Jamalul Kiram III -foto REUTERS |
K'jaan Filipina Patut Tangkap Jamalul
Kiram III Kerana Isytihar Perang Gerila Ke Atas Malaysia
Sultan meroyan ni sepatutnya dah
ditangkap
Ini jenayah yang dirancang
Dah hilang negara dan hilang maruah..
*******************************
LAPORAN dari Filipina pada Isnin, 18 Mac menyebut yang
Jamalul Kiram III telah mengarahkan para soldadunya di Sabah supaya melancarkan
perang gerila ke atas Kerajaan Malaysia.
Arahan tersebut samalah seperti mengisytiharkan perang ke
atas sebuah kerajaan yang sah lagi berdaulat seperti Malaysia oleh sekumpulan
warga asing.
Oleh yang demikian, sebagai sebuah kerajaan yang
berdaulat sepertimana juga Malaysia, Kerajaan Filipina wajar menangkap Jamalul
Kiram III dan membicarakannya kerana mengisytihar perang gerila ke atas sebuah
negara jiran yang merdeka.
Akhbar-akhbar Filipina memetik Jamalul melalui satu
sidang akhbar sebagai berkata, "mereka (pengikut-pengikutnya di Sabah)
sudah pun berada di tanah air (Sabah) mereka sendiri, jadi kenapa harus pulang
ke sini (Filipina)."
Kata-katanya itu amat jelas sekali menunjukkan pendiriannya
mengenai Sabah tidak berganjak dan juga secara terang-terangan mahu mengambil
semula Sabah secara paksaan.
Kata Jamalul Kiram lagi, pengunduran bala tenteranya dari
bumi Sabah bukanlah satu opsyen.
Sebaliknya Jamalul mahu mereka melancarkan gerakan gerila
ke atas pasukan keselamatan Malaysia.
Jamalul menyatakan ini semua secara bebas dan terbuka di
kediamannya di bandar Taguig di pinggir Manila bersama-sama isterinya yang
dikenali sebagai Hajah Celia Kiram.
Dalam beberapa siri sidang akhbarnya sebelum ini, Jamalul
Kiram sering kali muncul bersama-sama anak perempuannya.
Raja Sulu yang tidak diiktiraf oleh negaranya sendiri itu
juga acap kali mengadakan sidang akhbar berlatar belakangkan logo besar
'kerajaannya' yang tidak wujud yang tertera perkataan "The Sultanate of
Sulu and North Borneo".
Raja ini hidup dalam dunia khayalan yang dia masih
memiliki sebuah kerajaan dan empayar yang suatu ketika dahulu telah 'dipajak'
oleh nenek moyangnya sendiri iaitu pada 22 Januari 1878 kepada satu syarikat Inggeris
yang berpangkalan di Hong Kong.
Kini dia mengisytiharkan perang ke atas Malaysia dan dia
nampaknya bebas mengisytiharkan langkah itu tanpa sebarang tindakan diambil
oleh kerajaan negaranya sendiri.
Jika di Malaysia, ada seorang yang 'gila' kuasa mengisytiharkan
perang ke atas Singapura, Indonesia, Thailand mahupun Filipina, nescaya orang
itu akan segera ditahan oleh pihak berkuasa kerana perbuatannya boleh
mencetuskan huru-hara dan ketidakstabilan serantau.
Tetapi di Filipina, iaitu sebuah negara dengan gugusan
7,107 buah pulau berselerakan sejauh 1,850 kilometer dari utara hingga ke
selatan sudah pastinya berhadapan dengan isu serta dilema kawalan dan
penguatkuasaan undang-undang.
Di Wilayah Sulu dengan pulau terbesar iaitu Tawi-Tawi dan
pulau paling hampir dengan Malaysia hanya terletak pada jarak 14 kilometer
sahaja, sesiapa pun nampaknya bebas membawa rifel, sub-mesingun, pistol mahupun
senjata moden seperti M-16 tanpa ditahan atau diperiksa oleh pihak berkuasa
tempatan.
Hidup sejak berabad lamanya tanpa kawalan undang-undang
membuatkan mereka berasa mereka bebas keluar masuk ke Sabah dengan gaya hidup
yang serupa.
Tapi Jamalul Kiram III yang mendakwa dia adalah pewaris
Sultan Sulu yang sah tidak sepertimana soldadunya, bermastautin di pinggir
Manila iaitu ibu kota Filipina.
Oleh yang demikian, kita di Malaysia berasa hairan
mengapa kerajaan Filipina yang juga berpusat di Manila tidak dapat melakukan
sesuatu untuk menahan dia daripada terus mengeluarkan kenyataan yang boleh
menjejaskan hubungan diplomatik antara kedua-dua buah negara ini.
Untuk rekod, sejak para militan Sulu ini mendarat di
Sabah pada 9 Februari lalu, dalam usaha dan kepercayaan mereka untuk menuntut
Sabah dari tangan Malaysia bagi pihak Jamalul Kiram III, secara kekerasan,
pihak keselamatan Malaysia telah membunuh 62 orang daripada mereka.
Manakala pasukan keselamatan Malaysia kehilangan 10
anggota - lapan anggota polis dan dua tentera. Gerakan untuk merampas semula
Sabah dari Malaysia secara perang gerila ini diketuai oleh adik kepada Jamalul
Kiram III, Azzimudie Kiram.
Kedudukan Azzimudie masih menjadi tanda tanya dengan
pihak berkuasa Malaysia mempercayai yang dia telah berjaya meloloskan diri dan
meninggalkan Malaysia manakala Jamalul Kiram mendakwa adiknya itu masih berada
di Sabah untuk meneruskan arahan terbarunya iaitu lancarkan serangan gerila ke
atas Sabah.
Jamalul Kiram III mendakwa pasukan tenteranya di Sabah
kini berjumlah 170 orang dan tidak akan dibenarkan kembali melainkan
melancarkan serangan gerila.
Dengan itu juga, kita di Malaysia wajar menekan Kerajaan
Filipina supaya menahan Jamalul Kiram III kerana kita merasakan keselamatan
kita semua di Malaysia kini semakin terancam oleh arahannya yang terbaru itu. -
mStar
No comments:
Post a Comment