Operasi Daulat Diteruskan Sehingga
Zon Merah Bersih Daripada Pengganas
KUALA LUMPUR: Operasi Daulat untuk
memburu saki baki pengganas militan yang menceroboh Lahad Datu sejak 12
Februari lepas akan diteruskan sehingga semua kawasan di daerah berkenaan
bersih daripada penceroboh dari selatan Filipina itu.
Yakin operasi itu boleh diselesaikan
dalam masa terdekat, pasukan keselamatan percaya kini hanya tinggal sekitar 50
orang lagi saki baki kumpulan militan di kawasan berkenaan.
Anggaran bilangan musuh itu dibuat
berdasarkan jumlah yang ditembak mati, ditahan dan lari ke selatan Filipina.
"Kami akan cuba selesaikan
secepat mungkin," kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib sambil
menegaskan bahawa pasukan keselamatan tidak meletak 'garis masa' untuk operasi
itu.
Selepas 12 hari Operasi Daulat,
Kampung Tanduo yang sebelum ini menjadi kubu kumpulan penceroboh kini bersih
daripada pengganas, dan pasukan keselamatan percaya usaha membersih Kampung
Tanjung Batu akan dapat diselesaikan pada Ahad.
Hamza berkata penduduk kampung
terlibat akan dibenar pulang selepas pasukan keselamatan membersihkan kawasan
itu daripada jerangkap samar dan pelbagai ancaman lain serta berbincang dengan
ketua masyarakat.
"Kami akan letak anggota
keselamatan untuk pastikan tiada musuh dapat kembali semula ke kampung
berkenaan," katanya.
Dalam tempoh 72 jam sehingga 5
petang ini, tiada pertempuran antara pasukan keselamatan dan penceroboh
militan.
Pasukan keselamatan melancarkan
serangan ofensif terhadap kumpulan militan dari Sulu pada 5 Mac selepas
beberapa siri rundingan dengan kumpulan yang menceroboh pesisir pantai Lahad
Datu sejak 12 Februari lepas, gagal.
Dalam tempoh itu, 61 musuh ditembak
mati dan 27 daripada mayat pengganas telah dibawa keluar dari zon merah
manakala 104 ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas,
dan 232 ditahan kerana berada di kawasan larangan.
Sembilan anggota keselamatan terdiri
daripada lapan anggota polis dan seorang tentera terkorban dalam pertempuran
dengan kumpulan pengganas itu.
Seorang lagi anggota tentera
terkorban dalam kemalangan jalan raya melibatkan trak tentera yang dalam konvoi
untuk Operasi Daulat. BERNAMA
No comments:
Post a Comment