Sunday, June 23, 2013

Guna Laman Sosial Yang Menjerat Diri




Mulanya sekadar mahu berkongsi cerita, pengalaman dan perjalanan kehidupan harian dengan kawan rapat dan ‘pengikut’ setia laman sosial. Bagaimanapun, apabila mereka secara sengaja atau tidak memuat naik aksi terlampau dan sama ada klip video atau gambar seksi, ia dengan cepat tersebar meluas di alam maya.


Itulah padah diterima beberapa artis dan selebriti tempatan yang terpalit dengan kontroversi selepas mempromosikan diri di beberapa laman sosial terutama Facebook, Twitter dan terbaru, Keek.

Tindakan itu ternyata mengaibkan diri sendiri apabila gambar dan video mereka yang terlalu peribadi dan tidak sesuai ditonton secara terbuka dimuat naik pula ke laman sosial lain, blog dan media massa.

Antara artis yang terbabit dengan kontroversi ini ialah Sharifah Sakinah, Nabila Huda dan Zarina Anjoulie.

Sakinah dihentam kerana klip videonya yang dimuat naik ke laman sosial Keek seakan mengejek dan mempermainkan individu lain. Nabila Huda pula terpalit dengan video separuh bogelnya dimuat naik ke laman sosial sama manakala Zarina Anjoulie kerana pelbagai gambar seksi dan tidak senonoh miliknya sering dipaparkan di Facebook.

“Dulu lain, sekarang lain. Sekarang macam-macam ada. Facebook, Twitter, Keek, Youtube. Lagipun zaman berubah. Mungkin laman sosial sebegini lebih dekat dengan masyarakat, lebih-lebih lagi artis muda,” kata seniwati veteran, Mariani Ismail.

Menurut Mariani, dunia kini jauh berubah berbeza dengan zamannya. Mungkin kerana perkembangan teknologi maklumat yang semakin pesat, penggunaan Internet secara meluas membuatkan sesetengah artis lalai dalam penggunaannya.

“Lalai yang saya maksudkan ialah terlalu terbawa-bawa dengan laman sosial. Mereka menjadi taksub. Semua perkara nak diberitahu sehinggakan tidak sedar terdapat gambar atau video yang tidak enak turut menjadi tatapan.

“Kita perlu menjaga sensitiviti masyarakat, lebih-lebih lagi masyarakat Melayu yang beragama Islam. Nasihat saya, jagalah tatasusila kita sebagai seorang artis. Baik yang kita tonjolkan, baiklah jadinya. Begitu juga sebaliknya,” katanya.


No comments:

Post a Comment