Rimas ‘perang’
khabar angin
Sebagai wartawan membuat liputan pencerobohan pengganas
Sulu di Lahad Datu, Sabah, ramai antara kami, termasuk dari agensi luar negara
cuba memberi laporan eksklusif dan terbaik untuk pertubuhan masing-masing.
Walaupun kawasan zon merah dilarang masuk tetapi ada juga
dalam kalangan kami tetap berani sekalipun mengetahui bakal terbunuh atau
menjadi tebusan jika terserempak dengan pengganas ini yang memang diketahui
kejam.
Pengganas Sulu dilaporkan sanggup memenggal kepala,
mencungkil mata dan mengerat badan seperti dilakukan ke atas anggota
keselamatan kita yang terbunuh dalam dua kejadian berasingan pada 1 dan 2 Mac
lalu.
Mereka boleh disamakan dengan pengganas kartel dadah di
Mexico yang sanggup mengerat mayat anggota polis yang mereka tawan hanya
semata-mata kerana mengganggu operasi mereka.
Sebab itulah, kawalan keselamatan amat ketat dan wartawan
tidak boleh sesuka hati memasuki kawasan zon merah bagi mengelak sebarang
kejadian yang tidak diingini.
Masa lebih banyak dihabiskan di Pusat Media yang terletak
di Felda Residence Sahabat iaitu hampir 20 kilometer dari zon merah.
Jika bernasib baik, wartawan dapat menemubual penduduk
yang dipindahkan dan ada yang ‘nakal’ cuba juga merapati pasukan keselamatan
bagi merisik berita.
Laporan dramatik Ada juga laporan dibuat secara
berlebih-lebihan dan dramatik sedangkan kejadian yang berlaku tidak seperti
dilaporkan.
Mungkin wartawan ini ada ‘angle’ tersendiri dan cuba
menjadikan insiden yang berlaku lebih menarik.
Bagaimanapun, dalam ‘berperang’ mendapatkan berita, kami
juga berdepan dengan banyak khabar angin disebarkan blogger atau melalui SMS
hingga kadangkala merimaskan kerana perlu mengesahkan berita terbabit terlebih
dulu.
Ternyata banyak SMS ini langsung tidak berasas,
sebaliknya hanya menyusahkan pihak keselamatan. Kebanjiran khabar angin ini
juga menyebabkan suasana panik dalam kalangan penduduk tempatan yang mengambil
keputusan membuat pembelian panik bahan makanan dan menutup perniagaan lebih
awal, terutama di bandar utama pantai timur Sabah kononnya kawasan itu akan
diserang pengganas Sulu.
Penulis, sebaik tiba di Ground Zero, masalah pertama
dihadapi ialah mencari bilik penginapan kerana habis ditempah anggota pasukan
keselamatan dan pegawai tertinggi ATM dan PDRM menyebabkan kebanyakan wartawan
daripada kumpulan akhbar sama terpaksa berkongsi bilik.
Bilik kongsi sembilan Bayangkan sebuah bilik untuk dua
orang dimuatkan dengan sembilan orang kerana ketika itu, kami tiada pilihan.
Mahu tak mahu kena duduk juga kerana kini kami berada di zon perang. Keselesaan
tidak lagi diutamakan. Jika mahu tinggal di bandar Lahad Datu, jaraknya
kira-kira 130 kilometer sehala. Cukup jauh dan memenatkan jika berulang alik.
Malah, ada yang terpaksa berjaga di lobi sementara rakan lain tidur. Masalah
talian Internet juga menyebabkan banyak berita lambat dihantar ke ibu pejabat.
Paling sengsara apabila bekalan air dicatu untuk dua
hari. Ada wartawan yang tak mandi, kalau tak tahan sangat terpaksa ke Lahad
Datu menumpang bilik rakan.
Ini belum lagi episod makan, kami terpaksa juga
bergantung kepada makanan ringan seperti biskut kerana pada awal kejadian 1 Mac
hingga serangan bermula, boleh dikatakan semua kedai berhampiran ditutup.
Alasan kerana peniaga takut untuk membuka perniagaan.
Ketika itu, tersebar mengatakan pengganas akan menyerang Sabah.
Bahan berita ketika mula serangan pula hanya berdasarkan
sidang media yang dibuat dua kali sehari iaitu pada jam 10 pagi dan jam 4
petang. Biasanya dibuat oleh Panglima ATM Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin
dan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.
Malah, ada juga sidang media oleh Menteri Keselamatan
Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussain dan Menteri Pertahanan Datuk Seri
Dr Zahid Hamidi.
Cerita penduduk Sementara menunggu sidang media, wartawan
akan cuba mencari cerita ‘human interest’ dengan bertemu dengan penduduk yang
dipindahkan.
Pelbagai bahan berita menarik diperoleh tetapi selepas 10
hari serangan, berita yang ada juga semakin kurang, apatah lagi sidang media
kini diambil alih Pesuruhjaya Polis Sabah dan bukan lagi Panglima ATM dan Ketua
Polis Negara.
Dalam keadaan semakin pulih dan ketakutan yang dialami
penduduk sejak seminggu lalu mulai reda, kehidupan sudah kembali seperti biasa.
Sebenarnya insiden pencerobohan Lahad Datu ini boleh
dielakkan jika pengganas Sulu menerima cadangan kerajaan Malaysia agar
meninggalkan negara ini secara sukarela selepas memasuki secara haram pada 12
Februari lalu.
Malangnya, pendirian kerajaan kita yang mahu mengelak
pertumpahan darah langsung tidak dilayan, malah dengan sombong menolak dan
lebih rela mati.
Kedegilan pengganas ini terpaksa dibayar dengan
pertumpahan darah yang akhirnya hanya merugikan mereka.
Kepada anggota keselamatan yang terkorban, mereka adalah
wira negara kerana sanggup berkorban untuk mempertahankan kedaulatan negara.
Tidak lupa juga jasa anggota keselamatan lain yang
meninggalkan isteri, anak, ibu dan bapa serta saudara mara demi menyahut
panggilan pertiwi. Kepada mereka dipanjatkan doa agar sentiasa dilindungi
Illahi.
Penulis Pengarang Berita Jenayah Harian Metro
No comments:
Post a Comment