Maaf jika ada yang tidak selesa...
Berkongsi itu lebih baik dari makan sorang2 kan... kan..
Normal atau
penyakit?
Keputihan di
kalangan wanita proses semula jadi
Masalah keluaran lendir daripada faraj atau lebih
dikenali sebagai keputihan, suatu yang lazim dialami wanita. Bagaimanapun,
proses normal itu masih dianggap memalukan golongan itu. Jangan anggap remeh,
sebaliknya ia petanda kepada jangkitan kuman seperti syphils dan gonorrhea.
Lebih parah lagi jika tidak dikawal dan dirawat sebaiknya
tidak mustahil boleh menyebabkan kanser pada bahagian peranakan seperti kanser
servik dan sebagainya.
Statistik menganggarkan 75 peratus wanita sudah berkahwin
mengalami masalah keputihan disebabkan aktiviti seksual. Penggunaan produk
intim bertoksik seperti sabun, syampu dan gel mandian turut menyumbang kepada
gangguan flora bakteria sedia ada di dalam faraj wanita.
Keputihan adalah proses perubahan hormon dan pembersihan
sel mati dikeluarkan dari dalam lubang faraj. Secara biologi keputihan akan
berlaku pada sekitarnya sebelum haid bagi setiap wanita.
Ia juga boleh berlaku dalam kalangan remaja tetapi agak
jarang melainkan mereka mengambil ubat tertentu atau perubahan hormon.
Proses Semula jadi
Lendir pada faraj mempunyai tujuan tertentu termasuk
melindungi sel daripada kerosakan dan kekeringan. Pengeluarannya tidak
semestinya menandakan masalah atau penyakit merbahaya seperti dibayangkan
wanita. Dikeluarkan oleh sel dan kilang khas pengeluar lendir,
keputihan dipengaruhi paras hormon iaitu estrogen dan progestron dalam darah
wanita.
Statistik menunjukkan wanita hamil paling berisiko
mengalami masalah keputihan disebabkan perubahan hormon dan menyebabkan
jangkitan kulat kerana tempoh ini hormon estrogen akan menyebabkan faraj
mengeluarkan lebih banyak glycogen.
Hormon estrogen juga akan menyebabkan kulat lebih senang
melekat pada dinding faraj.
Dianggarkan hampir 80 peratus wanita hamil mungkin
mengalami masalah keputihan.
Keadaan fisiologi atau biasa itu juga boleh berlaku
ketika wanita melakukan persetubuhan dan ketika naik nafsu syahwat. Dalam
keadaan itu, lendir terhasil daripada kilang lendir terletak pada bibir faraj.
Ia boleh berlaku akibat gangguan jiwa seperti marah atau
sedih dan keletihan yang amat sangat. Tidak kurangnya, wanita bekerja yang
lebih tenaga juga tidak terkecuali berhadapan keputihan.
Implikasi keputihan
Pada kebiasaannya, lendir dikeluarkan daripada faraj
tidak berbau, jernih dan tidak gatal. Jika keadaan sebaliknya berlaku,
keputihan juga boleh menandakan penyakit pada faraj dan sistem peranakan.
Dalam keadaan itu, lazimnya lendir terhasil berwarna
putih pekat seperti bernanah, busuk dan sering gatal pada sekeliling faraj.
Penghasilan lendir seperti keju, kekuningan dan coklat
bercampur darah juga tanda perlu diawasi kerana ada kemungkinan jangkitan kuman
berlaku seperti jangkitan kulat candidiasi, kuman tricomona, chlamydi dan
gardneralla dan bacterial vaginosis.
Setiap satu jangkitan masing-masing mempunyai tanda
berbeza dan bau tertentu, antara rasa gatal pada kawasan sulit, keputihan
berbau, tidak selesa bersama suami dan perlu mengenakan alas seluar dalam
(panty liner) untuk mengurangkan lendir dan radang pada kemaluan.
Dapatkan nasihat doktor untuk memastikan keputihan cuma
lendir biasa dan bukan disebabkan jangkitan.
Ganggu hubungan seks
Faraj mengandungi bakteria semula jadi iaitu bacillus
asidofilus menghasilkan asid lactat bertujuan melindungi faraj daripada
kemasukan atau serangan kulat dan kuman.
Kadangkala pembiakan kuman asidofilus meningkat hingga
mengakibatkan pengeluaran cecair putih kekuningan dan berbau masam. Bau tidak
menyenangkan juga boleh berlaku akibat tindak balas bakteria terhadap peluh
pada bahagian kemaluan.
Biarpun masalah lendir itu tidak memberi kesan pada
kesuburan wanita tetapi implikasinya hubungan seksual antara suami isteri pasti
terjejas apabila masalah keputihan teruk dan berbau hingga mengurangkan
keinginan hubungan intim.
Sehubungan itu, radang pada kawasan sulit juga membuatkan
pasangan terasa sakit dan tidak selesa ketika bersama. Walaupun keputihan tidak
dikategorikan sebagai penyakit kelamin menular, tapi masalah itu boleh
mengakibatkan kesan jangkitan pada suami termasuk kesakitan ketika hendak
membuang air kecil dan sebagainya.
Oleh itu, bagi mengatasi masalah itu wanita boleh
mengambil langkah pencegahan seperti mengamalkan makan sayur-sayuran hijau dan
dadih yang mengandungi lactobasillus.
Untuk masalah radang pula digalakkan kerap menukar seluar
dalam dan pilih kualiti diperbuat daripada kain kapas dan sedikit longgar.
INFO
* Keputihan atau lelehan lendir yang keluar daripada
faraj wanita ada pelbagai sifatnya dan berbeza di antara wanita.
* Biasanya berwarna jernih atau kelabu keputihan.
* Jika keputihan tidak berubah warna kekuningan atau
kehijauan bermakna tiada jangkitan.
* Pangkal uterus juga mengeluarkan lendir dengan tujuan
mencantumkan benih lelaki (sperma) dan perempuan (ovum) dalam proses
persenyawaan.
* Lendir dikeluarkan menghasilkan tenaga dan makanan
kepada sperma bagi tempoh persenyawaan berlaku.
* Jika anda aktif dalam melakukan hubungan kelamin, perlu
jalani ujian pap smear dan pemeriksaan pelvis.
* Keputihan atau lendir faraj berubah akibat perubahan
hormon dan perubahan mental, jangkitan, ubatan, penyakit dalaman. Wanita
mempunyai kitaran haid yang dipengaruhi oleh hormon.
* Keputihan dianggap bermasalah seandainya ia keluar
terlalu banyak, berbau busuk, hanyir dan menyebabkan bahagian sulit berasa
gatal atau radang.
No comments:
Post a Comment