LAHAD DATU -
Pasukan keselamatan menembak mati seorang pengganas ketika operasi
penggeledahan di Kampung Tanjung Batu pada kira-kira 1.30 tengah hari semalam,
menjadikan jumlah keseluruhan yang maut 63 orang.
Seorang militan
wanita berusia lewat 40-an serta tidak bersenjata turut ditahan dalam operasi
itu.
Panglima Angkatan
Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata kejadian itu susulan daripada
pertempuran yang tercetus pada 11.30 pagi yang menyebabkan seorang anggota
tentera cedera di jari kiri akibat terkena serpihan peluru.
"Susulan
itu, pasukan keselamatan terus menjejaki musuh dan berlaku pertempuran di mana
pasukan kita telah membunuh seorang daripada mereka serta menahan seorang
wanita.
"Anggota
tentera yang tercedera dibawa ke hospital berdekatan dan selepas pembedahan,
keadaannya stabil," katanya pada sidang akhbar bersama Timbalan Ketua
Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar di Markas Operasi Felda Sahabat 16, dekat
sini hari ini.
Berhubung
kemungkinan penduduk Kampung Tanduo boleh kembali ke kediaman masing-masing,
Zulkifeli berkata pasukan penilaian terdiri daripada Majlis Keselamatan Negara
(MKN), Majlis Daerah Lahad Datu dan Ibu Pejabat Polis Lahad Datu akan
digerakkan ke kampung itu selewat-lewatnya esok bagi melakukan penilaian
keseluruhan sebelum penduduk dibenar pulang.
Beliau berkata
kelewatan membenarkan penduduk pulang ke rumah ialah bagi memastikan kewasan
kampung itu yang di kelilingi paya, hutan dan semak samun, benar-benar selamat
daripada ancaman selepas ia menjadi sasaran utama militan selain berlaku banyak
pertempuran di situ sebelum ini.
"Dari segi
kerosakan fizikal agak mudah untuk dinilai tetapi dalam aspek keselamatan kami
perlu pastikan keadaan benar-benar bersih dan selamat sebelum penduduk dibenar
kembali ke kediaman mereka," katanya dan memberitahu bahawa hanya terdapat
12 rumah penduduk di kampung itu.
Dalam
perkembangan berkaitan, Zulkifeli turut menafikan dakwaan bahawa sekumpulan
lelaki dari Sabah akan dihantar ke Filipina untuk membunuh Kiram, dan berkata
dakwaan itu tidak berasas dan mengarut.
Sementara itu,
Khalid ketika ditanya sama ada pihak berkuasa mempunyai bukti sehingga lapan
militan didakwa di mahkamah berkata: "Sudah tentu, tapi kita tidak boleh
dedahkan dan jika tiada bukti bagaimana kita boleh mendakwa mereka.
Beliau berkata
mana-mana pihak yang cuba mempertikai tindakan itu perlu menunggu sehingga
perbicaraan dan sekiranya mempunyai sebarang persoalan ia boleh dirujuk kepada
Wisma Putra.
Lapan rakyat
Filipina hari ini didakwa di Mahkamah Tinggi di Tawau dan dua daripadanya bakal
berdepan hukuman mati kerana dituduh melancarkan perang terhadap Yang
di-Pertuan Agong dan menjadi anggota kumpulan pengganas.
Empat lagi
didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas manakala dua yang lain didakwa cuba
melindungi sekumpulan pengganas.
Kesemua mereka
ialah antara 108 individu yang disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan
(Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012.
Berhubung
statistik terkini pencerobohan, Khalid berkata 30 mayat militan berjaya
dikeluarkan dan selesai dibedah siasat, namun sehingga kini tiada pihak tampil
menuntut mayat-mayat itu.
Jumlah tangkapan
di bawah SOSMA kekal 108 orang, manakala 268 individu ditahan mengikut
lain-lain akta setakat ini, katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment