PSYkologi Najib nak
beli undi Oleh Muhammad Nazreen
Maka, dengan sedemikian omong-omongan bahawa artis K-Pop
akan mengadakan persembahan di Malaysia sempena sambutan Tahun Baharu Cina di
Pulau Pinang minggu depan. PSY, bintang yang menyerlah dengan fenomena Oppa
Gang Nam Style, dikhabarkan telah dijemput atas tiket Barisan Nasional.
Rata-rata masyarakat sama ada mereka yang berparti atau
non-parti sudah mula menunjukkan kejelekan mereka kepada pemerintah, iaitu
kerajaan pimpinan Barisan Nasional. Sentimen begini membuktikan betapa Najib
Razak tidak digemari lagi. Alangkah, jemputan bintang pop terkemuka Korea, PSY,
sebagai ‘sagu-hati’ pun sudah lunak menampakkan sisi-sisi marah mereka.
Rakyat mengerti, tugas untuk menjemput penyanyi
terkemuka, seperti dalam kes PSY bukan tanggungjawab kerajaan. Itu pilihan yang
ditentukan pada permintaan pada pasaran. Kerajaan tidak perlu terlibat untuk
memilih dan memaksa konsert apa, artis apa yang dimahukan rakyat Malaysia.
Memang ada ‘bijak pandai’ BN yang mengatakan konsert itu
ditanggung oleh syarikat swasta. Tapi itu cakap saja. Rakyat akan hanya percaya
jika didedahkan dokumen atau penyata akaun sebenar. Siapa sebenarnya yang
menaja konsert bernilai jutaan ringgit itu?
Lantaran, inilah yang dinamakan sebagai penyakit
PSYkologi pemerintah. Atas kerana desakan yang kuat untuk kalah, mereka
menggunakan seluruh mekanisme yang ada untuk kembali memancing undi. Namun,
dalam suasana yang sekejap sahaja. Kesannya begitu ketara. Rakyat tidak lagi
termakan dengan kempen murahan memungut undi dengan strategi begini.
Bila pemerintah kuku
besi jatuh terguling
Penyakit pskilogi ini adalah rentetan yang telah terjadi
di kebanyakan rejim-rejim autoritarian yang lain. Sebelum kejatuhan Shah-Reza
Pahlevi di Iran, terutamanya pada detik-detik awal revolusi besar melanda –
kepemimpinan monarki Parsi itu sedaya upaya merasuah golongan pemuda-pemudi
untuk menyokong pimpinan beliau. Tetapi, dek kemarahan rakyat Iran akan
penindasan serta meluat pada sikap bangga diri dan menunjuk-nunjuk sejak
bertahun-tahun, tawaran demikian bukan lagi sesuatu yang lumayan. Akhirnya,
kemuncak revolusi pada 11 Februari 1979 menyaksikan Shah Iran ditumbangkan.
Begitu juga al-kisahnya di Indonesia menjelang Reformasi
1998. Suharto sebelum disingkirkan kelam-kabut mahu memulakan agenda reformasi
pemerintahan Orde Baru yang melibatkan penstrukturan semula institusi, dasar
ekonomi dan sosial – kerana takutkan desakan perobahan.
Menurut pengkaji politik, William Case di dalam ‘Politics
of Southeast Asia’ (2002), kegagalan sebenar Suharto untuk mempertahankan kuasa
beliau disebabkan gagalnya pemerintahan beliau meyakinkan semua golongan
masyarakat di Indonesia. Terutama, golongan kelas-pertengahan dan kelas pekerja
yang menerima implikasi pemerintahan tirani beliau. Penyakit psikologi kini
menjangkiti jentera Najib dan Barisan Nasional menjelang pilihanraya.
Tanda-tanda
berakhirnya era BN
Penyakit psikologi
ini dirukuni dengan beberapa sebab. Jikalau ditekuni, kita akan
menjumpai trend yang sama di dalam mana-mana rejim yang bergolak. Adapun,
struktur penyakit psikologi lebih menyerlah dan kelihatan di dalam rejim yang
autoritarian.
