Pengundi Tidak Hadir Perlu Ambil Sampul Keutamaan di
Pejabat Perwakilan Malaysia - SPR
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan
kepada Pengundi Tidak Hadir (PTH) untuk mengambil Sampul Keutamaan yang
mengandungi kertas undi masing-masing di Pejabat-pejabat Perwakilan Malaysia di
luar negara.
Setiausaha SPR Datuk Kamaruddin Mohamed Baria berkata,
pengundi dalam kategori itu ialah anggota tentera yang berkhidmat di luar
negara dan pasangan, penjawat awam yang bertugas di perwakilan Malaysia di luar
negara dan pasangan, dan pelajar yang sedang menuntut sepenuh masa di luar
negara dan pasangan.
Jelasnya, PTH diminta melayari laman sesawang SPR di
www.spr.gov.my untuk memilih Pejabat Perwakilan Malaysia di luar negara bagi
membolehkan Sampul Keutamaan dihantar ke pejabat perwakilan yang dipilih.
"PTH diminta untuk mengemas kini maklumat seperti
memilih pejabat perwakilan Malaysia, alamat tempat tinggal, e-mel dan nombor
telefon sehingga pada tarikh pembubaran," katanya dalam satu kenyataan di
sini, Khamis.
Menurutnya, jika terdapat PTH yang tidak mengisi maklumat
itu atau maklumat tersebut diisi selepas tarikh pembubaran Parlimen, SPR akan
menghantar Sampul Keutamaan terus ke Pejabat Perwakilan Malaysia di luar
negara.
Kamaruddin berkata bagi negara yang mempunyai satu sahaja
Pejabat Perwakilan Malaysia, Sampul Keutamaan akan dihantar ke Pejabat
Perwakilan di negara berkenaan.
"Bagi negara yang mempunyai lebih daripada satu
Pejabat Perwakilan Malaysia, Sampul Keutamaan akan dihantar ke salah satu
Pejabat Pewakilan yang paling hampir dalam negara berkenaan berdasarkan alamat
PTH yang ada pada SPR," katanya.
Beliau berkata bagi Sampul Keutamaan yang mempunyai
alamat yang tidak lengkap ke negara yang mempunyai lebih daripada satu Pejabat
Pewakilan Malaysia, sampul itu akan dihantar ke Pejabat Perwakilan yang
terletak di ibu negara berkenaan.
Sementara negara yang tidak mempunyai Pejabat Perwakilan
Malaysia, Sampul Keutamaan akan dihantar ke salah satu Pejabat Pewakilan yang
paling hampir dengan negara tersebut.
Kamaruddin berkata, selepas Hari Penamaan Calon, PTH akan
dimaklumkan melalui e-mel dan laman sesawang SPR mengenai tarikh dan masa
penyerahan Sampul Keutamaan yang mengandungi Kertas Undi Pos di Pejabat
Perwakilan Malaysia di luar negara. "PTH perlu hadir ke Pejabat Perwakilan
Malaysia yang berkenaan untuk mengambil sendiri Sampul Keutamaan itu. Wakil
tidak dibenarkan untuk mengambil sampul tersebut," katanya.
Menurutnya lagi, apabila PTH menerima Sampul Keutamaan
dan membuat penandaan pada kertas undi pada hari penyerahan kertas undi, PTH
boleh mengembalikan Sampul B yang mengandungi Kertas Undi ke dalam Karung Khas
SPR untuk dihantar ke Pejabat Pegawai Pengurus di Bahagian Pilihan Raya yang
berkaitan.
Namun, beliau berkata, sekiranya PTH mengambil Sampul
Keutamaan selepas hari penyerahan atau mengembalikan Sampul B selepas tarikh
dan masa yang ditetapkan, PTH dikehendaki menguruskan sendiri urusan
penghantaran balik Sampul B yang mengandungi kertas undi ke Pejabat Pegawai
Pengurusan Bahagian Pilihan Raya yang berkaitan.
"Kos untuk membuat urusan itu ditanggung oleh PTH
itu sendiri," katanya. –BERNAMA
No comments:
Post a Comment