Operasi Menjejak Pengganas Terus Diperhebat, Tiada
Pertempuran di Hari Ke-10 Ops Daulat
LAHAD DATU: Meskipun tempoh 24 jam berakhir tanpa
sebarang pertempuran, Operasi Daulat yang memasuki hari ke-10, berlarutan
dengan operasi menggempur serta menjejak pengganas di Tanjung Batu dan Sungai
Nyamuk dekat sini, terus diperhebat.
Selain dua kawasan itu, operasi membersih dan menjejak
militan yang kini bergerak dalam kumpulan kecil terus diperkukuh, termasuk
mempertingkat sekatan jalan raya di luar kawasan operasi.
Operasi menggempur habis-habisan itu juga menyaksikan
ketibaan dua helikopter pelbagai guna milik Tentera Darat, Agusta Westland
AW109, di padang markas Operasi Daulat di Felda Sahabat 16 hari ini.
Gambaran Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli
Mohd Zin semalam bahawa Operasi Daulat kini di penghujung semakin jelas, dan
ketibaan helikopter jenis peninjau serta pengangkut menggunakan enjin berkembar
itu akan terus memperkukuh kekuatan sedia ada dalam usaha menggempur pengganas
sejak pencerobohan dikesan 12 Feb lepas.
Zulkifeli berkata ketibaan pesawat itu bakal disertai 12
kereta kebal perisai berantai, beberapa helikopter Pasukan Udara Tentera Darat
dan kapal perang Tentera Laut Diraja Malaysia secara berperingkat.
"Langkah menguatkan pertahanan dan kawalan itu bertujuan menutup terus
laluan kepada musuh daripada menceroboh negara ini sama ada di laut dan
darat," katanya.
Berikutan gerakan ofensif yang makin diperhebat, Ketua
Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dalam sidang akhbarnya petang tadi sekali lagi
mengingatkan orang ramai dan pengamal media agar tidak memasuki kawasan Operasi
Daulat bagi menjamin kelancaran serta kejayaan operasi itu.
Beliau berkata sekatan jalan raya berterusan juga membawa
kepada penahanan seorang lelaki yang didapati membawa bungkusan mengandungi dua
pedang samurai dan tiga bilah parang.
"Lelaki berusia 30-an itu ditahan pada 10.40 pagi
dan dibawa ke Balai Polis Cenderawasih untuk disoal siasat," katanya tanpa
menjelaskan sama ada lelaki itu warga tempatan atau rakyat asing.
Sejak pencerobohan, pasukan keselamatan menembak mati 58
musuh, manakala di pihak Malaysia, lapan anggota polis dan dua tentera gugur.
Pasukan keselamatan turut menahan 97 individu yang
disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan militan itu manakala 156 orang lagi
ditahan kerana berada dalam kawasan larangan.
Dalam pada itu, Malaysia tidak menolak kemungkinan
menubuhkan Suruhanjaya Diraja (RCI) atau membuka kertas putih bagi menyiasat
dakwaan kemungkinan ada pihak yang menjadi dalang di sebalik insiden
pencerobohan di Lahad Datu.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
berkata jika dilaksana, penubuhan itu antara lain bertujuan mengenal pasti
motif sebenar pencerobohan, termasuk kemungkinan ada pihak yang membiayai
militan dari selatan Filipina itu untuk menggugat keamanan serta kedaulatan negara.
"Saya sendiri pun hendak tahu dalang di belakang
pencerobohan ini, dan siapa yang membiayai atau merancang perkara menyentuh
kepada keselamatan nasional," katanya pada sidang akhbar di Sandakan pada
Khamis.
Hishammuddin, yang meninjau beberapa lokasi yang terlibat
dengan insiden pencerobohan, turut memaklumkan secara keseluruhan, keadaan
keselamatan di Sabah bertambah baik termasuk di Tawau, Semporna dan Sandakan
dengan keyakinan masyarakat umum terhadap ketenteraman di negeri itu semakin
meningkat. –BERNAMA
No comments:
Post a Comment