Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat
serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para
sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang
dirahmati Allah,
Setiap tahun apabila sampai tanggal 27 Rejab umat Islam
diseluruh dunia akan mengadakan majlis sambutan peristiwa Israk dan Mikraj.
Israk dan Mikraj berlaku pada 27 Rejab, setahun sebelum Hijrah Rasulullah SAW
dari Makkah ke Madinah.
Apabila berbicara tentang peristiwa Israk dan Mikraj ini,
kita secara spontan akan terbayang kisah perjalanan Rasulullah SAW bersama
malaikat Jibril dan Mikail yang boleh dibahagikan kepada dua fasa.
1. Israk yakni perjalanan Nabi SAW menaiki binatang Buraq
dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa, di Baitulmaqdis, Palestin.
2. Mikraj ialah perjalanan dari Masjidil Aqsa ke Sidratil
Muntaha di langit yang ketujuh.
Perjalanan Rasulullah SAW ini telah diabadikan oleh Allah
SWT di dalam Al-Quran, Surah Al-Isra' ayat 1 yang bermaksud;
"Maha Suci
Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al
Masjidilharam ke Al Masjidilaqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar
Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami.
Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."
Menariknya, keseluruhan perjalanan Rasulullah SAW hanya
berlangsung pada satu malam.
Para ulama, hadis, ulama feqah dan ulama tafsir secara
umum menegaskan bahawa perisitiwa Israk dan Mikraj di mana kedua-duanya berlaku
dalam satu malam dan dalam keadaan baginda SAW sedar. Ia berlaku pada jasad
atau tubuh dan roh Nabi SAW bukannya roh sahaja. Sebagaimana difahami daripada
firman Allah dalam ayat tadi di mana Allah menegaskan "asra bi 'abdihi lailan" yang bermaksud memperjalankan
hamba-Nya pada waktu malam. Perkataan hamba yang dimaksudkan di sini iaitu Nabi
Muhammad SAW yang mana meliputi batang tubuh dan rohnya serentak bukannya
rohnya sahaja. Jika ia berlaku pada rohnya sahaja maka sudah tentu firman Allah
itu berbunyi "asra bi rohi 'abdihi
lailan" yang bermaksud memperjalankan roh hamba-Nya pada waktu malam
tetapi yang berlaku sebaliknya di mana Allah secara jelas menyatakan bahawa Dia
telah memperjalankan hamba-Nya iaitu Nabi SAW dalam keadaan tubuh dan rohnya
serentak.
Peristiwa ini pada pandangan orang yang tidak beriman
atau mereka yang tipis imannya, mereka menyatakan bahawa peristiwa ini tidak
mungkin akan berlaku atau pun mereka berbelah bahagi sama ada mahu
mempercayainya atau pun sebaliknya. Tetapi bagi orang yang benar-benar beriman
kepada Allah dan rasul-Nya maka mereka tetap percaya dengan penuh keimanan
kepada peristiwa ini.
Setelah baginda SAW menceritakan apa yang telah terjadi
padanya kepada masyarakat umum maka orang-orang kafir bertambah kuat mengejek
dan mendustakan baginda SAW. Fitnah terhadap baginda SAW bertambah kuat malah
ada juga di kalangan mereka yang sebelum ini telah memeluk Islam telah pun
murtad kembali. Manakala bagi mereka yang begitu membenarkan baginda SAW maka
iman mereka tetap utuh sebagaimana kita lihat kepada reaksi Sayyidina Abu Bakar
apabila dia mendengar berita daripada orang ramai tentang apa yang telah
diberitahu oleh Nabi SAW lalu beliau dengan tegas menyatakan :
"Benar! Aku
menyaksikan bahawa engkau merupakan Rasulullah. Jika baginda SAW mengatakan
bahawa baginda telah diperjalankan lebih jauh daripada itu maka aku tetap
beriman kepadanya".
Inilah ketegasan dan keyakinan yang tidak berbelah bahagi
Sayyidina Abu Bakar dalam mempercayai Allah dan rasul-Nya sehingga beliau
digelar as-Siddiq yang membawa maksud pembenar.
Selain itu, pernah juga diriwayatkan Rasulullah SAW
berjumpa dengan pelbagai keadaan manusia ketika di dalam perjalanan tersebut.
Meskipun kisah tentang peristiwa bersejarah ini seringkali diulangcerita oleh
para penceramah setiap kali sambutan Israk dan Mikraj diadakan, saya melihat
roh dan intipati di sebalik peristiwa ini masih tidak meresap ke dalam jiwa
masyarakat Islam.
Sahabat yang
dimuliakan,
Sebelum berlakunya Israk dan Mikraj Rasulullah SAW
mengalami pembedahan dada/perut oleh malaikat. Hati Baginda SAW dicuci dengan
air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan
waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman ke dalam dada Rasulullah
SAW. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan
binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar
biasa yang dinamakan "Israk" itu.
Semasa
Israk (Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa):
Sepanjang perjalanan (Israk) itu Rasulullah SAW diiringi
(ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu
(tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail
supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat
berkenaan ialah:
1. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah
akan melakukan hijrah,
2. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa AS menerima
wahyu daripada Allah,
3. Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa AS dilahirkan),
Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah SAW
menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan
peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib.
Peristiwa-peristiwa
tersebut adalah seperti berikut:
1. Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil
tanaman mereka. Apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula
seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah SAW
diberitahu oleh Jibrail: Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah"
yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga
gandaan yang lebih banyak.
