Thursday, February 14, 2013

SHILA: Mulakan Hidup Baru



Andai Sharnaaz Ahmad, 28, seperti nekad melupakan cintanya terhadap Shila Amzah, 23, si gadis pula tampak optimis meneruskan langkah apabila menerusi status terbarunya di laman sosial Twitter semalam, dia menggambarkan sedang melalui permulaan fasa baru kehidupan.

Permulaan baru, kehidupan baru dan lagu baru yang bakal keluar... Alhamdulillah (disusuli simbol senyuman), tulis penyanyi yang mencetuskan kontroversi itu selepas menghilangkan diri, minggu lalu.

Status yang dimuat naik kira-kira jam 12 tengah hari itu mendapat maklum balas positif daripada peminat tegarnya, yang rata-rata berharap Shila tabah menempuh ujian Tuhan.

Shila pula membalas setiap pesanan dikirimkan dengan ucapan terima kasih.

Berbeza dengan status sebelumnya di laman sosial sama, terutama sepanjang kemelut membabitkannya dengan Sharnaaz serta bapa sendiri, ND Lala, Shila atau nama sebenarnya Nur Shahila Amir Hamzah, ketika itu lebih banyak meluahkan rasa gundah di jiwa.

Shila dan Sharnaaz mula rapat selepas bekerjasama dalam pembikinan klip video penyanyi terbabit, Patah Seribu, pada 2011 yang disusuli sebuah telefilem menggunakan judul sama pada awal 2012. Begitupun segelintir pihak dikatakan kurang senang dengan kemesraan ditunjukkan kedua-duanya.

Sekadar cari ketenangan

Kemelut hubungan pasangan terbabit mula timbul apabila aktor itu memberi kenyataan merisik Shila, tetapi tidak mendapat reaksi bapanya yang kemudian menegaskan dia lebih selesa anaknya memberi perhatian terhadap kerjaya berbanding cinta, malah dikatakan mengelak bertemu Sharnaaz.

Konflik mereka terus hangat apabila Shila pula memperjelas situasi sebenar menerusi surat terbuka kepada media, tetapi pihak Sharnaaz membidas tindakan itu yang disifatkan tidak matang dan hanya dikawal keluarga.

Kemuncaknya, Shila yang bersuara menerusi Twitter dilaporkan menghilangkan diri dari rumah berikutan laporan polis dibuat bapanya seperti dilaporkan BH Ahad lalu. Pada hari sama dia ditemui di Kemaman, Terengganu.

Terdahulu, menerusi laman sosial sama Shila yang difahamkan ketika itu dalam perjalanan ke Pulau Pinang bagi memeriahkan Program Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 1Malaysia memberi kenyataan dia bukan melarikan diri.

Anda semua tidak tahu apa yang saya lalui... Saya bukan melarikan diri. Saya cuma mahu mencari ketenangan, jauh dari semua insan ini. Kenapa tak boleh? Tolong beritahu saya, luahnya, Ahad lalu.

Adakan kenduri kesyukuran

Tidak dapat didekati media kerana dikelilingi pengawal keselamatan selepas tamat persembahan yang turut menyaksikan kemunculan penyanyi tersohor, Psy, ND Lala berjanji akan mengadakan sidang media khas.

Sementara itu, sumber terdekat dengan keluarga Juara Asian Wave itu mengesahkan ND Lala memang sedang mengatur sidang media yang bakal diumumkan dalam tempoh terdekat selain merancang mengadakan kenduri kesyukuran.

No comments:

Post a Comment