Sewaktu alam persekolahan, murid bercermin mata tebal sering dianggap budak pandai, cikgu
atau ulat buku. Namun, apabila semakin
dewasa, ramai beralih kepada kanta lekap kerana selain selesa, penampilan juga
lebih menarik.
Apabila menggunakan kanta lekap, tiada lagi ketidakselesaan disebabkan
cermin mata melorot dari batang hidung akibat berpeluh ketika bersukan atau
memikirkan bajet mahal bagi menggantikan cermin pecah atau bingkai yang rosak.
Kanta lekap turut dipakai individu yang tidak rabun kerana inginkan penampilan
lain daripada biasa. Jika sebelum ini, mata cantik dihias kanta lekap berwarna,
kemunculan gelombang K-Pop menghangatkan lagi trend kanta lekap dengan gaya
lebih berani.
Ada dua jenis kanta lekap iaitu polymethylmethacrylate (PMMA) yang tebal
dan keras, serta hidrogel yang lebih menyerap oksigen. Jenis PMMA digunakan
secara meluas ketika kanta lekap baru diperkenalkan suatu masa dulu sebelum
jenis hidrogel mengambil tempat.
PERTUMBUHAN saluran darah pada kornea. |
Kanta lekap hidrogel lebih selesa dipakai kerana pengguna tidak rasa sedang
memakai kanta lekap dan ia direka bagi membolehkan lebih banyak penyerapan
oksigen ke dalam mata. Kanta lekap perlu ditanggalkan dari mata setiap hari
(biasanya malam) dan ia digunakan pakai buang dengan diganti setiap hari,
setiap dua minggu atau setiap bulan.
Perunding Optalmologi Pusat Perubatan Tropicana, Dr Khor Sim Ee berkata,
pengguna kanta lekap perlu berdisiplin dalam penjagaan kanta lekap. Ini kerana,
jika silap langkah atau kurang penjagaan, kanta lekap boleh memberi masalah
besar kepada penggunanya.
ULSER kornea akibat jangkitan bakteria. |
Menurutnya, kebanyakan pengguna tidak mempunyai pengetahuan mengenai cara
penggunaan dan penjagaan kanta lekap yang betul. Ketika membeli kanta lekap,
mereka tidak diberikan panduan sepatutnya.
“Antara yang perlu diberi perhatian ialah jika mata merah, sensitif, kabur
atau sakit, segera berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan,” katanya
KESAN JANGKA PANJANG
1)Penggunaan kanta lekap selama bertahun-tahun boleh mengurangkan ketebalan
kornea - kekurangan oksigen menyebabkan sel epitelium iaitu lapisan luar makin
berkurangan dan mati.
2)Kanta lekap menghalang oksigen yang mengakibatkan kornea kurang sensitif.
Pengguna tidak menyedari matanya dimasuki bendasing, misalnya habuk.
3)Reaksi yang kurang terhadap kemasukan bendasing menyebabkan mata kurang
berkedip, sekali gus menyebabkan kurangnya kelembapan mata.
4)Pemakaian kanta lekap akan mengubah lengkungan kornea dan jika dipakai
terlalu lama akan menyebabkan rabun bertambah.
MATA yang mengalami ‘Giant Papillary Conjunctivitis’ |
KOMPLIKASI
Bukan jangkitan
1)Mata kering kerana kornea kurang kelembapan disebabkan halangan kanta
lekap. Ini kerana mata mengeluarkan lebih banyak air mata apabila ada cahaya
dan angin jika tiada halangan kanta lekap.
Ada juga cecair membersih dan merendam kanta lekap yang tidak sesuai dan
menyebabkan mata cepat kering. Kanta lekap perlu dibersih dengan enzim
pembersih bagi membuang lendir atau sisa yang tertinggal di lapisannya. Ia
tidak harus dipakai lebih lapan jam.
2)Luka pada kornea disebabkan trauma seperti kecederaan, kanta lekap koyak
atau bentuk tidak sempurna. Tidak mahir ketika mula menggunakan kanta lekap
juga boleh mendatangkan kecederaan.
3)‘Cornea microcysts’ iaitu kekaburan disebabkan kurang oksigen, terutama
kerana kanta lekap dipakai lebih daripada masa sepatutnya, misalnya melebihi
lapan jam.
4)Pertumbuhan saluran darah pada kornea - Kornea yang secara semula jadi
jernih seperti cermin akan ditumbuhi saluran darah kerana kurang oksigen.
Masalah itu menyebabkan mata menjadi kabur.
5)Boleh menyebabkan alahan atau imunologi L:
- Cecair mencuci, merendam atau membilas kanta lekap boleh menyebabkan alahan pada mata.
- Protein yang terlekat pada mata juga boleh menyebabkan alahan.
- Pesakit ‘Giant Papillary Conjunctivitis’ iaitu kelopak mata di bahagian dalam mempunyai benjolan. Pesakit sukar memakai kanta lekap disebabkan benjolan berkenaan, terdapat banyak lendir keluar dan rasa tidak selesa.
Jangkitan
1)Ulser kornea - seorang daripada 2,500 pengguna kanta lekap pakai buang
harian berisiko mendapat jangkitan ini berbanding kanta lekap yang boleh
digunakan dalam jangka masa lebih lama (extended wear) dengan kekerapan 1:500
Individu yang tidur dengan kanta lekap berisiko 10 hingga 15 kali lebih
tinggi mendapat ulser kornea kerana mata lebih mudah tercedera, kurang oksigen
dan memerangkap bakteria.
Secara normal, mata kita akan berkedip dan air mata akan membersihkan mata
daripada bakteria tetapi dengan pemakaian kanta lekap, perkara ini tidak
berlaku kerana kanta lekap menghalang proses itu daripada berlaku. Bakteria
lebih mudah terperangkap di kanta lekap dan mata.
2)Pseudomanas aeruginosa - sejenis bakteria yang mudah merebak dan
menyebabkan ulser teruk dalam tempoh singkat. Biasanya bakteria ini menyebabkan
parut dan menjejaskan penglihatan.
Ulser yang tidak terkawal boleh menyebabkan mata bocor. Mata yang bocor
menyebabkan air mata sentiasa meleleh. Pesakit memerlukan kornea gantian yang
diperoleh daripada penderma.
Kebanyakan individu yang berdepan masalah ini ialah mereka yang tidak
mengikut cara penjagaan kanta lekap yang betul, menggunakan cecair pencuci,
rendaman atau bilasan yang tamat tempoh atau masih menggunakan bekas menyimpan
atau merendam kanta lekap yang lama dan kotor.
Elak memakai kanta lekap lebih lapan jam dan jangan sekali-kali tidur
dengan kanta lekap. Selain itu, hindari mencuci kanta lekap dengan air paip
atau masih menggunakan kanta lekap yang tamat tempoh.
No comments:
Post a Comment