Monday, June 10, 2013

'Manusia Google': Istimewa Dari Manusia Lain





SEBAGAI manusia biasa, kita sering terlupa banyak perkara walaupun dalam tempoh yang singkat. Malah, memakan kepala ikan, udang atau termakan semut boleh membuatkan seseorang mudah dijangkiti sifat pelupa.

Bagi mengatasi masalah itu, ramai yang mengamalkan memakan kismis, tamar serta delima kerana bukti saintifik mengesahkan ia mampu membantu meningkatkan daya memori.

Namun, percayakah anda, terdapat manusia ibarat perpustakaan 'bergerak' atau 'manusia Google' yang bukan sahaja dapat mengimbas kembali setiap peristiwa yang berlaku di seluruh dunia lengkap dengan tarikh, hari dan tahunnya.

Bukan itu sahaja kelebihan lelaki Amerika Syarikat (AS), Brad Williams itu. Dia sebenarnya mampu mengingati setiap kejadian yang berlaku seawal umurnya empat tahun.

Hos sebuah stesen radio daerah yang terletak di Wisconsin, AS itu sebenarnya menghidap Sindrom Hyperthymestic.

Lupakan stereotaip segala sindrom atau penyakit menjurus kepada penyakit kronik dan serius, hyperthymestic sebenarnya memberikan aura kelebihan kepada penghidapnya.

Ini kerana Individu yang memiliki 'penyakit' berkenaan akan mengingati setiap peristiwa yang berlaku di seluruh dunia lengkap dengan tarikh, bulan, lokasi serta tahun dengan ketepatan hampir 100 peratus.

Realitinya, hanya 20 individu di seluruh dunia yang mempunyai kebolehan eksentrik ini.

Adik Williams, Eric merupakan seorang pengarah filem yang telah menghasilkan sebuah dokumentari televisyen bertajuk Unforgettable berkisar keistimewaan abangnya itu.

Dalam rakaman video dokumentari terbabit, Williams disoal sejumlah soalan yang berkisar pada tarikh 15 Mei 1972.

Istimewa

Williams, 53, terus berkata, pada hari tersebut seorang Gabenor AS, George Wallace ditembak oleh seorang pembunuh upahan.

"Saya juga sedang bermain tenis semasa itu," tutur Williams.

Wartawan yang menemu bualnya terkejut dengan jawapan lelaki berstatus duda ini.

Eric kemudian bertanya peristiwa yang berlaku pada 18 September 1965,

Williams memberitahu, pada tarikh tersebut siri komedi televisyen I Dream Of Jeannie mula ditayangkan.

Sekali lagi, jawapan itu betul!

"Sebenarnya, saya mengambil masa lama untuk menyedarinya.

"Malangnya, saya dijadikan mangsa oleh adik-beradik untuk membantu mereka menyiapkan kerja sekolah terutama berkaitan subjek sejarah," katanya sambil tersenyum.

Eric memberitahu, mulanya dia dan keluarga hanya menguji kepintaran abangnya.

"Dia berfikir beberapa saat sebelum memberikan jawapan sedangkan kami masih terkial-kial mencari maklumat menggunakan komputer.

"Ia menyebabkan kami bosan kerana setiap kali disoal, Williams pasti memberikan jawapan yang tepat," ujar Eric.

Eric hanya mengetahui abangnya menghidap Sindrom Hyperthymestic pada 2006 setelah terbaca laporan akhbar mengenai kebolehan seorang wanita dikenali dengan panggilan Irvine yang turut menghidap kebolehan itu.

Kemampuan Irvine diuji oleh sekumpulan pakar dari Universiti California, AS.

Eric menghubungi penyelidik tersebut sebelum abangnya kemudian turut didapati mengalami nasib yang serupa.

Williams kerap menulis skrip drama dan buku, cuma sisi kehidupannya sahaja agak gelap kerana berstatus seorang duda yang tidak mempunyai zuriat.

Dia juga dijadikan bahan uji kaji oleh jirannya.

"Mereka (jiran) kerap bertanya soalan seperti hari tarikh saya dilahirkan dan apa yang saya lakukan lima, 10 atau 15 tahun dahulu," jelasnya.

Tutur Williams, kemampuannya lebih menjurus kepada kejadian yang dilaporkan media atau berdasarkan perbualan orang lain.

Selain itu, dia mengamalkan aktiviti fizikal tertentu yang dirahsiakan.

Seorang pakar otak Universiti California, James McGaugh sendiri bingung dengan kebolehan Williams.

"Saya sendiri tidak mengetahui otaknya menyimpan jutaan maklumat dengan terperinci tetapi tidak menjejaskan fungsi organ itu.

"Kami mengkaji ratusan ujian terhadapnya semuanya tepat," ujar McGaugh.

Mengikut penyelidikan saintifik, seorang manusia mampu mengingati 50 hingga 100 digit atau 330 perkataan yang mampu bertahan selama 24 jam.

Adakah anda mampu mengingati peristiwa tiga bulan yang lalu?



No comments:

Post a Comment