Imam Shafie merupakan salah seorang Imam Mazhab
yang empat. Beliau mempunyai ketajaman akal dan kecerdikan yang luar biasa.
Beliau telah menghafaz al-Quran seawal umur 9 tahun lagi. Setahun kemudian
pula, beliau menghafal kitab al-Muwatta’ karangan Imam Malik. Beliau merupakan
seorang yang sangat mencintai ilmu. Lantaran itu, pada satu hari beliau meminta
izin daripada ibunya untuk keluar menuntut ilmu ke Madinah. Ia merupakan kali
pertama Imam Shafie keluar daripada tempat kelahirannya, Makkah dan mengembara
untuk meluaskan ilmu.
Apabila tiba di Madinah, beliau terus menuju ke
Masjid Nabawi dan menunaikan solat sunat dua rakaat. Setelah selesai solat,
beliau terpandang satu Majlis ilmu yang disampaikan oleh seseorang yang sangat
hebat dalam masjid tersebut. Orang tersebut sedang bersyarah di hadapan begitu
ramai anak-anak muda yang kesemuanya khusyuk mendengarnya.
Orang itu ialah Imam
Malik yang sedang mengajar murid-muridnya tentang hadis-hadis Rasulullah s.a.w.
Dengan langkah yang tertib, Imam Shafie terus menuju ke tempat Imam Malik dan
duduk bersama murid-murid beliau. Imam Shafie lantas mengambil sebatang lidi
lalu membasahkannya dengan air liur. Beliau menulis segala apa yang diajar oleh
Imam Malik tersebut di atas tapak tangannya. Tanpa di sedari, Imam Malik
memerhati segala tingkah lakunya.
Selesai pengajian, Imam Malik pun memanggil Imam
Shafie untuk menegur beliau. Sangkanya Imam Shafie berbuat perkara kurang sopan
ketika belajar. Imam Malik bertanya kepada Imam Shafie,
“Apakah kamu berasal dari Makkah”.
Jawab Imam Shafie, “Benar”.
Imam Malik kemudian bertanya, “Mengapakah engkau bermain-main dengan
lidi dan air liurmu semasa aku sedang mengajar?”.
Jawab Imam Shafie, “Maaf tuan. Sebenarnya saya tidak
bermain-main. Oleh kerana saya tidak ada kertas dan pena, segala yang tuan ajar
saya tulis di atas tapak tangan saya dengan menggunakan lidi dan air liur untuk
saya menghafalnya”.
Apabila Imam Malik membelek-belek tangan Imam
Shafie, beliau tidak menjumpai sebarang tulisan pun.
Beliau terus berkata, “Tetapi kenapa tapak tangan engkau ni
kosong sahaja”.
Kata Imam Shafie, “Benar tuan. Namun demikian tuan, saya telah pun menghafal semua
hadis-hadis yang tuan riwayatkan itu”.
Setelah beliau disuruh membaca apa yang dihafalnya,
Imam Malik mendapati tidak ada satu hadis yang tinggal daripada 20 hadis yang
diajar hari itu. Perkara yang aneh ini belum pernah terjadi sebelumnya. Imam
Malik begitu tertarik hati dengan kebijaksanaannya.
Semenjak peristiwa itu,
Imam Shafie dijemput untuk menetap di rumah Imam Malik sebagai tetamu sekali
gus menuntut ilmu dengan Imam Malik. Selama 18 bulan Imam Shafie berguru dengan
Imam Malik. Hatinya yang terang memudahkan beliau memahami dan menghafal kitab
al-Muwatta’. Sehingga akhirnya, murid kesayangan Imam Malik ini sering diberi
penghormatan bersyarah dan mengajar murid-murid yang lain.