2. Tempat yang berbau harum. Rasulullah SAW diberitahu
oleh Jibrail: Itulah bau kubur Masitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun)
bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk
menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetap teguh beriman
kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).
3. Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka.
Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula.
Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah
orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).
4. Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka
(qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan.
Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah
orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.
5. Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging
mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail:
Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan
itu masing-masing mempunyai isteri/suami.
6. Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan
dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba.
7. Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak
terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah
orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.
8. Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka
dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir
mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah
dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.
9. Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku
tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia
(mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.
10. Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang
yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah
orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.
11. Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan
pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah
dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan
mengutamakan dunia daripada akhirat.
12. Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan
menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah SAW tidak menghiraukannya. Kata
Jibrail: Itulah orang yang mensia-siakan umurnya sampai ke tua.
13. Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah
untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat
tua dan menanti saat hari kiamat.
Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun daripada
Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat
dengan segala anbia dan mursalin menjadi makmum.
Rasulullah SAW terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua
bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah SAW memilih susu lalu diminumnya.
Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya
ramai umat baginda akan menjadi sesat.
Semasa
Mikraj (Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah SWT);
Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga.
Rasulullah SAW dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu
langit dunia (pintu Hafzhah).
Di Langit Pertama: Rasulullah SAW dan Jibrail masuk ke
langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam AS. Kemudian dapat melihat
orang-orang yang makan riba dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang
rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada
susu penzina perempuan.
Di Langit Kedua: Nabi SAW dan Jibrail naik tangga langit
yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Isa AS dan Nabi Yahya AS.
Di Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi
Yusuf AS.
Di Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu
dengan Nabi Idris AS.
Di Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu
dengan Nabi Harun AS yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.
Di Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu
dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa AS Rasulullah mengangkat kepala
(disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai,
termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.
Di Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk
langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar
di Baitul-Makmur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah SAW, Nabi
Ibrahim AS bersabda, "Engkau akan berjumpa dengan Allah pada malam ini.
Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dhaif, maka berdoalah untuk umatmu.
Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu “La Haula
Wala Quwwata Illa Billah” Mengikut riwayat lain, Nabi Ibahim AS bersabda,
"Sampaikan nya ialah lima kalimah, iaitu: Subhanallah, Wal-Hamdulillah, Wa
La Ilaha Illallah Allahu Akbar Dan Wa La Haula Wa La Quwwata Illa Billahil-
'Aliyyil-'Azhim. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan
sepohon pokok dalam syurga".
Setelah melihat beberpa peristiwa lain yang ajaib.
Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang
(Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).
Di Tangga Kelapan: Di sinilah disebut
"al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha.
Rasulullah SAW menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang
tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun,
batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata yang indah.
Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia.
Baginda Rasulullah SAW dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus
masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta
dengan Malik penunggunya.
Di Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk
pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah SAW masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa
dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur
'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya
tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.
Di Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus
dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah SWT dengan mata
kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad,
Rasul-Nya:
Allah SWT: Ya Muhammad.
Rasulullah: Labbaika.
Allah SWT: Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami
perkenankan.
Rasulullah: Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai
Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan
Musa. Engkau berikan Daud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi.
Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada
sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin.
Engkau ajarkan Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan
orang buta, orang sopak dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan
ibunya daripada syaitan.
Allah SWT: Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu
sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan
buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan
keistimewaan kepadamu pada hari kiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah
Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu
ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah
'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar
makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan
semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardukan atasmu dan umatmu
50 (waktu) sembahyang.
Selesai munajat, Rasulullah SAW di bawa menemui Nabi
Ibrahim AS kemudian Nabi Musa AS yang kemudiannya menyuruh Rasulullah SAW
merayu kepada Allah SWT agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu
sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima
waktu), akhirnya Allah perkenan memfardukan sembahyang lima waktu sehari
semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.
Selepas
Mikraj:
Rasulullah SAW turun ke langit dunia semula. Seterusnya
turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Makkah pada
malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa
yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat
ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27
Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah).
(Sumber: Kitab Jam'ul-Fawaa'id)
Sahabat yang
dikasihi,
Kesimpulannya, Peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya
sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab
menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik
peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang
tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian
aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar
sentiasa mengingati Allah SWT dan takut kepada kekuasaan-Nya.
Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini
dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan
dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj
juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan
peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam
langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi
bercerita kepada mereka.
Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan
mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah
Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya
kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.
Dengan kita mendengar dan menghayati kisah dan cerita
yang berlaku di dalam peristiwa Israk dan Mikraj kita perlu ambil ikhtibar dan
yakin bahawa bumi Baitulmaqdis Palestin yang menjadi tempat bermulanya Mikraj
Nabi SAW adalah bumi penuh berkah dan terdapat Masjidil Aqsa (kiblat pertama
umat Islam)
Baitulmaqdis dan Masjidil Aqsa adalah harta umat Islam
yang telah dirampas oleh Zionis Yahudi laknatullah. Umat Islam perlu berusaha,
berkorban dan berdoa semoga tempat suci umat Islam ini dapat dipulangkan
kembali kepada pangkuan umat Islam. Peristiwa Israk dan Mikraj akan lebih
bermakna apabila umat Islam seluruhnya dapat membantu saudara-saudara kita di
Palestin dan dapat memulihkan dan menguasai Baitulmaqdis dan menghalau Yahudi
laknatullah daripada menguasai dan membunuh saudara-saudara kita di Palestin.
- Artikel iluvislam.com
No comments:
Post a Comment