Sabah dan Kesultanan Sulu
Sekitar era 1450an, seorang Arab dari Johor iaitu
Shari'ful Hashem Syed Abu Bakr tiba di Sulu. Pada tahun 1457, beliau menubuhkan
Kesultanan Sulu dan memakai gelaran "Paduka Maulana Mahasari Sharif Sultan
Hashem Abu Bakr". Gelaran "Paduka" adalah gelaran tempatan yang
bermaksud tuan manakala "Mahasari" bermaksud Yang DiPertuan.
Pada tahun 1703, Kesultanan Brunei menganugerahkan Sabah
Timur kepada Kesultanan Sulu kerana di atas bantuan mereka menumpaskan
pemberontakkan di Brunei. Pada tahun yang sama, Kesultanan Sulu menganugerahkan
Pulau Palawankepada Sultan Qudarat dari Kesultanan Maguindanao sebagai hadiah
perkahwinan Sultan Qudarat dengan puteri Sulu dan juga sebagai hadiah
persekutuan Maguindanao dengan Sulu. Sultan Qudarat kemudiannya menyerahkan Palawan
kepada Sepanyol.
Ketika penjajahan Inggeris, Sandakan telah dipajakkan
oleh Sultan Sulu kepada Inggeris. Pajakan tersebut dikatakan untuk satu tempoh
tanpa had yang diungkap dalam serangkai ayat "selagi ada bulan dan
bintang". Ketika Persekutuan Malaysia ditubuhkan pada tahun 1963, Sabah
dimerdekakan daripada Inggeris dan dimasukkan ke dalam persekutuan Malaysia.
Dengan itu, pajakan kepada Inggeris itu pun beralih tangan kepada Malaysia
pula. Dikatakan sehingga kini harga pajakan itu dibayar oleh kerajaan Malaysia
kepada waris Sultan Sulu sebanyak RM5300.00 setahun. Namun, berikutan terdapat
beberapa individu yang mendakwa dirinya sebagai pewaris sah kesultanan Sulu,
bayaran tersebut diserah kepada pemegang amanah.
Beberapa tahun yang lalu kerajaan Malaysia dikejutkan
oleh tuntutan daripada pihak yang mendakwa waris kesultanan Sulu itu ke atas
negeri Sabah. Sehingga kini, kerajaan Filipina sendiri mendakwa punya hak ke
atas Sabah dan menuntutnya daripada kerajaan Malaysia.
Rantau pemerintahan Sulu yang menganjur dari pulau
Mindanau sehingga ke wilayah-wilayah pantai Barat negeri Sabah, kini hanya
tinggal kenangan sejarah. Pusat pemerintahannya di kepulauan Sulu telah dijajah
oleh kerajaan Filipina. Rakya Sulu telah bertebaran. Sebahagiannya menjadi pelarian
ke Sabah, dan sebahagian tinggal di negeri dalam keadaan dijajah. Sebahagian
yang lain pula bangkit memikul senjata dan membentuk kumpulan pejuang.
Sementara Sabah, telah tertulis dalam undang-undang antarabangsa sebagai milik
Malaysia. Sekurang-kurangnya demikianlah yang diterima oleh masyarakat dunia
sehingga kini.
Kini, individu-individu yang mendakwa sebagai waris sah
kesultanan Sulu itu tidak punya wilayah pemerintahan sendiri. Ada yang memegang
pasport Filipina dan ada yang memegang Maykad Malaysia. Sungguhpun mereka tidak
punya negeri, mereka masih bercita-cita untuk mendapat hak pemerintahan ke atas
Sabah. Tuntutan mereka ke atas Sabah menjadi bahan tawa ramai orang termasuk
rakyat Sabah sendiri kerana negeri pusat pemerintahan mereka pun masih dicengkam
pemerintahan kerajaan Filipina, tiba-tiba mereka melontarkan tuntutan ke atas
negeri Sabah.
Ada cadangan agar sultan Sulu itu diterima menjadi Sultan
Sabah. Dengan itu, sabah akan jadi sepertimana negeri-negeri Melayu di
Semenanjung yang ada sultan masing-masing Namun, cadangan ini hanyalah
cakap-cakap kedai kopi. Kerajaan Malaysia sendiri tidak pernah punya minat
terhadap idea sebegini.
Zaman kesultanan sudah berlalu. Sultan yang ada dewasa
ini hanyalah warisan yang dikekalkan dan tidak tahu selama mana ia akan terus
kekal. Tidak akan berlaku lagi sebagaimana zaman dahulu di mana seorang sultan
bagi wilayah dan empayar baru dinobatkan. Rakyat sesebuah negara dalam dunia hari ini
sudah mendapat pendedahan ilmu pengetahuan dan bukan lagi berjiwa hamba yang
menjadi ciri utama rakyat yang bersultan. Rakyat lebih suka memilih pemimpin
dari kalangan mereka sendiri berdasarkan hukum merit.
Sekarang bukan lagi zaman antara dua darjat untuk
menentukan siapa yang berkuasa. Ada rakyat yang lebih kaya dari Sultan yang
bertahta dalam istananya. Ada rakyat yang lebih pintar dan belajar lebih tinggi
dari kalangan kerabat istana. Ada rakyat yang lebih berpengaruh dari Sultan
yang dilantik. Dulu, puteri rajalah wanita isteri paling berprestij dan menjadi
impian mat jenin untuk dikahwini rakyat. Kini wanita-wanita penyanyi lebih
diminati para dato' berbanding puteri para sultan!
Apa untungnya buat rakyat untuk melantik Sultan Sulu
menjadi Sultan Sabah? Selain ia membazirkan wang negara, ia hanya tindakan pusing
belakang. Faedahnya pula, kalau pun ada, hanya sekadar teori. Ada dakwaan
mengatakan bahawa dengan adanya Sultan ia menjadi lambang bahawa tanah ini
milik siapa. Sekadar berbangga siapa milik tanah ini, apalah gunanya. Semua
orang tahu kaum Red-Indian adalah pemilik asal bumi Amerika Syarikat. Tapi,
apalah gunanya title pemilik asal tersebut kalau merempat di bumi sendiri.
Sesetengah orang memberi alasan wujudnya sultan akan menjadi pelindung kepada
ketuanan bangsa. Kononnya, akan terpeliharalah hak milik tanah-tanah di Sabah
dan tidaklah berjatuhan ke tangan Cina sebagaimana sekarang. Dakwaan sebegini
boleh dipertikaikan. Jika kita melihat kepada negeri-negeri di Semenanjung yang
ada Sultan sekalipun, pindah milik tanah kepada bangsa asing tetap berlaku. Di negeri
Pahang, sudah berapa banyak puncak bukit di Cameron Highland yang menjadi milik
taukeh judi Cina. Di negeri Johor, tanah yang luasnya berekar-ekar
diperuntukkan untuk dibangunkan sebagai bandar Iskandar yang pemiliknya tentu
bukan lagi Melayu. Sesetengahnya, kerabat istanalah yang membuat angkara
menyebabkan hilangnya pegangan pribumi terhadap tanah negeri mereka sendiri.
Islam
menyuruh kita memilih orang yang paling mempunyai keahlian untuk memimpin.
Apabila pemimpin yang dipilih bukan ahlinya, kata Nabi SAW dalam hadisnya,
tunggulah sa'at kemusnahan dan kehancuran. Keahlian kepimpinan bukan dinilai
berdasarkan darah dan keturunan. Apa yang hendak dibanggakan dengan keturunan
dan darah Sultan. Keturunan tetap dari bani Adam. Darah tetap merah juga.
