Saya ingin bertanya mengenai tabiat kencing berdiri.
Bagaimanakah cara untuk mengatasi masalah lelaki suka kencing berdiri dan
benarkah kencing berdiri itu adalah kencing seperti syaitan?
Dalam masalah ini juga saya menjumpai kes seorang lelaki
yang selalu kencing berdiri. Walaupun ditegur, lelaki terbabit dikatakan masih
berdegil serta menimbulkan masalah kerana rumahnya berbau hancing akibat air
kencing terpercik ke dinding dan kekuningan.
Isterinya juga tidak puas hati, lalu mengadu pada orang
luar. Saya meminta nasihat Dr mengenai masalah ini.
Salim,
Alor Setar
Umumnya membuang air kencing sambil berdiri bagi
seseorang lelaki tidak haram, malah dibenarkan dalam beberapa keadaan.
Perkara ini pernah berlaku pada Rasulullah SAW. Menurut
Hudhaifah RA: “Suatu ketika Nabi SAW pernah singgah di suatu tempat pembuangan
sampah berhampiran dengan daerah suatu kaum. Di situ, baginda membuang air
kecil sambil berdiri. Melihat itu, aku segera pergi menjauh, tetapi baginda
malah berkata: “Mendekatlah ke mari.” Aku pun segera menghampirinya hingga
berdiri berhampiran dengan tumitnya. Kemudian aku melihatnya berwuduk dan
menyapu kedua-dua khaufnya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dengan kata lain, kencing berdiri dibenarkan apabila
dapat menjaga pakaian dan diri daripada terkena najis. Ia pula sesuai dengan
tempat tertentu. Lebih-lebih lagi apabila ada tandas khusus dan sebagainya. Ia
sudah tentu tidak menyerupai syaitan.
Bagaimanapun, pada kebiasaannya, Rasulullah SAW buang air
kecil sambil duduk (mencangkung). Cara kencing sambil duduk lebih baik
berbanding kencing sambil berdiri kerana seseorang dapat menjaga kebersihan
secara lebih sempurna kerana air kencing tidak terpercik jauh.
Selain itu, cara kencing sambil duduk juga dapat
memastikan air kencing keluar habis.
Kebiasaan yang dilakukan Rasulullah SAW perlu diberitahu
kepada lelaki terbabit.
Dengan itu, beliau akan menurut kebiasaan Rasulullah. Ia
tentu dapat mengatasi masalah di atas. Beliau juga perlu dinasihati supaya
tidak membuang air merata-rata seperti ke dinding.
Sememangnya sudah ada kemudahan mangkuk tandas untuk
berbuat demikian. Segala kemudahan perlu digunakan sebaik mungkin dan cara yang
betul.
Jika masih tidak tahu menggunakannya perlulah diajar satu
persatu mengenai tatatertib menggunakan tandas dan bilik air seperti mengepam
air apabila selesai menggunakannya.
No comments:
Post a Comment