Saturday, June 29, 2013

Pembunuh Kejam Dihukum Mati




“Sebaik hukuman dijatuhkan, Muidin yang mulanya berdiri
dengan tenang terus terduduk dan terus menangis.”
Apa Dosa yang telah dilakukan pada kanak2 5 tahun?
-Rogol
-Liwat
-Bunuh
-Bakar
Ini menyifatkan pelaku saorang yang KEJAM!
Semoga Dirang menanti Kaum Keluarganya di Pintu Syurga... Amin.


Pembunuh Dirang dijatuhi hukuman mati
           
Buruh kontrak, Muidin Maidin dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Johor Baharu hari ini setelah didapati bersalah membunuh kanak-kanak Nurul Nadirah Abdullah atau lebih dikenali sebagai Dirang.

Hakim Datuk Abdul Halim Aman membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Muidin, 27, dituduh membunuh Dirang, 5, di ladang kelapa sawit di Jalan Suria 47, Bandar Seri Alam, Masai di Johor Baharu antara pukul 11.30 pagi, 1 Mac dan 12 tengah malam, 2 Mac 2012.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Sebelum menjatuhkan hukuman itu, Hakim Abdul Halim menyifatkan tertuduh sebagai penjenayah yang kejam, tidak berhati perut dan tidak berperikemanusiaan kerana melakukan perbuatan tersebut ke atas Dirang yang merupakan insan kecil yang masih belum tahu apa-apa.

"Bukti DNA digabungkan dengan bukti cebisan kain pelikat tertuduh yang dijumpai pada mangsa, sampel tanah yang sama pada motosikal tertuduh dengan tanah tempat kejadian dan keterangan saksi menunjukkan tertuduh melakukan kesalahan tersebut.


"Profil campuran DNA yang dijumpai dalam kemaluan dan dubur mangsa hanya melibatkan mangsa dan tertuduh. Kebarangkalian DNA itu disumbangkan oleh tertuduh dan si mati adalah 700 trilion," katanya.

Beliau berkata tidak soal timbul konspirasi di mana pihak tertentu meletakkan sampel darah (DNA) tertuduh pada mangsa kerana kedapatan DNA itu di dalam dubur dan kemaluan si mati hanya dapat diwajarkan dengan perlakuan atau perbuatan yang aktif.

Menurut beliau, pembelaan tertuduh bahawa dia tidak pernah ada apa-apa dendam pada keluarga si mati adalah hanya penafian semata-mata.

Dirang dilaporkan hilang pada 1 Mac tahun lalu, ketika membeli mi segera dan telur di kedai runcit berhampiran rumahnya di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam sebelum disahkan meninggal dunia akibat dibunuh 
dan dibakar pada 12 Mac tahun lalu.

Misteri kehilangan Dirang terjawab apabila laporan Jabatan Kimia mengesahkan ujian DNA ke atas mayat rentung yang dijumpai di sebuah lubang di tapak perumahan terbengkalai di Nusa Damai, Masai di sini pada 8 Mac tahun lalu adalah milik mangsa.

Sebaik hukuman dijatuhkan, Muidin yang mulanya berdiri dengan tenang terus terduduk dan terus menangis.

Tiga wanita yang dipercayai saudara perempuannya yang hadir di mahkamah turut dilihat menangis apabila mendengar keputusan tersebut.

"Ke tepi, ke tepi," jerit Muidin dalam tangisan sambil cuba menendang jurugambar-jurugambar akhbar yang mengambil gambarnya apabila dia diiringi polis ke lokap mahkamah.

Ibu Dirang, Roselyn Alan ketika ditemui berkata beliau berasa lega kerana kematian anaknya itu terbela.


"Perasaan saya pun legalah sebab kematian anak saya tak sia-sia. Akhirnya terbela juga. Saya nak ucapkan terima kasih kepada pihak polis, pendakwa raya, yang tak putus bagi harapan dan doa untuk saya. Terima kasihlah kepada semua yang membantu saya selama lebih setahun ini," katanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Ketua Unit Pendakwaan Johor Umar Saifuddin Jaafar dan Timbalan Pendakwa Raya Jasmee Hameeza Jaafar manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Daud Ismail, Goh Tse Han dan Mohamad Abd Kadir.

Umar Saifuddin ketika ditemui berkata bukti forensik memainkan peranan besar di dalam kejayaan pendakwaan kes tersebut.

"Polis forensik telah bertungkus lumus mengumpulkan bukti dari rumah mangsa, kawasan persekitaran tempat tinggal mangsa sehinggalah ke tempat penemuan mayat mangsa. Pihak Jabatan Kimia juga telah menjalankan tugas mereka dengan baik," katanya.

Perbicaraan selama kira-kira empat bulan itu menyaksikan seramai 35 saksi pihak pendakwaan dan tiga saksi pihak pembelaan dipanggil memberi keterangan.-Bernama

No comments:

Post a Comment