Kakitangan awam menghadiri satu majlis di Kota Bharu baru-baru ini. Hari ini kakitangan awam menanti 'berita baik' daripada perdana menteri. |
SHAH ALAM - Pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja sektor
awam meletakkan harapan tinggi agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
akan mengumumkan 'berita baik' menjelang tengah hari ini - antara dua hingga
lima perkara penting termasuk imbuhan tetap perumahan dan kajian semula isu
gaji maksimum.
Beberapa pemimpin Cuepacs yang dihubungi yakin
sekurang-kurangnya akan ada dua pengumuman penting iaitu yang berkenaan dengan
imbuhan tetap perumahan bulanan 1.4 juta kakitangan dan gaji maksimum yang
menyentuh kepentingan sekitar 20,000 penjawat awam.
"Seperti yang dimaklumkan oleh Timbalan Perdana
Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara sebelum ini, kami
yakin akan ada berita baik berkenaan dua perkara ini, kalaupun tidak kesemua
lima perkara," kata pemimpin kanan Cuepacs.
Bagaimanapun kata pemimpin itu, "saya tidak melihat
akan ada pengumuman mengenai kenaikan gaji, sebab kenaikan gaji telah dibuat
tahun lalu."
Oleh itu katanya, "berita baik lebih kepada soal
kajian semula elaun seperti imbuhan perumahan dan elaun sara hidup
(Cola)."
Najib dijadual hadir Majlis Perdana Perkhidmatan Awam
Ke-13 (MAPPA XIII) di Putrajaya hari ini.
Seorang lagi pemimpin kanan Cuepacs yang tidak mahu
namanya dipetik berkata, kajian semula kaedah gaji maksimum dilihat antara
perkara penting akan diumumkan oleh perdana menteri.
"Perkara ini menjadi penantian ramai khususnya
sekitar 20,000 kakitangan awam... kemungkinan pelaksanaan dikuatkuasakan mulai
1 Januari.
"Walaupun kesan pelaksanaan melibatkan 20,000 orang
pada masa sekarang, tetapi dalam jangka panjang ia akan melibatkan kepentingan
keseluruhan kakitangan awam," katanya.
Pemimpin itu juga tidak menolak kemungkinan Najib akan
mengumumkan hasil kajian awal Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi
Perkhidmatan Awam, yang ditubuhkan bagi mengkaji secara komprehensif dan holistik
perkhidmatan awam negara.
"Kemungkinan beberapa baik dalam sistem Saraan Baru
Perkhidmatan Awam (SBPA) (yang telah dibatalkan), seperti penyusunan semula
gred akan diumumkan untuk pelaksanaan. Perkara baik dalam SBPA tak salah
dikekalkan dan dilaksanakan," katanya.
Suruhanjaya itu yang dibentuk Mac 2012 dan bergerak sejak
Jun lalu diberi masa enam bulan untuk membuat kajian.
Penubuhan suruhanjaya bagi mengkaji transformasi
perkhidmatan awam ini, yang bukan sahaja melibatkan sistem saraan tetapi juga
rupa bentuk perkhidmatan awam masa depan yang diperlukan negara.
Ia dibentuk susulan pembatalan pelaksanaan SBPA dan
kembali kepada Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang ditambah baik, termasuk
pelarasan gaji antara tujuh hingga 13 peratus.
Pada 1 Mac lalu, Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali
Hamsa berkata, kertas kajian mengenai perubahan gaji penjawat awam yang sudahmencapai tangga gaji maksimum telah dikemukakan kepada kerajaan untuk
pertimbangan Jawatankuasa Kabinet Gaji.
Beliau berkata, kajian itu dilakukan oleh pihaknya
bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berikutan perkara tersebut merupakan
antara masalah yang dihadapi dalam perkhidmatan awam negara ini.
Ketua Setiausaha Negara berkata, masalah gaji sudah capai
had maksimum atau statik dalam kalangan penjawat awam perlu perubahan selari
dengan perkembangan semasa yang menyebabkan kenaikan kos hidup dan inflasi di
negara ini pada kadar satu setengah peratus yang turut dihadapi penjawat awam.
Ali berkata, pada Sesi Amanat Perdana Menteri kepada
Perkhidmatan Awam, hari ini, perdana menteri dijangka mengumumkan berita
gembira kepada 1.4 juta penjawat awam.
"Kita tunggu sahaja perdana menteri membuat
pengumuman tidak lama lagi dan kalau ada insentif, kita sama-sama tunggu.
"Tahun ini amat penting kerana kita perlu lihat
kerajaan mengucapkan terima kasih kepada semua penjawat awam," katanya.
Katanya, untuk faedah jangka panjang, pihaknya kini
meneliti mengenai 86 jenis elaun penjawat awam disebabkan ada antara elaun itu
sudah lama belum dikaji semula seperti elaun perumahan.
Pemimpin-pemimpin Cuepacs juga menjangkakan pengumuman
menarik mengambil kira pemberian insentif kepada kakitangan Kastam Diraja
Malaysia, yang diumumkan akhir Januari lalu.
Warga agensi itu akan menerima insentif setengah bulan
gaji sebagai penghargaan kerajaan kerana berjaya mengutip RM32.318 bilion tahun
lepas, iaitu peningkatan 6.5 peratus berbanding 2011.
"Keseluruhan nampak ada kelainan kali ini. Jadi,
kakitangan agensi lain juga mengharapkan sesuatu... kajian semula elaun ini
antara yang penting," katanya.
Cuepacs memohon agar kerajaan menyeragamkan kadar Cola
tidak kira zon. Begitu juga imbuhan tetap perumahan yang dilihat rendah
mengambil kira kos hidup dan kadar sewa rumah yang semakin meningkat.
No comments:
Post a Comment