Bermodalkan RM2 untuk melayari Internet yang sepatutnya
digunakan untuk belanja harian persekolahan, remaja ini mampu meraih RM18,000
sebulan dengan hanya menggoda lelaki hidung belang yang dahagakan belaian mesra
gadis bawah umur menerusi perkenalan di FB. Itu yang dilakukan Tina, 17, untuk
hidup selesa dan mampu memakai pakaian berjenama, memiliki peralatan komunikasi
canggih seperti anak orang kaya walaupun usianya ketika itu baru 13 tahun.
Gadis berasal dari utara tanah air ini dapat hidup bebas
selepas melarikan diri dari rumah kerana tidak tahan menerima teguran dan
leteran keluarga berikutan sikap liarnya. Peluang itu digunakan Tina untuk
memanfaatkan persahabatan singkat dengan lelaki bekerja di tapak pembinaan
dikenali secara on-line, Fendi, 20-an, dan sanggup mengambil risiko tinggal
bersama lelaki itu selama lima bulan.
Sanggup membelakangkan keluarga dan ponteng sekolah,
tindakan Tina seolah-olah ‘keluar kandang harimau, masuk mulut buaya’ apabila
rumah yang dihuninya turut menjadi ‘port’ lepak 10 lelaki setiap hari.
“Saya pasti keluarga melaporkan kehilangan saya kepada
polis, justeru Fendi menasihatkan supaya saya tak keluar dari rumah dan segala
makan pakai saya diuruskannya. Sebagai balasan, saya memberikan layanan seks
kepada Fendi.
“Tiada paksaan ketika kali pertama melakukan hubungan seks
luar nikah, malah kami sama-sama seronok. Tidak cukup dengan itu, saya memberi
khidmat seks kepada rakan Fendi yang duduk serumah mahupun sekadar datang
melepak di kediaman berkenaan.
“Namun saya tak bodoh, sebaliknya layanan seks hanya akan
diberi jika mereka setuju membayar. Paling banyak RM60, paling sedikit RM30. “Fendi
yang kononnya kekasih saya ketika itu tak pernah melarang, bahkan lebih gembira
kerana saya boleh memberinya wang untuk menampung makanannya,” katanya.
Menurut Tina, selama tempoh itu, dia tidak pernah keluar
dari rumah berkenaan dan mampu melayan sekurang-kurangnya 10 lelaki setiap
hari. Secara purata, gadis hingusan ini mampu meraih RM18,000 sebulan jika dia
mengenakan bayaran RM60 satu sesi dan melayan 10 lelaki dalam sehari. Jika
‘bekerja’ berterusan selama 30 hari, Tina tiada masalah meraih pendapatan
sebanyak itu.
Selepas bosan selain memiliki sikap enggan dikongkong,
Tina membuat keputusan keluar dari ‘penjara ciptaan’ itu dan menghubungi teman
rapatnya bagi menemaninya membeli-belah menggunakan duit haram itu. Namun,
kegembiraan untuk membeli barangan, pakaian, telefon bimbit berjenama berakhir
apabila Tina bertembung dengan polis sebelum dibawa ke balai berdekatan.
Pertemuan dengan keluarga yang menangisi kehilangannya di
balai polis berkenaan gagal menimbulkan keinsafan di hati Tina, sebaliknya dia
sibuk mencari jalan untuk lari semula selepas pergerakannya dikawal ketat.
“Saya dikurung keluarga, namun saya lebih licik melarikan
diri untuk kali kedua. Berbekalkan wang tabungan sebanyak RM500, saya melompat dari
tingkat dua rumah dan nasib baik tidak cedera.
“Kemudian, saya ke
kafe siber membuka akaun FB dan berbual dengan mana-mana lelaki dengan
berkesudahan mereka meminta saya menemani mereka.
“Bertemu di lokasi
ditetapkan, dengan penampilan menarik meskipun berusia 13 tahun, ‘dating’
ekspres itu pasti diakhiri di bilik hotel.
“Sekali perkhidmatan, saya mengenakan bayaran maksimum
RM60. Selalunya pelanggan tidak kira keturunan dan peringkat umur itu akan
menempah bilik hotel sekurang-kurangnya tiga hari, jika perlu, mereka akan
datang mendapatkan layanan saya.
“Selepas habis tempoh itu, saya kembali ke kafe siber
untuk mendapatkan pelanggan seterusnya. Perkara ini berlangsung hampir setahun
sepanjang tempoh saya melarikan diri dari rumah,” katanya yang ditemui di
Baitul Islah, Bukit Beruntung, Selangor.
Enggan menyalahkan sesiapa, Tina mengakui kehidupan mewah
dijalaninya pernah satu ketika memberi kepuasan tersendiri, apatah lagi dia
mampu memiliki barangan berjenama tanpa perlu mengharapkan wang daripada
keluarga, yang sememangnya mustahil kerana dia dibesarkan dalam kehidupan
serba-serbi tidak mencukupi.
Malah, katanya, dia tidak memasuki pusat pemulihan itu
dengan rela hati, sebaliknya dihantar keluarga selepas gagal mengawal tingkah
laku liarnya.
“Saya berada di sini hampir tiga tahun dan banyak ilmu
agama saya pelajari. Syukur, saya masih diberi peluang untuk membaiki diri
biarpun pernah terjerumus di lembah maksiat.
“Namun, masih banyak perlu saya pelajari untuk mengenali
Allah SWT. Saya juga belum kuat untuk keluar berdepan masyarakat, bimbang diri
lemah ini kembali ke jalan salah,” katanya mengakhiri perbualan.
Sumber: Metroahad Feb,17
No comments:
Post a Comment