14 September 2023
Saya bangga dan bersyukur menjadi rakyat Malaysia. Tahun
lalu, saya berpindah ke rumah baru di Damansara. Kata ibu, pada suatu ketika
hanya orang kaya-kaya sahaja yang mampu tinggal di Damansara kerana rumahnya
mewah dan harganya jutaan ringgit. Alhamdulillah, selepas kerajaan melaksanakan
program rumah mampu milik rakyat secara besar-besaran, golongan muda
seperti saya juga mampu membeli kediaman di sini.
Saya bekerja di sebuah firma rekacipta kejuruteraan di
Petaling Jaya. Bos saya masih lagi muda, beliau pernah bekerja di Amerika
Syarikat dengan firma ternama di sana. Kami menghasilkan rekaan chip komputer
pintar yang digunakan di dalam peralatan elektronik terkini. Rekaan yang
dihasilkan dihantar ke kilang di China yang akan mengeluarkannya bagi pasaran
dunia.
Kehidupan saya sekeluarga selesa. Isteri saya adalah
seorang akauntan yang bertugas dengan syarikat antarabangsa. Beliau bertugas
dari rumah. Akses jalur lebar Malaysia yang terbaik di dunia membolehkan ramai
ibu bekerja dari rumah sambil menghabiskan masa berkualiti dengan anak-anak.
Rata-rata keluarga muda seperti kami bersyukur dengan
peluang ekonomi yang ada di negara ini. Gaji kami melebihi untuk menampung
keperluan harian dan 30% dari gaji saya dan isteri disimpan bagi pelaburan
jangka panjang. Kami mampu untuk bercuti setiap tahun dan kami juga mewujudkan
tabung amanah untuk dua orang anak kecil kami bagi masa depan mereka.
Malaysia dihormati di rantau Asia Tenggara dan dunia.
Kuala Lumpur adalah ibu kota Asia Tenggara dan diiktiraf sebagai 5 bandaraya
terbaik di dunia setiap tahun. Ia satu-satunya bandaraya yang mengekalkan
warisan kebudayaan pelbagai kaum yang hidup harmoni di dalam setiap aspek
kehidupan kota. Ibu pejabat Bank Pusat Islam Dunia yang dibuka di Kuala Lumpur
dalam tahun 2019 menyerlahkan lagi kedudukan Kuala Lumpur sebagai satu daripada
lima pusat kewangan terbaik dunia.
Saya bangga dengan Malaysia kerana ia dicemburui
negara-negara dari Timur hinggalah ke Barat. Setiap bandar besar kita dari
Perlis ke Johor dan Kelantan ke Kuala Lumpur dihubungkan dengan keretapi laju
berteknologi hijau. Aktiviti pentadbiran dan jabatan kerajaan diagihkan ke
seluruh negara dan jaringan pengangkutan awam yang cekap ini memudahkan urusan rakyat.
Rakyat Malaysia juga adalah rakyat terkaya di rantau Asia Tenggara. Tidak ada
keluarga Malaysia yang pendapatan bulanannya kurang dari RM4,000.
Pemilik-pemilik tanah yang dahulunya dipanggil peneroka kini adalah jutawan
pertanian dan industri kecil yang mengusahakan tanah mereka dengan jayanya.
Negara-negara lain mengagumi keamanan Malaysia walaupun
ada berpuluh-puluh etnik yang berbeza. Keamanan yang terhasil dari perpaduan
rakyat pelbagai kaum ini dikuatkan lagi dengan kecekapan Angkatan Tentera
Malaysia yang diiktiraf sebagai pasukan pertahanan terbaik di rantau Asia Tenggara. Paling penting, saya bangga kerana Malaysia satu-satunya
negara di rantau ini yang berjaya membuktikan kekayaan negara akan memakmurkan
rakyat jika ditadbir dengan baik.
Tabung Warisan yang ditubuhkan sepuluh tahun lalu kini
sudah mencecah jumlah RM124 bilion tabungan hasil minyak dan gas yang disimpan
untuk masa depan. Rakyat menikmati pendidikan percuma hingga ke peringkat
universiti dan kemudahan kesihatan percuma. Malaysia juga adalah satu-satunya
negara di rantau ini yang menyediakan skim caruman kepada isteri sebagai
sebahagian dari sistem perlindungan kebajikan kebangsaan.
Apabila saya berkunjung ke negara-negara lain atas urusan
kerja, saya bangga apabila negara saya dipandang manis. Mereka mengagumi
keupayaan kita mengamalkan prinsip demokrasi sepenuhnya. Institusi kehakiman
negara menjadi rujukan di peringkat antarabangsa. Malah, kejayaan kita
memusatkan aktiviti ekonomi di peringkat rakyat terbanyak dan industri kecil sederhana
(IKS) menjadi model kejayaan yang diteliti negara lain.
Saya bersyukur kerana Malaysia berada di landasan yang
betul pada hari ini akibat keputusan tepat yang dibuat sepuluh tahun lalu dalam
pilihanraya umum 2013. Itulah kali pertama saya mengundi dan setiap kali saya
memandang optimis dengan masa depan Malaysia, saya berbangga kerana saya adalah
sebahagian dari generasi perubahan yang mengubah landasan negara pada tahun
itu.
Muhammad Adlan bin
Azrul
Damansara
@dipetik dari Manefesto Rakyat.
No comments:
Post a Comment