnya
kepada penjenayah terbabit.
“Ini kerana mangsa dihubungi semula kumpulan terbabit kira-kira jam 3 pagi,
12 Jun lalu sebelum diarahkan membayar sejumlah lagi wang atau keluarga dan
bekas suaminya akan dibunuh jika dia gagal berbuat demikian.
“Tidak tahan dengan ugutan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis
Sungai Besi, di sini, jam 1.30 tengah hari, hari sama,” katanya.
Sumber itu berkata, bekas suami mangsa sudah dibebaskan kumpulan penjenayah
terbabit.
Source:hmetro
@Apakah tindakan janda itu berbaloi dengan membantu bekas
suaminya yang didapati menipu. Hubungan mereka hanyalah bekas!. Janda itu ingin
membantu tapi akhirnya tertipu, duit kena kebas, dirogol pula dalam paksa rela.
Ingatkan kes dah setel, malah diganggu lagi. Memang dasar penyangak!
No comments:
Post a Comment