Dari satu sudut yang lain, keturunan sultan tidak lebih baik daripada rakyat
biasa. Jika ditoleh asal muasal macam mana seorang sultan mula wujud dalam
masyarakat Melayu, ia bermula dari sejarah yang penuh konflik. Pada zaman
manusia menggunakan hukum rimba, siapa kuat dialah yang menang, siapa kaya
dialah yang berkuasa, muncullah para pemuka pelbagai kumpulan menguasai dan
kadang-kadang menindas rakyat.
Para pemuka tersebut, disokong oleh para pendokongnya
yang disuap dengan harta atau didorong oleh kepentingan ataupun ketakutan.
Barangkali pemuka itu hanya ketua sekumpulan peneroka yang memugar tanah baru.
Barangkali dia adalah ketua sekumpulan perompak dan lanun yang merampas dan
merompak rakyat. Rakyat takut kepada mereka dan memerlukan perlindungan daripada
mereka. Untuk kemananan, ditumpahkan taat setia kepada mereka. Proses sejarah
telah menukar status pemuka-pemuka 'gedebe' dalam masyarakat ini menjadi
bangsawan yang kemudiannya dirajakan. Kedatangan Islam mempermolek mereka
dengan lebel kesultanan.
Justeru, para sultan bukan makhluk dewata yang turun dari
langit. Itulah gambaran golongan istana pada zaman hindu di alam Melayu. Dewata
itu hanya metos orang Hindu. Kemudian, setelah Islam, dibina metos baru. Kononnya
asal-usul keturunan raja-raja Melayu adalah dari Bukit Sigungtang Mahameru.
Dari keturunan Sang Sapurba yang dikatakan berketurunan dari Iskandar
Zulkarnain dan puteri Aqtabul Bahri dari negara sebelah India sana. Hikayat itu
rekayasa pembodek istana buat mengangkat darjat tuannya.
Justeru, kalau mahu melantik Sultan, carilah orang paling
tinggi merit dalam masyarakat. Realiti politik dunia hari ini, orang yang
sebegini tidak lagi dinamakan sultan. Sultan itu datang daripada keturunan
tertentu. Kerana bukan mulia dan hebat keturunan yang melahirkan salasilah
sultan-sultan, dasar apa untuk kita memenjarakan akal fikiran kita mencari-cari
titis keturunan sultan Sulu buat dinobatkan di Sabah. Kalaupun nenek moyang
mereka pernah menjabat kedudukan istimewa di rantau Sulu, nenek moyang mereka
jugalah yang menjual, memajak dan melepaskan pegangangan ke atas tanah Sabah
ini. Lagipun, nenek moyang mereka itu bukanlah peribumi yang lahir di bumi
Sulu.
Bukankah pengasas kerajaan Sulu pertama itu adalah bangsa
Arab dan dari Johor pula? Siapa dia, sejarah tidak mendetailkan. Barangkali
pedagang. Barangkali orang buangan. Asalnya nama Arab, orang Melayu zaman dulu sangat
kagum dan hormat. Kita lebih mengenali watak dan perangai orang Arab dalam
dunia terbuka pada hari ini.
Kesimpulannya, kisah kesultanan Sulu itu kisah sejarah.
Kita sedang melangkah ke hadapan dan tidak perlu berpatah balik ke belakang.
Negeri kita telah merdeka dan bebas. Bebas dari cengkaman penjajah. Bebas juga
dari pemerintahan kuku besi yang menggunakan nama kesultanan. Rakyat telah
mendapat hak bersuara dan memilih pemimpin pilihannya sendiri. Usahlah kita
terhimbau dengan sekerat cerita hikayat yang diriwayatkan penulis-penulis silam
yang menggambarkan kegemilangan pemerintahan kesultanan. Ia bukan kegemilangan
rakyat, tetapi kegemilangan elit pemerintah yang terpilih dan membanggakan
kerabat dan keturunan mereka.
Sabah tidak memerlukan seorang Sultan.
[sumber]
No comments:
Post a Comment