SHAH ALAM - Seorang pelancong wanita warga Amerika
Syarikat bukan sahaja disamun dan dikurung, lebih malang dia dipercayai dirogol
bergilir-gilir selepas menaiki sebuah teksi di Mutiara Damansara, Petaling
Jaya, Isnin lalu.
Sumber berkata, ketika kejadian wanita berusia 25 tahun
itu baru selesai membeli barang di sebuah pusat beli-belah dan mengambil teksi
untuk pulang ke hotel.
Menurutnya, selain mangsa dan pemandu teksi, terdapat
seorang lagi 'penumpang' lelaki dalam kenderaan terbabit.
"Pemandu teksi dan lelaki terbabit dipercayai
bersekongkol membawa mangsa ke sebuah homestay di kawasan Sungai Pelek, Sepang.
"Mangsa dikurung selama dua hari dan dirogol.
Barangan berharga serta wang miliknya turut disamun," katanya.
Menurut sumber, mangsa berjaya melepaskan diri petang
semalam, sebelum membuat laporan di Balai Polis Sungai Pelek.
Katanya, susulan laporan itu, polis menahan seorang
lelaki tempatan bagi membantu siasatan dan sedang mengesan beberapa individu
lagi yang disyaki ada kaitan dengan kes tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten
Komisioner Arjunaidi Mohamed dan Pemangku Ketua Polis Daerah Sepang, Deputi
Superintendan Zaldino Zaludin mengesahkan terima laporan berhubung kes
tersebut.
Pada 6 Mac lalu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala
Lumpur, Datuk Ku Chin Wah mengesahkan seramai lima pemandu teksi ditahan kerana
disyaki terlibat dalam kes samun dan culik penumpang bagi meminta wang tebusan
di sekitar ibu negara baru-baru ini.
Beliau berkata, polis turut mengenal pasti tiga kumpulan
pemandu teksi aktif melakukan jenayah tersebut sejak enam bulan lalu dengan
menyasarkan penumpang wanita yang menaiki teksi bersendirian sebagai mangsa.
Katanya, sebanyak 13 kes dilaporkan berlaku sejak Januari
lalu dan modus operandi penjenayah adalah menyewa teksi dan berpura-pura
mengambil penumpang sebelum menyamun atau menculik mereka. -SH
No comments:
Post a Comment