KUALA LUMPUR: "Saya ada anak Sindrom Down,"
kata penulis kepada kaunselor kanak-kanak yang mahu dikenali sebagai Dr Suraiya
pada satu majlis sosial di sini baru-baru ini.
"Jangan kata begitu. Hanya kata anak yang mengalami
Sindrom Down kerana kita utamakan 'orang' terlebih dahulu. "Kita harus
kata 'anak yang mengalami Sindrom Down' dan bukannya anak Sindrom Down".
"Juga elak daripada berkata 'dia ada Down' kerana Sindrom Down adalah satu
situasi atau masalah genetik dan bukannya satu penyakit," jelas Dr Suraiya
lagi.
Menurut beliau, mereka yang mempunyai sindrom berkenaan
tidak merana daripada keadaan itu serta tidak dijangkiti masalah itu.
MENGENAI SINDROM DOWN
Apa itu Sindrom Down?
Menurut Dr Suraiya, Sindrom Down adalah satu keadaan
kromosom yang sering berlaku. "Terdapat satu bayi dengan Sindrom Down
daripada 700 kelahiran di Amerika Syarikat.
"Bayi menerima 23 kromosom daripada ibu dan 23
kromosom daripada bapa. Sindrom Down berlaku bila bayi yang dilahirkan
mempunyai tiga 'salinan' (sepatutnya hanya sepasang atau dua) kromosom ke-21).
"Sebab itu Sindrom Down juga dikenali sebagai
Trisomi 21. Kromosom yang terlebih satu menyebabkan berlaku gangguan kepada
tumbesaran dan perkembangan fizikal badan," jelas Dr Suraiya.
PANDANGAN
Pandangan Dr Suraiya turut dipersetujui oleh Persatuan
Sindrom Down Kebangsaan Amerika Syarikat (NDSS) yang berpusat di New York.
Menurut NDSS, penggunaan rasmi di Amerika Syarikat dan
banyak negara lain adalah Sindrom Down dan bukannya Sindrom Down's kerana
penggunaan afostrofi 's' menunjukkan kepunyaan.
Menurut NDSS, Sindrom Down ditemui oleh doktor berbangsa
Inggeris John Langdon Down tetapi sindrom itu tidak dialaminya, lantaran
penggunaan Sindrom Down dan bukannya Sindrom Down's.
Menurut NDSS juga, terma yang sepatutnya diguna kepada
mereka yang mengalami sindrom ini adalah 'ketidakupayaan (kelemahan) intelek'
atau 'ketidakupayaan (kelemahan) kognitif'.
INSIDEN SINDROM DOWN
Menurut laman web 'Right Diagnosis', insiden Sindrom Down
adalah kira-kira satu dalam 800 atau 0.12 peratus (340,000 orang) di Amerika
Syarikat.
Di Asia Tenggara, anggarannya adalah Timor Leste
mempunyai 1,274 kes (dari 1,019,252 penduduk), Indonesia - 298,066 (jumlah
pendudk 238,452,952), Laos - 7,585 (6,068,117), Malaysia - 29,403 (23,522,482),
Filipina - 107,802 (86,241,697) Singapura - 5,442 (4,353,893), Thailand -
81,081 (64,865,523) dan Vietnam -103,328 (82,662,800).
Tiada statitik bagi Myanmar dan Kemboja.
Bagaimanapun lama web itu menjelaskan extrapolasi bagi
insiden Sindrom Down ini hanyalah 'anggaran' dan mempunyai kadar relevan yang
agak terhad bagi sesuatu kawasan.
PERSEPSI
Menurut NDSS, terdapat beberapa persepsi tidak betul
mengenai Sindrom Down.Sindrom Down adalah keadaan genetik yang sering berlaku.
Satu dalam setiap 691 bayi di Amerika Syarikat mengalami Sindrom Down atau
kira-kira 6,000 kelahiran setahun.
Hari ini, terdapat 400,000 orang mengalami Sindrom Down
di Amerika Syarikat.
Tiada sebab yang diketahui kenapa bayi dilahirkan dengan
Sindrom Down. Ia terjadi tanpa mengira kaum atau lapisan ekonomi.
Bagaimanapun insiden sindrom ini meningkat dengan
peningkatan usia ibu semasa melahirkan bayi.
Tetapi peningkatan kadar kesuburan bagi wanita berusia
muda, 80 peratus daripada anak Sindrom Down kini dilahirkan wanita berumur
bawah 35 tahun.
KELEWATAN KOGNITIF
Mereka yang mengalami Sindrom Down juga mengalami
kelewatan kognitif yang sedikit hingga sederhana.
Terdapat tiga jenis Sindrom Down - Trisomi 21 (95 peratus
kes), translokasi (empat peratus) dan 'mosaicism' (satu peratus).
Mereka yang mengalami Sindrom Down mempunyai risiko agak
tinggi terhadap beberapa masalah perubatan seperti masalah jantung kongenital,
masalah pernafasan dan pendengaran, leukemia dan masalah kelenjar tiroid.
Ciri-ciri fizikal anak Sindrom Down adalah lemah tonus
otot (otot lembik dan tidak kuat), keadaan fizikal tubuh yang kecil, mata yang
sepet serta satu jalur silang di tapak tangan.
SINDROM DOWN DI MALAYSIA
Menurut satu kajian oleh Pusat Genom Manusia dan Klinik
Genetik Universiti Sains Malaysia's (USM) yang disiarkan Jurnal Perubatan
Singapura pada Jun 2007, kejadian Sindrom Down (sehingga 1989) di Malaysia
adalah satu bagi setiap 950 kelahiran.
Bagi komuniti Melayu, terdapat satu kes dalam 981
kelahiran, satu dalam 940 kelahiran bagi masyarakat Cina dan satu dalam 860
kelahiran bagi kaum India.
Di Malaysia, Persatuan Down Sindrom Malaysia (DSM) dan
Yayasan Sindrom Down Kiwanis adalah dua institusi yang memberi bantuan serta
kemudahan terhadap anak yang mengalami Sindrom Down. Kedua-duanya mempunyai
komitmen terhadap kebajikan anak Sindrom Down dan fokus utama adalah
pembelajaran anak ini yang berumur bawah enam tahun.
Institusi itu melatih guru Keperluan Khas Pelajaran serta
memberi kaunseling kepada ibu bapa yang mempunyai anak Sindrom Down selain
menyediakan pusat sumber mengenai maklumat tentang Sindrom Down.
Institusi ini juga berusaha meningkatkan kesedaran umum
terhadap Sindrom Down.-BERNAMA
No comments:
Post a Comment