LAHAD
DATU: Seorang anggota militan Sulu
ditembak mati setelah lelaki itu menyerang seorang anggota keselamatan dengan barong
(sejenis parang) ketika pemeriksaan di sebuah rumah di Kampung Simunul,
Semporna.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk
Hamza Taib berkata anggota keselamatan itu ditetak lelaki berumur 60-an
terbabit di depan dan belakang badannya ketika pasukan keselamatan menjalankan
operasi bersepadu dan penggeledahan di kampung berkenaan pada 8.40 pagi.
"Walaupun ditetak,
anggota pasukan keselamatan berjaya melepaskan tembakan. Tiada kecederaan
serius dialami anggota kita.
"Siasatan mendapati
lelaki itu merupakan pengawal dan pembantu kepada seorang penceroboh militan
Sulu yang dikenali sebagai 'Imam Tua'," katanya pada sidang akhbat di
Markas Operasi di Felda Sahabat 16.
Imam Tua adalah antara
pengganas yang mati dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan di
perkampungan atas air itu 2 Mac lepas yang turut mengorbankan enam anggota
polis.
Hamza berkata hasil
pemeriksaan di rumah itu, pasukan keselamatan menahan dua wanita berusia 45 dan
30 tahun yang merupakan isteri dan anak perempuan penceroboh militan yang
ditembak mati berkenaan.
Kedua-dua wanita yang tidak
mempunyai dokumen pengenalan diri itu kini ditahan di bawah Akta Kesalahan
Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), katanya.
Beliau berkata turut ditahan
dalam operasi itu ialah empat lelaki. Kesemua mereka ditahan mengikut akta-akta
lain.
Hamza berkata sehingga kini
pasukan keselamatan menembak mati 68 musuh manakala 121 individu ditahan untuk
siasatan di bawah Sosma dan 443 ditangkap mengikut akta-akta lain.
Sementara itu, Hamza berkata
ketua kampung dan ketua-ketua keluarga Kampung Tanjung Batu akan dibawa masuk
bersama kumpulan penilaian terdiri daripada pegawai daerah dan Majlis
Keselamatan Negara ke kampung itu esok bagi membuat taksiran kerosakan harta
benda sebelum penduduk yang mempunyai dokumen dibenar pulang Sabtu ini.
Bagi yang tiada dokumen,
mereka akan diletakkan di satu kawasan sementara, katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment