Sunday, February 24, 2013

Wang bantuan, upah sokongan dan undi


Catatan terbaik dari: Dr Mohd Asri Zainul Abidin

KOLUM Cinta adalah perkara yang tidak boleh dibuat-buat. Ia satu perasaan yang muncul dari lubuk sanubari. Ia lahir dalam jiwa dan diterjemahkan dalam tindakan. Apabila seseorang itu benar-benar kasihkan kita, maka tindakan dan sikapnya terhadap kita juga adalah lambang dan hasil dari keindahan cintanya.

Sesiapa yang ada pasangan yang mencintainya, dia akan tahu keindahan hubungan yang dibina atas cinta. Lihat cara suami atau isteri anda melayan anda, maka anda dapat mengukur tahap cintanya kepada anda. Lagi dalam kasihnya, lagi indah hubungan dan sikapnya terhadap anda.

Justeru, hendaklah dibezakan antara kehendak seks antara pasangan dan cinta. Seks ada yang berteraskan nafsu semata dan ada yang merupakan gabungan antara cinta dan nafsu. Seseorang yang ghairah seksnya, bukan bererti dia penuh cinta.

Namun, cinta yang mendalam membawa kepada hubungan seks yang indah. Ini boleh diibaratkan macam pemberian wang bantuan oleh sesebuah kerajaan kepada rakyat. Pemberian itu bukan semestinya menggambarkan cinta kerajaan kepada rakyat. Boleh jadi ia sekadar nafsu ingin berkuasa dan pemberian itu demi melangsaikan kehendak dirinya.

Rakyat yang menerima bantuan juga bukan semestinya mencintai kerajaan yang memberi. Dia sudi menerima kerana merasakan itu haknya, ataupun dia memerlukannya tapi jiwanya mungkin menyumpah dan menyampah. Persis seperti hubungan antara suami isteri yang hidup dalam keadaan keterpaksaan tapi penuh kebencian.

Namun tidak boleh dinafikan betapa ramai yang tertipu lalu menganggap setiap hubungan seks itu tanda cinta sehingga gagal membezakan antara pelacur yang menanti upah dan isteri yang menanti pahala dan takutkan dosa.

Pelacur

Demikian, ada rakyat dalam dunia ini yang menganggap setiap pemberian kerajaan itu tanda cinta kepada mereka sedangkan mereka lupa pemberian itu tidak dibina atas kejujuran cinta, sebaliknya atas upah sokongan dan undi.

Pun begitu, pelacur kadangkala kurang buruk dari sesetengah kerajaan atas muka bumi ini kerana pelacur mengambil upah dari hasil dirinya.

Sementara pemimpin dan kerajaan yang menipu mengambil wang negara dan rakyat yang dibahagikan semasa sendiri terlebih dahulu dan sedikit pemberian untuk rakyat sambil berlagak seolah wang tersebut dari poket peribadi mereka.

Adapun hubungan seks halal yang penuh cinta itu melahirkan kepuasan jasmani dan rohani. Tiada pemberontakan dan penuh kedamaian.

Ia seperti sebuah kerajaan yang cintakan rakyat. Amanah terhadap pengurusan negara. Harta negara bukan habuan untuk isteri dan keluarga mengaut kekayaan yang gila-gila.

Negara diuruskan dengan sebaiknya dengan penuh keikhlasan sehingga rakyat terasa kejujuran itu. Kejujuran itu menimbulkan rasa cinta rakyat kepada diri pemerintah.

Pemerintah mengawal negara dari ancaman luaran dan juga dalaman. Ancaman musuh yang terang, dan juga orang sekelilingnya yang kadang-kala lebih memusnah kekayaan negara dibanding mereka yang digelar ‘musuh’.

Isteri dan Kroni

Betapa ramai pemerintah yang dibenci kerana tingkah laku isteri dan kroni. Inilah ancaman dalaman yang meragut peluang dan kesempatan sehingga kekayaan negara tertumpu dalam tangan mereka.

Hanya pemerintah yang amanah dan cekap sahaja dapat menguruskan negara dari ancaman luaran dan dalaman ini. Hasilnya, kasih-sayang rakyat dan kesetiaan lahir dalam tindakan para pegawai kerajaan dan rakyat bawahan.

Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah r.h (meninggal 728H) dalam kitabnya As-Siyasah asy-Syar’iyyah fi Islah ar-Ra’i wa ar-Ra’iyyah: “Tidak boleh para pemerintah membahagikan harta negara mengikut nafsu mereka seperti mana seorang pemilik harta membahagikan harta miliknya.

Sebaliknya, para pemerintah hanyalah pemegang amanah, wakil dan utusan. Mereka bukan pemilik harta. Ini seperti yang Nabi s.a.w sabda: “Aku –demi Allah- tidak boleh memberi (harta awam) ataupun menghalang seseorang. Aku hanya pembahagi yang meletakkannya di mana sahaja aku diperintahkan”. Ini diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Abu Hurairah r.a.”

