Saturday, February 16, 2013

10,000 risalah GM13 dibakar, seorang mahasiswa ditampar



Sebanyak 10,000 risalah dirampas dan dibakar oleh sekumpulan lelaki yang didakwa tidak berpuas hati terhadap tindakan ahli Gerakan Mahasiswa PRU13 (GM13) mengedarkan risalah terbabit di kawasan Parlimen Pekan petang tadi.

Setiausaha Media Soladariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Shukri Kamarudin berkata, dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 3.00 petang itu, kumpulan lelaki terbabit mengarahkan beliau membuka keretanya yang menempatkan semua risalah tersebut lalu dirampas dan lalu dibakar di hadapan ramai.

“Kumpulan kami seramai 80 orang berkumpul di hadapan sebuah lot kedai berdekatan Pasar Besar Pekan selepas selesai mengedarkan risalah dan surat harapan Mahasiswa kepada penduduk Pekan. Secara tiba-tiba kami didatangai 10 lelaki dewasa lalu mengepung kami.

“Tidak lama kemudian datang lagi beberapa lagi lelaki sehingga menjadi semuanya seramai 40 hingga 50 orang. Mereka bertindak mengepung lalu merampas risalah-risalah yang dipegang oleh Mahasiswa,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Katanya lagi, turut dirampas kamera dan telefon bimbit Mahasiswa yang cuba merakam video kejadian, tetapi kumpulan Mahasiswa berjaya menyelamat kamera dari dirampas.

Tiga hari lalu, Sinar Harian melaporkan serangan dua hari berturut-turut membabitkan beberapa ahli GM13 ketika sedang mengedarkan risalah mahasiswa dan surat harapan mahasiswa di kawasan Parlimen Pekan iaitu di kawasan Dun Pulau Manis dan kawasan Dun Chini.

Minggu lalu, GM13 telah mengumumkan akan meletakkan seorang calon mahasiswa untuk bertanding di Pekan.

Sebaik pengumuman itu dibuat, GM13 mula merangka siri jelajah di kawasan Parlimen Pekan untuk mengedar risalah dan surat harapan Mahasiswa di empat Dun yang berada di bawah parlimen itu.

Hari ini merupakan hari terakhir ahli GM13 edar risalah di kawasan Dun Pramujaya dan semalam di kawasan Dun Bebar.

Shukri menambah, salah seorang penyerang terbabit menarik tudung, baju dan tangan dua orang mahasiswi yang sedang memegang risalah dan beliau turut menyatakan kekesalan terhadap perkara itu.

Dalam pada itu katanya, Shukri berkata, seorang anggota Aksi Mahasiswa Peduli Unisel, Ekhsan Bukhary Badarul Hisham yang telah dipukul beramai-ramai termasuk disepak di kepala dua hari lalu di sebuah kampung di kawasan Dun Pulau Manis turut ditampar seorang lelaki dalam kejadian itu.

Shukri menambah, penyerang itu berkata, “muka ni aku dah tengok hari tu. Aku dah suruh balik tapi tak balik.”

Kemuncak kemarahan kumpulan itu terjadi katanya, berlaku sebaik melihat kelibat aktivis mahasiswa, Adam Adli.

Shukri bagaimanapun menafikan berlaku provokasi daripada pihak GM13 yang menyebabkan rakan mereka diserang.

Katanya, “kami hanya mendiamkan diri ketika kami dimarahi.” - SH

No comments:

Post a Comment