Mitos mandi malam “Ali, jangan suka mandi malam nanti sakit. Mandi malam
buat paru-paru kamu masuk air, dengar kata ibu,” nasihat seorang ibu kepada si
anak.
Aktiviti mandi waktu malam sering dilabelkan dengan penyakit paru-paru
berair. Apakah benar salah faham ini dan wujudkah penjelasan saintifik untuk
merungkaikan isu yang masih diura-urakan sehingga kini?
Penjelasan konsep sebenar
paru-paru berair
1. Pulmonari Edema (PE)
Tidak, mandi malam tidak memudaratkan kesihatan mahupun mendatangkan
penyakit paru-paru berair, yang dikaitkan dengan masalah Pulmonari Edema dan
pneumonia.
PE merujuk kepada masalah pengumpulan air berlebihan pada ruang antara tisu
dan organ. Ini menyebabkan bahagian berkenaan kelihatan berair serta bengkak,
justeru mengundang salah faham ramai yang tidak peka dan kurang inisiatif dalam
pencarian sebenar dunia perubatan.
PE diakibatkan kecederaan pada permukaan paru-paru dan kegagalan fungsi
bahagian kiri (left ventricle) jantung. Ia tidak disebabkan oleh jangkitan atau
kemasukan wap air ketika mandi. Perkara ini tidak mudah seperti apa yang
bermain dalam fikiran pembaca yang mempercayai salah faham mandi malam.
Peredaran darah di kawasan jantung adalah cepat, berterusan dan didorong
daya penggerak (momentum) yang konstant (tetap). Bayangkan tiba-tiba jantung
berdenyut terlalu kencang atau perlahan. Tekanan pada pengaliran darah yang
sepatutnya tetap akan terganggu.
Gangguan pada tekanan (interstitial pressure) ini akan memaksa darah serta
komponen lain terkeluar daripada salurannya. Apabila keadaan ini berlaku di
paru-paru, tekanan berkenaan memaksa plasma darah meresap keluar ke ruangan
interstitial, iaitu ruangan yang kosong di antara saluran darah dan tisu-tisu
paru-paru.
2. Pneumonia
Kita harus maklum, pneumonia berlaku akibat jangkitan bakteria
streptococcus pneumoniae atau virus di paru-paru, yang menyebabkan keradangan
(inflammation) berlaku. Pneumonia berbeza dengan PE.
Hidupan seni ini boleh hadir bersama titisan (droplet) dalam udara dan
disebarkan menerusi air liur dan hingus pesakit. Pneumonia juga boleh diundang
dalam penggunaan sesetengah ubat dan penyakit autoimmune seperti AIDS, ekzema,
diabetes Melitus (tahap satu) dan banyak lagi.
Impaknya, air akan terbentuk pada paru-paru akibat masalah kesihatan itu.
Air atau lendir?
Adakah pembaca sedar bahawa air dalam paru-paru tidak seperti air biasa
pada paip? Air yang terbentuk berikutan masalah pneumonia atau PE, bukan 100
peratus air. Jangan sekali-kali kaitkan lendir pada paru-paru dengan air yang
kita biasa minum, mandi mahupun terhirup ketika mandi malam.
Bagi kes pneumonia (jangkitan), air itu mengandungi peratusan nanah (pus)
yang tinggi. Komposisi utama kandungan lendir paru-paru akibat PE (kecederaan
peparu dan masalah jantung) ialah darah, bendalir tubuh (serous fluid) dan
hanya sebahagian kecil atau tiada langsung nanah (pus).
Khasiat mandi
Menurut sumber terkini pada 21 April lalu, 20 nyawa terkorban dan 70 mangsa
lain bergelut menghadapi wabak H7N9 di China.
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham menegaskan bahawa,
tiada vaksin untuk penyakit itu. Walaupun tiada kes H7N9 di negara ini, rakyat
wajar mempraktikkan amalan pembersihan diri seperti mandi dan membasuh tangan.
Proses mandian pada apa juga waktu tidak meningkatkan risiko jangkitan
mahupun keradangan dan kecederaan pada paru-paru. Malah, aktiviti ini boleh
mencegah pelbagai jenis jangkitan dengan teknik pembersihan menggunakan sabun.
Selain mampu menghalang H7N9, penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), H1N1
(Influenza A), SARS, dan pelbagai penyakit kulit seperti ekzema, psoriasis, dan
dermatitis sentuhan juga mampu diatasi dengan aktiviti mandi.
Ia juga boleh bantu memulihkan ketahanan fizikal, mental dan emosi setelah
seharian penat bekerja.
Mandi juga mengurangkan kesakitan otot (mandian air suam), usus berfungsi
dengan lebih cekap untuk proses menyahkan toksin dan mengekalkan kulit yang
sihat serta cantik.
sumber: hmetro
No comments:
Post a Comment