Jacel Kiram berdiri di sebelah ayahnya, Jamalul Kiram III yang mendakwa dirinya Sultan Sulu. |
KUALA LUMPUR, 9 Mac — Walaupun lebih ramai penceroboh
Sulu dilaporkan mati di Malaysia, keluarga Kiram mengarahkan 'tentera'nya untuk
bertahan dan tidak menyerah, dan berkata melawan demi hak milik mereka terhadap
Sabah sebagai "kehormatan lebih penting dari nyawa".
Jacel Kiram, anak perempuan Jamalul Kiram III yang
mendakwa dirinya sebagai Sultan Sulu, memberitahu Radio dzMm bahawa ayah
saudaranya Agbimuddin Kiram dan 'tenteranya' tidak akan meninggalkan Sabah
walaupun serangan hebat dari pasukan keselamatan Malaysia.
Beliau merayu anggota supaya setia dengan Agbimuddin,
yang dikatakan "putera diraja" kesultanan Sulu.
"Tolong bertahan, ini (tentang) kehormatan
dipentingkan dari nyawa," katanya yang dilaporkan dari laman web rangkaian
media ABS-CBS News.
"Mereka cuma mahu tinggal di sana, di sana tempat
mereka, mereka mahu tinggal di sana secara aman," kata Jacel di Radio
dzMM, stesen radio milik ABS-CBS Corporation di Filipina.
Tengah hari tadi, ketua polis negara Tan Sri Ismail Omar
memberitahu pemberita bahawa seorang lagi penceroboh Sulu ditembak mati apabila
cuba menyelinap keluar dari Kampung Tanjung Batu, menjadikan jumlah kematian
mencecah 53 orang, menurut angka rasmi yang dikeluarkan pihak berkuasa
Malaysia.
Keluarga Kiram isytihar gencatan senjata pada Khamis, dan
berjanji tenteranya hanya dalam keadaan bertahan dan tidak menyerang apabila
berhadapan dengan pasukan keselamatan Malaysia.
Tetapi mereka tidak bersetuju untuk meninggalkan Sabah,
dan mengatakan negeri Malaysia timur itu kepunyaan kesultanan Sulu berdasarkan
sejarah pada abad ke-17.
Malaysia menolak untuk gencatan senjata dan mengarahkan
pasukan keselamatan untuk membunuh setiap militan, dan hanya akan mengadakan
gencatan senjata sekiranya kumpulan penceroboh Sulu itu menyerah tanpa syarat.
Berhadapan syarat sedemikian, Jabatan Hal Ehwal Luar
Filipina (DFA) berkata pihak militan tidak ada jalan lain kecuali menyerah.
Agbimuddin dan tenteranya masih bertahan, bagaimanapun
mereka memberi laporan kepada "Kesultanan Sulu" semalam, mengatakan
mereka selamat dan sedang dalam pelarian tetapi menderita akibat kelaparan.
Menurut laporan media, Biro Penyiasatan Nasional Filipina
(NBI) menjalankan penyiasatan sejak semalam, dan memanggil penasihat Kesultanan
Sulu Pastor "Boy" Saycon untuk soalsiasat Selasa hadapan.
Beberapa laporan berkata sapina tersebut adalah
sebahagian dari pencarian NBI ke atas dakwaan wujudnya konspirasi dalam konflik
bersenjata di Sabah.
Memetik jurucakap Sultan Abraham Idjirani dari akhbar The
Philippine Star berkata kerajaan sedang cuba "melumpuhkan" pergerakan
pengikut Jamalul, yang sekarang menghadapi kemungkinan berhadapan dakwaan
melakukan jenayah dengan melakukan pemberontakan di Sabah.
Akhbar tersebut berkata sapina tersebut ditandatangani
oleh timbalan pengarah Jabatan Risikan Reynaldo Esmeralda, dan dihantar jam 4
petang semalam ke pejabat Saycon di Makati oleh ajen NBI.
Saycon, setiausaha agung Majlis Perhubungan Filipina
(COPA), telah dikaitkan dalam plot menghancurkan kestabilan pentadbiran lalu,
menurut laporan laman sesawang ABS-CBN News semalam.
"Saya syak kerana perkembangan terbaru dan kemasukan
ke Sabah," kata Saycon kepada The Philippine Star, walaupun beliau masih
belum menerima sapina tersebut.
"Sudah dijangkakan bahawa penyokong sultan akan
didakwa. Mereka sekarang sedang menyediakan lebih banyak sapina, kerana ugutan
terhadap kerajaan sudah mula berleluasa dalam masa dua minggu ini."
Penganalisis strategi politik juga dilaporkan berkata
Sultan Sulu sudah membentuk sepasukan peguamnya bagi membantu penyokongnya yang
mungkin disiasat atau dihadapkan ke mahkamah kerana keganasan di Sabah, yang
didakwa pihak berkuasa Malaysia pada Khamis meragut 52 warga Filipina dan lapan
rakyat Malaysia.
"Saya fikir kerajaan ada konspirasi tanpa sebarang
sebab, dan mahu menuduh orang ramai dan bukannya menyelesaikan krisis yang
sedang meruncing di Sabah," dakwa Saycon menurut akhbar berbahasa Inggeris
itu.
Kerajaan Filipina di bawah pentadbiran Presiden Benigno
Aquino III dikritik dalam menangani situasi di Sabah, dan berkata presiden
tersebut seolah-olah tunduk dengan permintaan Putrajaya.
Tetapi Aquino menolak kritikan ini dengan berkata
pentadbirannya tidak menolak tuntutan Kesultanan Sulu ke atas Sabah, tetapi ia
seharusnya diselesaikan tanpa menggunakan senjata.
No comments:
Post a Comment