Sunday, February 24, 2013

Anak Luar Nikah Sepangkat Nabi Isa as?




 
Jika dilihat tajuk itu mungkin aku akan dibelasah secukupnya!
Tentu tidak ada lagi tempat untuk bersembunyi di atas muka bumi ini.
Tapi aku ingin kisahkan tentang apa yang aku alami pada pagi tadi...

Semasa itu aku sedang menikmati makanan ruji masyarakat Malaysia yang terkenal itu. Roti Canai dan Teh Tarik. Terlihat dua Orang Lama (agak2 umurnya 65tahun) sedang berbual di satu meja. Tiba masa mereka beredar, dan aku didatangi oleh salah seorang mereka. Dengan ramah menyapa, sedangkan tidak kenal pun.

“Kerja lagi ke?”  Sapanya.

“Ya Pak Cik, masih kerja” balasku. Sambil mempelawanya minum.

“Kenal ke dengan Kamaruddin yang kerja dengan *****?” Pak Cik itu bertanya dan terus duduk di kerusi yang kosong.

“Maaf la Pak Cik, saya tidak kenal. Kenapa?” Aku menyoal.

“Dulu dia kerja dengan Syarikat *****. Tapi bila sampai untuk bayar gaji, terus lari”.  

Dan Pak Cik itu terus bercerita kisahnya yang berpengalaman dengan Mahkamah. Mahkamah di Malysia ini ada 5 katanya. Pak Cik itu bercerita seperti tidak menjumpai titik noktah, tak berpeluang untuk mencelah langsung. Jadi, aku cuba menjadi pendengar yang baik.

Setelah lama dia membebel, tiba-tiba dia menyoal pula..

“Tahu tak perempuan yang kita tidak boleh kahwin?” Soalnya.

“Yang Mahram la Pak Cik” Jawabku pendek.

“Sebenarnya perempuan yang kita tak boleh kahwin, iaitu perempuan yang menyerupai Ibu kita” Katanya.

Kepala otak mula ligat memikir, Jika ibu kita tentulah usianya lebih tua dari kita. Sanggupkah kita nikahi perempuan yang seusia ibu kita? Kecualilah Mohd Noor Musa (40) yang menikahi Mek Wok Kundur (109)  dari Terengganu yang baik hati itu.

“Tahu tak anak luar nikah itu pangkat apa?” soalnya lagi.

“Tak tahu” Saya menjawab.

“Anak luar nikah itu sepangkat dengan Nabi Isa as. Betul tak?, sebab sama-sama tidak ada bapa” Katanya dengan yakin.

Dia buat dah... macamana seorang tua yang dikira lebih berpengalaman dari aku tergamak bercakap macam tu, dalam hati tertanya-tanya. Tambahan pula jika dilihat dari senarai Jakim berkaitan ajaran songsang terdapat berpuluh-puluh di Malaysia ini. Orang ini tidak boleh dilayan...

Aku sanggah dia,

“Mana boleh nak disamakan anak luar nikah dengan Nabi Isa Pak Cik, Nabi Isa itu bab lain, Allah jadikan dia macam itu, kun faya kun, Allah kata jadilah, jadilah dia.”

“Anak luar nikah itu lain Pak Cik, Itu jahil agama namanya, tahu hendak sedap saja, Kahwin tak mahu” Aku menjawab.  

Terdiam Pak Cik tu. Pak Cik ni tidak boleh di layan, buat pening kepala aku saja. Lalu aku meminta diri. Dalam hati berkata-kata, ada juga orang macam ni...  

No comments:

Post a Comment