Kes NFC: Saya tak pernah takut Shahrizat & Wanita Umno – Rafizi
KUALA LUMPUR 18 MAC: Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli bertegas
tidak sesekali takut berhadapan Shahrizat Jalil dalam kes skandal Pusat Fidlot
Kebangsaan (NFC).
Dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, bekas Menteri
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu menuduh serangan Rafizi ke
atasnya kerana takut dengan Wanita BN.
Rafizi“Saya tidak takut dengan makcik-makcik Wanita Umno. Tapi masa
kecik-kecik saya memang takut dengan lembu lembu, takut kena tanduk! Mungkin
itu maksud Sahrizat kot!” sinis Rafizi di twitter.
Ketua Wanita Umno itu dilaporkan tidak bersetuju dengan tindakan Rafizi
yang menyerang Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Noh Omar.
Shahrizat mendakwa, Rafizi menuduh kedua-dua mereka menipu kepada Parlimen
pada 2011 tentang pinjaman kerajaan berjumlah RM250 juta kepada National
Feedlot Corporation (NFCorp).
“Anak guam kamu menyerang saya selaku Ketua Wanita BN kerana dia takut
dengan kekuatan Wanita BN,” kata Shahrizat dengan nada keras kepada peguam
Rafizi, Ranjit Singh di sini.
“Kamu menyaman anak guam saya atas kata-katanya dalam satu kenyataan media.
Baca ini, adakah kamu bersetuju anak guam saya akan mengejar Perdana Menteri
dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani,” tanya Ranjit dipetik The
Malaysian Insider.
Beliau berkata demikian pada sesi soal balas dalam perbicaraan kes saman
fitnah Shahrizat berjumlah RM100 juta ke atas Rafizi dan Ketua Wanita KEADILAN,
Zuraida Kamaruddin.
Ranjit dipetik berkata, kenyataan media Rafizi bertujuan untuk membidas
Najib dan Noh yang memberitahu Parlimen pada Oktober dan November 2011 bahawa
pinjaman kerajaan RM250 juta tidak sepenuhnya disalurkan kepada NFCorp.
Katanya, menurut Rafizi, penyata kewangan NFCorp yang difailkan dengan
Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan syarikat tersebut mengeluarkan
wang sebanyak RM250 juta hingga tempoh 31 Mac 2009.
Apabila disoal lagi, Shahrizat menuduh Rafizi berniat jahat dan bertindak
atas tujuan tidak baik, menyebabkan Ranjit terpaksa membalas: “Awak betul-betul
perlu kawal diri sendiri.”
Malah Shahrizat berkata, beliau tidak sedar tentang dua kondominium yang dibeli
menggunakan dana NFCorp.
Shahrizat-Abdul-Jalil-NFCNFCorp dimiliki suami Shahrizat, Datuk Seri
Mohamad Salleh Ismail dan tiga anak pasangan tersebut.
Rafizi sebelum ini menegaskan, walaupun telah berulangkali menimbulkan
persoalan konflik kepentingan dalam penganugerahan projek NFC kepada syarikat
Mohamad Salleh semasa Shahrizat masih lagi dalam Kabinet, sehingga kini hanya
pengerusi NFCorp yang didakwa di mahkamah atas salahlaku.
Pada 12 Mei tahun lalu, Mohamad Salleh mengaku tidak bersalah di Mahkamah
Sesyen atas dua tuduhan pecah amanah melibatkan RM49.7 juta dalam dana NFCorp
menerusi pembelian dua unit kondominium.
Rafizi antara yang lantang dalam pendedahan skandal tersebut telah didakwa
bersama bekas kerani Public Bank, Johari Mohamad di bawah Akta Bank dan
Institusi Kewangan (Bafia) 1989 kerana mendedahkan dokumen perbankan melibatkan
NFCorp.
Kedua-dua mereka boleh dijatuhi hukuman maksimum RM3 juta atau dipenjara
tiga tahun jika didapati bersalah. – - Keadilandaily
No comments:
Post a Comment