“Inilah rasul Tuhan semesta alam yang memberitahu bahawa dia tidak mempunyai hak menghalang dan memberi dengan kehendak dan pilihannya seperti mana seorang pemilik harta yang boleh berbelanja dengan hartanya, dan seperti raja-raja yang memberikan kepada sesiapa yang mereka suka. Sebaliknya dia (Rasulullah s.a.w) hanya seorang hamba Allah, membahagikannya mengikut arahan Allah. Dia meletakannya di mana yang Allah perintahkan”.

Sambung Ibn Taimiyah lagi: “Demikian apabila seseorang berkata kepada (Khalifah) ‘Umar bin al-Khattab: “Wahai Amir al-Mukminin! Andainya engkau tambah peruntukanmu dari harta Allah ta’ala (harta negara). Jawab ‘Umar: “Tahukah engkau apakah bandingan antara aku dan rakyat? Ia umpamanya satu kaum yang berada dalam satu perjalanan, lalu mereka menghimpunkan harta mereka kemudian mereka menyerahkannya kepada seseorang untuk membelanjakannya untuk mereka. Apakah halal untuk lelaki itu mengutamakan dirinya dengan menggunakan harta mereka?.”

Lagi kata Ibn Taimiyyah: “Pernah dibawa kepada ‘Umar bin al-Khattab r.a. harta yang banyak dari bahagian khumus (bahagian dari rampasan perang). Kata ‘Umar: “Sesungguhnya tentera telah menunaikan amanah”. Kata mereka yang hadir kepada ‘umar: “Sesungguhnya engkau telah menunaikan amanah kepada Allah ta’ala, maka mereka pun menunaikan amanah kepada engkau. Jika engkau mengambil harta negara sesuka hati, begitulah juga mereka akan lakukan” [m/s 51-52. Kuwait: Dar al-Arqam (1406H)].

Teladan

Dari jawapan rakyat kepada Khalifah ‘Umar bin al-Khattab, kita dapat tahu bahawa antara punca utama rakyat bawahan tidak amanah, setia dan jujur kepada negara dan harta awam adalah disebabkan pemimpin yang tidak amanah.

Jika pemimpin itu amanah, pasti rasa cinta dan setia kepada negara akan bersemarak dalam jiwa rakyat jelata. Justeru jangan hairan jika kita lihat rakyat di negara-negara maju rakyat mereka lebih sayangkan negara dibandingkan negara-negara umat Islam yang pengurusan kepimpinannya tidak jujur dan khianat.

Hilang ataupun terhakisnya semangat patriotic dan setia kepada tanahair, sebahagiannya hasil dari tindak tanduk kegelojohan golongan atasan mengisi tembolok sendiri. Apabila golongan atasan memiliki kekayaan yang zahir pada diri, ‘isteri’ dan anak dengan kadar yang tidak masuk akal dan sangat luar biasa, maka rakyat kesusahan mula membenci para penguasa mereka. Sekalipun jika ada yang mendakwa kekayaan itu hasil menabung dari kecil, tetapi itu hanya ungkapan untuk memperbodohkan rakyat jelata.

Apabila datang musim maulid kita bercakap tentang Nabi s.a.w dan teladan dalam kepimpinan, namun dunia umat Islam masih terlalu jauh. Nama Nabi s.a.w hanya sekadar untuk modal politik menyedapkan bicara di hadapan rakyat. Di mana Nabi Muhammad s.a.w dan kepimpinan negara umat Islam kita?!  Semasa peperangan Badar, tentera Islam mempunyai jumlah kenderaan yang begitu terhad. 70 ekor unta terpaksa dikongsi oleh tiga ratus beberapa belas orang tentera.

Nabi s.a.w berkongsi dengan ‘Ali bin Abi Talib dan Abu Lubabah. Memandangkan kedudukan Nabi s.a.w dan mereka berdua lebih muda dari Nabi s.a.w maka mereka meminta agar Nabi s.a.w sahaja yang menggunakan unta tersebut. Namun, dengarlah jawapan Nabi s.a.w kepada mereka: “Tidaklah kamu berdua lebih kuat daripadaku, dan tidak juga aku orang yang paling kurang memerlukan pahala dibanding kamu berdua” (Riwayat Ahmad, Ibn Hibban dll. Hadis bertaraf hasan).

Demikianlah pemimpin yang berkongsi perasaan dan keadaan rakyat. Maka dari situ suburlah cinta dan setia antara rakyat dan pemimpin. Teruruslah negara, hidupkan kedua pihak dalam keadaan cinta dan setia. Pemimpin bukan pelacur yang menjual diri untuk mendapat upah. Pemimpin tidak boleh menipukan rakyat dengan pemberian yang mengkaburkan untuk mendapatkan undi sedangkan kesemua itu tidak dibina atas cinta dan kejujuran terhadap negara.







No comments:

Post a Comment