Americk Singh |
KUALA LUMPUR 16 Mac: Seorang peguam senior, Cecil Abraham mengaku
menyediakan Akuan Bersumpah kedua (SD) untuk bekas penyiasat persendirian, P
Balasubramaniam atas arahan perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Perkara itu dinyatakan peguam mendiang Bala, Americk Singh Sidhu (gambar)
ketika mesyuarat agung tahunan (AGM) Majlis Peguam di Kuala Lumpur, hari ini.
Mesyuarat itu mencadangkan usul untuk mengadakan suruhanjaya bebas bagi
menyiasat siapa yang menyediakan draf bagi akuan bersumpah kedua Bala.
“Cecil berjumpa saya dan mengaku mendraf akuan bersumpah kedua tanpa arahan
Bala. Arahan ini datang dari Najib,” katanya dalam pertemuan tertutup itu.
Beberapa peguam menulis di twiter menyatakan Americk menerima tepukan
gemuruh ekoran pendedahannya. Malaysiakini melaporkan, beberapa peguam ketika
ditemui di luar mesyuarat itu berkata, mereka turut menyokong tuntutan Americk,
yang bertemu Abraham dua minggu lalu.
Sementara itu, Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo meminta Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjawab dakwaan Americk. Beliau juga meminta
Majlis Peguam menjelaskan mengapa badan itu lewat bertindak.
“Malaysian Bar juga harus memberitahu kami mengapa siasatan mengenai aduan
ini ditangguhkan,” ujarnya. Balasubramaniam pada Julai 2008, membuat akuan
bersumpah mengaitkan Najib dengan kes pembunuhan Altantuya Shaariibu.
Beliau antara lain mendakwa Najib pernah mengadakan hubungan seks dengan
wanita Mongolia berkenaan. Bagaimanapun, Bala menarik balik akuan bersumpah
tersebut dengan membuat akuan bersumpah kedua sehari selepas mendedahkan SD
pertama.
Penyiasat persendirian yang pernah berkhidmat dengan Abdul razak baginda
itu kemudian menghilangkan diri selepas mendakwa menerima ancaman. Bala pulang
ke tanahair 24 Februari lepas, dan kemudian nekad untuk menjelajah negara bagi
mendedahkan skandal berkenaan.
Bagaimanapun hasratnya tidak kesampaian apabila beliau meninggal dunia
semalam, dilaporkan kerana serangan jantung. Kumpulan peguam hari ini
mencadangkan satu usul agar siasatan dibuat terhadap peguam terlibat dalam
persediaan SD kedua. - malaysiakini
No comments:
Post a Comment