Pengajaran:
1).Diperhatikan kehadiran Imam Shafie yang sedikit
lewat dalam majlis ilmu Imam Malik telah sedikit sebanyak mengganggu perhatian
Imam Malik untuk menyampaikan ilmu sepenuhnya. Lantaran itu, dalam menuntut
ilmu sebaik-baiknya biarlah berada di dalam majlis seawal mungkin dan tepat
pada masanya kerana sesungguhnya ilmu itu ditunggu dan bukannya menunggu. Hal
ini juga dapat mengelak daripada penyampai ilmu dan penerima ilmu yang berada
dalam majlis merasa terganggu dengan keterlewatan kita itu.
2). Dalam majlis ilmu, tumpuan perhatian yang
sepenuhnya perlu diberikan kepada penyampaian ilmu. Apa sahaja perlakuan yang
tidak berkaitan seharusnya dielakkan. Perlakuan Imam Shafie sahaja yang sedang
mencatat isi pengajaran kuliah Imam Malik dengan menggunakan lidi dan air liur
di atas tapak tangan pun sudah begitu mengganggu tumpuan Imam Malik untuk
mengajar apatah lagi sekiranya ada anak-anak murid yang bercakap-cakap atau
melakukan hal-hal lain yang tidak berkaitan semasa pengajaran.
3). Seorang pendidik yang baik akan mengenal pasti
kebolehan dan keistimewaan anak muridnya dalam mendidik, agar dengan itu proses
pendidikan dapat dilakukan dengan tepat, sesuai dengan kebolehan dan keupayaan
murid tersebut. Menyedari kemampuan dan keistimewaan Imam Shafie, Imam Malik
terus mengajak Imam Shafie ke rumah beliau untuk terus dididik dan
dipertajamkan kebolehannya sehingga akhirnya ilmu tersebut dapat dimanfaatkan
untuk kebaikan umat.
Nasihat
Imam Syafie
Imam al-Syafie tokoh ilmuan yang terkenal dengan
ketekunan dalam menuntut ilmu, penegak sunnah, penegak kebenaran dan imam besar
dalam bidang fekah. Beliau banyak meninggalkan kata-kata nasihat yang boleh
dijadikan panduan kepada para pelajar. Antaranya ialah :
1). Imam
al-Syafie pernah bersyair:
Aku mengadukan kepada Waki’ (guru beliau) tentang
buruknya hafalan
Maka beliau membimbingku untuk meninggalkan
perbuatan maksiat
Dan berkata,
‘Ketahuilah
bahwa ilmu adalah cahaya
Dan cahaya Allah
tidak diberikan kepada pelaku maksiat’
2).Beliau
Berkata:
“Barangsiapa
ingin agar Allah membukakan hatinya atau meneranginya,
maka dia harus
meninggalkan pembicaraan yang tidak bermanfaat,
meninggalkan dosa-dosa,
menghindari perbuatan-perbuatan maksiat
dan
menyembunyikan amalan yang dikerjakan antara dia dan Allah.
Jika dia
mengerjakan hal tersebut, maka Allah akan membukakan
ilmu baginya
yang akan menyibukkan dia dari yang lainnya.
Sesungguhnya
dalam kematian terdapat perkara
yang
menyibukkan.”
Antara pengajaran yang boleh diambil daripada
nasihat Imam al-Syafie ialah :
1). Menghindari maksiat kerana maksiat merupakan
hijab atau penghalang untuk mendapat ilmu. Hati yang dicemari dengan dosa tidak
akan dapat menyimpan ilmu yang bermanfaat.
2). Meninggalkan percakapan atau aktiviti-aktiviti
yang sia-sia. Sesungguhnya masa itu amat berharga bagi seorang pelajar.
3). Melakukan amalan-alaman sunat secara
tersembunyi dan tidak diketahui oleh sesiapapun. Ini antara cara untuk ikhlas
dalam beramal soleh.
4). Orang yang mendapat bimbingan Allah sentiasa
menghabiskan masanya dengan ilmu dan amalan yang berfaedah untuk dunia atau
akhiratnya.
5). Orang yang berilmu juga hendaklah selalu
mengingati mati kerana mati itu akan menyibukkan seseorang itu dengan perkara
yang bermanfaat untuk kehidupannya selepas mati.
source:mohamadazhan.com
No comments:
Post a Comment