Pertama, kebangkitan rakyat di dalam siri demonstrasi
yang meningkat penyertaannya. Seperti di Malaysia, saban hari lebih ramai
kerumunan dilihat dan bertambah menjelang siri-siri demonstrasi seterusnya.
Semenjak perhimpunan BERSIH mendapat sambutan yang hangat, siri perhimpunan
Bersih 2 pada 9 Julai 2011, perhimpunan BERSIH 3 pada 28 April 2012 dan yang
terbaru, Himpunan Kebangkitan Rakyat pada 12 Januari 2013 menyaksikan peratusan
keluar untuk sama-sama menyertai perhimpunan ini berkebarangkalian tinggi.
Malah, jangan lupa Bersih pada November 2007 yang
mencetus semangat berani rakyat mengundi pada PRU 2008 sehingga tersungkur lima
negeri daripada cengkaman BN serta ia hilang majoriti dua pertiga di Parlimen.
Peristiwa kebangkitan rakyat sebegini mencetuskan panik
di kalangan kabinet tertinggi pemerintah. Akibatnya, mereka secara tergesa-gesa
menggubal akta-akta zalim ini dengan agenda ‘reformasi kosmetik’. Reformasi
kosmetik kerajaan BN seperti pemansuhan Akta Keselamatan dalam Negeri, Akta
Buang Negeri dan Ordinan Kecemasan dikuatkuasakan dalam tempoh yang cukup
singkat. Mungkin kerana Najib sarat dengan kerisauan, maka beliau mengalami
penyakit psikologi di dalam pemerintahan.
Kedua, parti politik alternatif mutakhir ini mempunyai
pengaruh yang dominan di dalam latar politik Malaysia. Lambakan pendedahan
skandal berskala besar, pembaziran dan salahguna kuasa dimanfaatkan pakatan
oposisi sebaiknya. Kesan daripada pendedahan demi pendedahan, sekali lagi rejim
Najib Razak tak mampu untuk duduk diam. Beliau mengelak daripada ditemuramah
wartawan dan mengelak untuk menjelaskan tuduhan-tuduhan demikian kerana
tembelang mereka sudah pecah. Kala ini, skandal terbabit menjadi bisik-bisik di
ruang awam.
Pasca PRU13, pakatan politik yang disepakati bersama PAS,
Parti Keadilan Rakyat dan DAP mempunyai suara yang kuat di dalam dewan
parlimen. Atas kesempatan itu, banyak ketirisan dibangkitkan dan dipersoalkan.
Manakan Najib mahu duduk diam, turun ke
Parlimen setahun sekali pun boleh dibilang dengan jari. Alahai nasib, sudah
tersepit perangkap, kini menunggu masa untuk ditangkap.
Ketiga, media massa adalah aparatus terbaik untuk
memastikan survival ‘daulah’ berjalan lancar. Namun, kegagalan media massa
untuk berperanan sebagai badan yang beretika kini dipersoalkan. Akhbar dan
televisyen lebih bersedia untuk memperincikan rancangan-rancangan bahalul
berbanding menyiarkan warta berita yang adil dan saksama. Sesungguhnya, kita
tidak sesekali akan menjumpai kualiti media-massa sebegini di negara-negara
yang sudah mencapai taraf maju. Jadi, sekiranya ia berkekalan, apa Malaysia
mampu bersaing menjadi negara maju? Sendiri fikirlah.
Rata-rata rakyat Malaysia sudah tidak mempercayai laporan
berita daripada agensi berita besar dan stesen televisyen massa. Kini, mereka
mula beralih kepada alternatif-alternatif media di sesawang internet.
Populariti Buletin Utama, rancangan berita TV3 semakin merudum. Jualan akhbar
Berita Harian dan Utusan Malaysia mengalami kerugian setiap hari. Proses
pembodohan media yang diulang-ulang juga sebab kenapa kabinet Najib Razak
mengalami masalah.
Penyakit ‘PSYkologi’ ini makin pantas merebak. Sebaran
kedatangan PSY sebagai ‘hadiah’ sempena Gong Xi Fa Cai yang menimbulkan
kemarahan semua sedari awal lagi menunjukkan majoriti rakyat Malaysia mahukan
perubahan dan pemerintahan baru. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment