LAHAD DATU – Percaya atau tidak, kumpulan penembak tepat
pengganas Sulu dipercayai turut melibatkan wanita.
Satu sumber memberitahu, kumpulan wanita Sulu yang berusia
lingkungan awal 20-an itu difahamkan amat arif dalam penggunaan senjata dan
mereka hanya mengambil masa singkat untuk mempelajari selok-belok penggunaan
senapang.
“Kumpulan pengganas itu didakwa menggunakan tenaga
penembak tepat wanita bagi memberi laluan kepada golongan lelaki untuk
bertempur dengan pasukan keselamatan,” kata sumber itu kepada Kosmo! di sini
semalam.
Kata sumber itu lagi, senjata yang digunakan oleh pasukan
penembak tepat pengganas Sulu itu kebanyakannya daripada jenis rifel M14 dan M1
yang turut digunakan oleh askar-askar Amerika Syarikat.
Saiz peluru yang digunakan bagi rifel M14 dan rifel M1
adalah sebesar 7.62 milimeter.
“Mungkin ada antara kumpulan penembak tepat wanita itu
mengalami kecederaan ketika bertempur dengan pasukan keselamatan,” tambah
sumber itu.
Bagaimanapun, jelas sumber itu lagi, sehingga semalam
belum ada mayat pengganas wanita ditemui. - Kosmo
No comments:
Post a Comment