KUALA LUMPUR - Op Daulat yang
diteruskan hari ini dengan usaha memburu
dan 'membersih' Kampung Tanjung Batu, Lahad Datu, Sabah, menyaksikan seorang
lagi militan Sulu ditumpaskan.
Musuh ditembak mati dalam pertempuran kira-kira 10.15 pagi apabila pasukan
keselamatan bertembung dengan sekumpulan penceroboh bersenjata, menjadikan
bilangan keseluruhan pengganas yang terbunuh setakat ini kepada 62 orang.
Panglima Medan Tentera Darat, Lt Jen Datuk Seri Zulkiple Kassim berkata,
pasukan keselamatan kini giat menjejaki tiga lagi musuh yang melarikan diri
dalam kejadian itu.
"Operasi memburu saki-baki penceroboh akan diteruskan sehingga Kampung
Tanjung Batu selamat dan bersih dari musuh," katanya pada sidang media
bersama Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib di Felda Sahabat, Lahad Datu.
Mayat musuh yang dibunuh dikeluarkan dari Kampung Tanjung Batu petang ini
dan diserahkan kepada pihak forensik.
Dalam pada itu, Hamza berkata, 80 peratus daripada keseluruhan 28 mayat
pengganas yang telah dibawa keluar daripada kawasan Operasi Daulat selesai
dibedah siasat.
Bagaimanapun belum ada indikasi daripada Manila untuk menuntut mayat-mayat
tersebut walaupun tempoh tiga hari yang diberikan oleh Malaysia tamat hari ini.
Malaysia sebelum ini memberi tempoh tiga hari untuk Filipina menuntut mayat
rakyatnya yang ditembak dalam Operasi Daulat setelah mereka menceroboh negara
sejak 12 Februari lepas.
Beliau turut memaklumkan anggota keluarga Jamalul Kiram dipercayai antara
104 orang yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah
Khas) 2012 (SOSMA).
Bagaimanapun, katanya operasi membanteras tidak hanya tertumpu kepada
keluarga Jamalul Kiram, yang didakwa dalang insiden pencerobohan di Sabah,
kerana kaum keluarga anggota militan lain tidak terlepas daripada buruan polis. -SH
No comments:
Post a Comment